Pulau Batu Putih berjaya diambil oleh Singapura melalui undang-undang. Ia menjadi satu lagi lipatan sejarah negara. Inilah kehilangan besar bila kita bercakap dalam konteks negara bangsa. idea barat yang diterapkan sebelum idea baru dikemukakan iaitu dunia tanpa sempadan. isu ini sangat menarik untuk dibahaskan.
Keresahan terjawab, kini tinggal keluhan sahaja sehingga sampai ke akhir hayat, dan menjadi wacana dari satu generasi ke satu genrasi. macamlah Singapura dilepaskan dari Malaysia.
Hilang Batu Puteh tanda kegagalan Umno
Kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura wajar menyedarkan betapa perjuangan menuntut kemerdekaan masih belum berakhir walaupun lebih 50 tahun Tanah Melayu diisytiharkan merdeka.
Justeru pada 31 Ogos tahun 1957 walaupun Britain berundur daripada Tanah Melayu, tetapi ia tidak menyerahkan kembali kedaulatan semua wilayah yang dijajah kepada bangsa Melayu.
Cuba bayangkan betapa ketika penjajah datang ke negeri-negeri Melayu. Mereka sedikit demi sedikit menakluki wilayah-wilayah Melayu secara keras dan halus. Secara ketenteraan dan tipu helah, nama halusnya diplomasi dan perundangan.
Melalui konsep Persekutuan Tanah Melayu yang di dalamnya terkandung institusi Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong, wilayah-wilayah yang sudah terlepas ke tangan penjajah dapat dikembalikan ke bawah kedaulatan Raja-Raja Melayu. Maka Melaka dan Pulau Pinang terletak di bawah Yang Dipertua Negeri masing-masing dengan kedaulatan berada kepada Yang di-Pertuan Agong mewakili Raja-Raja Melayu. Jadi walaupun Pulau Pinang tidak kembali kepada Sultan Kedah tetapi ia berada di bawah Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimana daerah Dinding yang menjadi salah sebiah wilayah Negeri-negeri Selat berjaya dikembalikan kepada kedaulatan Sultan Perak.
Penjajah berundur
Sementara Melaka juga seperti Pulau Pinang berada di bawah kedaulatan Yang di-Pertuan Agong melalui Yang Dipertua Negeri dan Majlis Raja-raja. Kalau hendak dikirakan apabila penjajah berundur, maka ia wajar menyerahkan kembali wilayah-wilayah yang didudukinya kepada kedaulatan raja-raja sebelumnya.
Britain mengambil alih Melaka daripada Belanda, sementara Belanda mengambil alih Melaka daripada Portugis. Portugis menakluki Melaka daripada Sultan Melaka. Ketika Melaka jatuh, kerajaan Sultan Melaka tidak tumbang, ia berpindah ke Johor. Maka Kesultanan Johor mewarisi Kesultanan Melaka.
Justeru apabila Britain memulangkan Melaka, ia sepatutnya menyerahkannya kepada Johor. Tetapi itu tidak berlaku. Bagaimanapun dengan Melaka berada dalam Persekutuan Tanah Melayu, ia sudah dapat diterima sebagai kembali kepada bangsa Melayu.
Malangnya ketika menerima penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, penjajah Britain tetap mahukan Singapura kekal di bawah penjajahannya. Tidak timbul Singapura diberikan kemerdekaan apatah lagi disekutukan ke dalam Tanah Melayu. Jauh sekali hendak diserahkan kepada Kesultanan Johor.
Apabila disebut Singapura, maka ia meliputi pulau-pulau di sekelilingnya. Dari segi jarak, Pulau Batu Puteh adalah milik Johor. Tetapi Britain yang mengoperasi rumah api di situ dari Singapura akhirnya menjadikan pulau mini itu jatuh ke tangan Singapura.
Britain enggan memerdekakan Singapura pada peringkat awal kerana ia mahu menjadikannya sebagai pangkalan-pangkalan strategik bagi kepentingan imperialisme globalnya. Walaupun sudah digantikan dengan Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa utama dunia, tetapi peranan Britain masih penting dalam sekutu Barat menentang komunisme global.
Britain mahu mengekalkan Gibraltar di lautan Mediterranean. Diego Garcia di Lautan Hindi, Hong Kong di Laut China Selatan, dan sudah tentu Singapura di Asia Tenggara.
Bagaimanapun kehadiran komunis yang kuat di Singapura menyebabkan Britain memikirkan cara mana pangkalannya dapat dipertahankan. Parti Komunis Malaya (PKM) di Singapura memperjuangkan kemerdekaan pulau itu yang kemudiannya boleh menjadi pangkalan kepada penguasaan ke atas Tanah Melayu dan seluruh Asia tenggara.
Untuk mematahkan kemaraan komunis, maka Britain perlu memberikan kemerdekaan kepada Singapura tetapi memastikan ia berada dalam geostrategik yang memenuhi kepentingannya. Maka itu dicadangkan gabungan Singapura dan Tanah Melayu yang kemudian membawa kepada penubuhan Malaysia.
Malaysia ketika diisytiharkan penubuhannya pada 16 September 1963 memperluaskan kedaulatan yang di-Pertuan Agong mewakili Raja-raja Melayu. Maknanya Singapura kembali kepada kedaulatan bangsa Melayu, begitu juga Sarawak dan Sabah. Seharusnya Brunei ikut serta. Sarawak yang pernah berada di bawah kedaulatan Kesultanan Brunei dan Sabah di bawah kedaultan Kesultanan Sulu kepada kepada kedaulatan Melayu melalui Malaysia.
Malangnya Tunku
Apabila Singapura berada dalam Malaysia, sudah tentu Pulau Batu Puteh tidak menjadi isu. Sama ada ia berada dalam Singapura atau Johor, ia adalah sebahagian daripada Malaysia. Malangnya Tunku Abdul Rahman sebagai pemimpin Umno gagal menguruskan Lee Kuan Yew dari Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Tunku mengeluarkan SIngapura daripada Malaysia tanpa perbahasan yang masak. Tindakan Tunku itu ditentang oleh sebahagian daripada orang Melayu, khususnya orang Johor, lebih-lebih lagi Allahyarham Syed Jaafar Albar, ketua Pemuda Umno.
Tunku menyelesaikan satu masalah tetapi menimbulkan banyak masalah baru apabila beliau mengeluarkan Singapura dari Malaysia. Masalah itu masih wujud hingga ke hari ini. Terkeluarnya Singapura dari Malaysia adalah kegagalan Umno. Setelah 50 tahun memerintah Malaysia, kekalahan dalam soal Pulau Batu Puteh ini juga mencerminkan kegagalan Umno.
Setelah berpisah selama 35 tahun, Lee Kuan Yew menyatakan bahawa adalah sukar bagi Singapura untuk kembali ke Malaysia. Baru-baru ini apabila diwawancara oleh Bloomberg, Lee Kuan Yew ditanya sama ada PAP akan menerima cabaran yang sama seperti yang dihadapi oleh Umno dalam tsunami politik baru-baru ini.
Beliau membayangkan bahawa jika pemimpin-pemimpin parti yang memerintah tidak mengutamakan rakyat dan negara, sebaliknya memberi tumpuan kepada kepentingan diri, maka pengundi akan menolak mereka. Maknanya, jika rakyat dan negara tidak dibela, maka akhirnya mereka akan menolak pemimpin dan parti yang memerintah.
No comments:
Post a Comment