Wednesday, May 28, 2008

Batal Pilihanraya Semula ....Prof Aziz Bari


Pilihan raya semula bertentangan dengan Perlembagaan - Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Hrkh) - Professor Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Dr Aziz Bari berkata, tindakan membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan semula sekarang adalah bertentangan dengan peruntukan dan semangat Perlembagaan

"Segala peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan perlu diterokai terlebih dahulu sebelum mengadakan pilihan raya sekali lagi," katanya kepada Harakah, mengulas kemungkinan berlakunya pilihan raya umum tergempar ekoran keadaan politik yang tidak menentu dalam negara sekarang.

Pakar Perlembagaan itu berkata, prosedur yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan mesti terlebih dahulu digunakan dan ini merupakan salah satu alasan mengapa pilihan raya bukan cara terbaik untuk diambil sekarang.

Bahkan katanya, pilihan raya bukanlah kaedah yang sesuai untuk keadaan sekarang. Baru-baru ini, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkemungkinan besar akan mengadakan pilihan raya umum tergempar.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Haji Wan Ahmad Wan Omar pula dilaporkan berkata, pilhan raya tergempar boleh diadakan bila-bila masa daripada sekarang.
Dua minggu lepas menteri kabinet, Dato' Shahrir Abdul Samad memberitahu ahli Umno supaya bersiap sedia menghadapi pilihan raya baru berikutan kejutan yang dibuat oleh bekas presiden parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamed keluar parti.

Aziz tidak bersetuju dengan pandangan Wan Ahmad kerana biarpun Perdana Menteri mempunyai kebebasan untuk memohon supaya parlimen dibubarkan, namun kata putus adalah pada tangan Yang di-Pertuan Agong.
"SPR telah mewujudkan pandangan yang salah bahawa kerajaan mempunyai kebebasan untuk sewenang-wenangnya mengadakan pilihan raya umum," katanya.
Beliau memberikan dua alasan mengapa pembubaran parlimen dan pilihan raya tidak perlu diadakan.
Pertama katanya, buat masa ini wujud kerajaan alternatif yang berpotensi iaitu Pakatan Rakyat. Agong perlu tunggu sehingga proses melompat parti selesai dan kemudian mengarahkan kerajaan sekarang melepaskan kuasa seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 43(4). Dan kemudian Agong akan melantik kerajaan baru di bawah Artikel 43(2)(a) dan (b).
Kedua katanya, pilihan raya umum baru sahaja diadakan iaitu pada Mac lalu. Walaupun kerajaan berada dalam keadaan terumbang-ambing, Agong perlu menggalakkan ia dibentuk semula melalui parlimen sedia ada. - mns

No comments: