Jikalah benar dan jadi akan tindakan CUEPACS ancam boikot sambutan 1 Mei, ini adalah satu peristiwa bersejarah lagi yang cukup bersejarah bagi negara kita. Sejarahnya adalah pertama kali dalam sejarah Perkhidmatan Awam Negara kakitangan memancam untuk memboikot kerajaan. Pertama kali juga dalam sejarah negara kakitangan kerajaan boikot kerajaan yang memerintah negara bawah PM UMNO yang ke 5 Malaysia.
Garang dan melawannya kakitangan kerajaan makin 'tebal' dengan tahap kepedulian PM semakin lemah. Maka saat kemarahan ditambah dengan tahap kepedulian lemah PM seakan-akan benda ini menjadi realiti.
Kita merasakan tahap kepedulian PM Pak Lah makin baik bila kalah di 5 negeri. di tambah dengan desakan dan asakan pelbagai pihak untuk bertindak membaiki parti dan kepimpinan UMNO, terutama selepas Ku Li mahukan EGM dibuat.
Namun apa yang kita jangkakan amat meleset sekali. Tahap ketidak kepedulian dan ketidakcaknaan Pak Lah semakin-makin menjadi-jadi . Dia bertindak seperti orang fana dan bebal gayanya.
Ancam oleh CuEPACS tidak memberi bekas lagaknya. maka kita tunggu dan saksikanlah
SUNGKAI 2 April – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengancam akan memboikot dua sambutan Hari Pekerja Mei depan, jika lima tuntutan mereka terhadap kerajaan tidak dipenuhi.
Presidennya, Omar Osman berkata, tindakan memboikot itu adalah keputusan yang diambil dalam satu mesyuarat bersama 120 kesatuan yang bergabung di bawah CUEPACS hari ini.
Katanya, kedua-dua sambutan Hari Pekerja yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia melibatkan kakitangan sektor awam dan swasta pada 3 Mei dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Mei depan membabitkan ahlinya di seluruh negara.
‘‘Kita mahukan kerajaan memberikan respons yang cepat dalam tuntutan ini dan memberikan tempoh sehingga 29 Mei untuk kerajaan membuat keputusan.
‘‘Keputusan itu diambil secara sebulat suara kerana kami pernah menuntut kepada kerajaan dan JPA sebelum ini supaya mempertimbangkan lima tuntutan yang melibatkan kepentingan kakitangan awam seluruh negara.
‘‘Tindakan ini bukan satu ugutan kerana kami telah mengemukakan tuntutan ini sejak berapa lama dan perbincangan juga telah diadakan sebelum ini tetapi sehingga kini belum ada kata putus daripada kerajaan,” katanya.
Kelazimannya setiap tahun sambutan Hari Pekerja akan dirasmikan oleh Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat dengan 120 kesatuan yang bergabung di bawah CUEPACS di sini hari ini.
Lima tuntutan CUEPACS ialah bayaran honorarium tahun 2007 sebanyak RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan, kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar, pelanjutan umur persaraan daripada 55 tahun kepada 60 tahun dan pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), elaun kritikal dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP).
‘‘Kami sudah menilai semua tuntutan tersebut yang keseluruhannya membabitkan perbelanjaan tidak sampai RM2 bilion,” katanya.
Katanya, tindakan kerajaan yang menarik balik elaun kritikal dan imbuhan tetap perumahan sebanyak 10 peratus yang diberikan kepada kakitangan dalam jawatan kritikal pada Februari lalu telah memburukkan lagi keadaan.
‘‘Kami pernah menghantar kertas kerja mengenai honorarium dan elaun lanjutan persaraan wajib kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan pada September tahun lalu selepas mengadakan perbincangan bersamanya di Putrajaya.
‘‘Tetapi, sehingga kini tiada sebarang jawapan daripada KSN walaupun sudah enam bulan berlalu menyebabkan semua ahli kongres dan gabungan persatuan memaksa kami mengambil tindakan tersebut,” katanya.
Omar berkata, mereka bagaimanapun bersedia untuk berbincang semula sekiranya pihak KSN bersedia untuk mempertimbangkan tuntutan daripada CUEPACS tersebut.
‘‘Kami memberikan tempoh sehingga 29 Mei depan untuk menjalankan rundingan terhadap kelima-lima tuntutan kami selama ini.
‘‘Kami tidak berganjak daripada keputusan kami untuk memboikot kedua-dua sambutan itu pada bulan depan jika pihak berkenaan tidak membalas sebarang jawapan untuk membincangkan perkara itu.
‘‘Bagaimanapun, ini bukannya perkara baru, lagipun tuntutan ini diminta untuk dipertimbangkan sejak tahun lepas dan selepas ini, kami akan menghantar surat kepada KSN bagi membincangkan isu ini sekali lagi,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang nasib kakitangan awam di lima negeri di bawah kerajaan pembangkang, Omar berkata, kerajaan negeri tidak boleh melakukan sebarang diskriminasi terhadap kakitangan berkenaan.
Katanya, kalau wujud sebarang diskriminasi, mereka boleh mengemukakan aduan kepada CUEPACS untuk tindakan selanjutnya.
‘‘Kita akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri terbabit untuk berbincang.
‘‘Ingin saya tegaskan ialah segala insentif yang diberikan kepada kakitangan awam sebelum ini mestilah dikekalkan dan mereka perlu menjalankan tugas yang tidak bercanggah dengan sektor awam,” katanya.
No comments:
Post a Comment