Thursday, June 19, 2008

Episod terakhir sandiwara terakhir BN ?

Nazri Aziz menteri di Jabatan Perdana Menteri, baru peduli dan baru ambil tahu tentang SAPP dan Yong Teck Lee. Dia anggap maka dirinya sahaja yang serba tahu. Dengan meperlekehkan apa yang cuba atau mencabar apa yang mahu dibuat oleh SAPP pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.


Ini adalah gambaran kekalutan, senak perut, serta tak sedap duduk MP-MP Barisan Nasional tentang masa depan diri mereka dan kerajaan yang mereka dokong pada masa ini. Situasi tenat ini, cuba memujuk hati-hati mereka atau setidak-tidak dapat mententeram sedikit diri mereka buat ketika atau saat ini.

Runtuh kekuasaan mana-mana kerajaan dan parti akan mengundang beribu persoalan. Hilang kuasa dan tiada kuasa yang sudah biasa dipegang puluhan tahun akan bisa mensasaukan individu yang berkuasa. Tambahan bilamana kuasa yang diamanahkan itu tidak dilaksanakan dengan sejujur-jujur bagi pemerintahan berteraskan struktur yang tidak kukuh.


Sebenarnya , bagi rakyat sebahagian di malaysia sudahpun hilang 'keyakinan' itu. Hasilnya atau bukti bila 5 buah negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Cuma yang tinggal kini adalah sisa-sia akhir nyawa kerajaan yang ada sahaja. Episod sedih akan terjelma samada cepat ataupun lambat. Maka sama-samalah kita nantikan dan saksikan .


Kenyataan orang tidak tahu prosedur Parlimen - Nazri

KUALA LUMPUR 18 Jun - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, usaha Parti Maju Sabah (SAPP) untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mungkin boleh berlaku Isnin ini.

Beliau berkata, sehingga lewat petang ini tidak ada notis berhubung usul berkenaan dikemukakan kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan pada persidangan yang akan bermula Isnin ini.

Menurutnya, untuk membawa usul tergempar mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (1) sekalipun, Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu dimaklumkan sekurang-kurangnya sehari lebih awal.

''Sebab itu saya pelik bila Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee kata nak kemukakan usul tidak percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri.

''Ini saya anggap kenyataan yang dibuat oleh orang yang tidak tahu prosedur Parlimen. Mana boleh nak kemukakan usul main berdiri macam itu sahaja,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Teck Lee pada sidang akhbarnya di Kota Kinabalu petang ini mengisytiharkan parti itu hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah dan wakil rakyat SAPP bersedia menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

SAPP mempunyai dua wakil di Dewan Rakyat iaitu Ahli Parlimen Tawau, Datuk Dr. Chua Soon Bui dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun yang menang atas tiket BN pada pilihan raya 8 Mac lalu.

Sebelum ini SAPP dikatakan merupakan salah satu parti komponen BN yang akan melompat menyertai pembangkang tetapi pemimpinnya sering kali menafikan dakwaan tersebut.

Persidangan Parlimen Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen Kedua Belas akan berlangsung Isnin ini sehingga 15 Julai depan.

Sementara itu, menurut Nazri, sebarang usul tergempar yang dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (1) memerlukan syarat-syarat tertentu sebelum boleh diluluskan.

Syarat itu antaranya menuntut sesuatu perkara yang hendak dijadikan usul tergempar perlu melibatkan kepentingan orang ramai yang perlu disegerakan.

''Itu pun bergantung kepada pertimbangan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Bukan boleh sesuka hati bangun, ini Parlimen.

''Saya dah periksa dengan pejabat Yang Dipertua, tidak ada pun mana-mana ahli Parlimen yang kemukakan notis untuk membawa usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

''Cuma yang ada usul mengikut peruntukan 18 (1) berhubung kenaikan harga barang. Ia dikemukakan oleh tiga orang ahli Parlimen,'' jelasnya.

Nazri cenderung untuk percaya bahawa kenyataan SAPP itu sebenarnya lahir daripada rasa tidak puas Teck Lee yang mungkin didorong kepentingan peribadi.

Beliau berkata, Teck Lee telah menggunakan parti yang dipimpinnya bagi kepentingan peribadi dan bukan kerana kurang senang dengan layanan Pusat kepada Sabah seperti yang didakwa.

''Saya percaya ia tidak ada kaitan dengan rakyat, tapi mungkin lebih kepada tidak dapat jawatan dan sebagainya.

''Sebab itu pada saya hal ini tidak ada apa-apa sangat, ia bukan kehendak ahli Parlimennya pun. Jadi nak ambil tindakan atau tidak itu terserah kepada Dewan Tertinggi BN,'' ujarnya.

No comments: