Wednesday, April 30, 2008

Titah YDPA Pembukaan Dewan Rakyat ?


Kerajaan akan terus bagi subsidi, titah Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah kerajaan akan berusaha meneruskan pemberian subsidi dan pelbagai bantuan lain demi kesejahteraan rakyat khususnya dalam menghadapi kesan langsung kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa.Seri Paduka Baginda bertitah lebih RM36 bilion diperuntukkan untuk tujuan itu dan sehingga ini pelbagai subsidi dan bantuan disediakan bagi membendung kenaikan harga barang dan meringankan beban perbelanjaan rakyat.
"Paras harga minyak di pasaran antarabangsa yang tinggi telah memberi kesan langsung kepada harga barangan dan perkhidmatan. Sehubungan ini, kerajaan mengambil pelbagai langkah termasuk mengenakan kawalan harga dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan untuk membendung kenaikan harga demi kesejahteraan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah," titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal pertama Persidangan Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat, di sini.Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut berangkat ke istiadat itu.
]
Tuanku Mizan bertitah baginda amat kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang telah menyalahguna kemudahan subsidi itu dengan menyorok dan menyeludup barangan keperluan yang berkenaan ke luar negara demi mengaut keuntungan besar."Perbuatan tersebut sangat hina kerana mendatangkan kesusahan dan merampas hak rakyat," titah Seri Paduka Baginda.
Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan rakyat bahawa langkah yang diambil kerajaan tidak mencukupi jika rakyat sendiri tidak mengamalkan sikap bijak berbelanja.Menyentuh perkara lain, Tuanku Mizan yang melahirkan penghargaan kepada semua pihak atas kelancaran proses pilihan raya umum 8 Mac lepas, mahu Anggota Parlimen menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama mereka dan tidak menggunakan Dewan Rakyat bagi kepentingan politik individu.
"Kepada anggota-anggota Dewan Rakyat yang terpilih, beta ucapkan tahniah dan berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat akan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, ikhlas, jujur serta sentiasa menunjukkan tingkah laku yang terpuji demi maruah diri dan negara."Penghormatan dan keyakinan rakyat kepada Parlimen sebagai sebuah badan perundangan tertinggi negara bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Jadikanlah Dewan yang mulia ini sebagai persada untuk menyampaikan teguran yang membina dan pendapat-pendapat yang bernas," titah baginda.
Tuanku Mizan seterusnya bertitah kepada semua pihak agar memikul tanggungjawab memastikan semua kaum bersatu padu dan menangkis segala cubaan untuk memecah belahkan rakyat kerana kunci kejayaan negara adalah hasil kestabilan politik dan perpaduan kaum.Tuanku Mizan turut menyentuh mengenai usaha kerajaan dalam menangani gejala rasuah dengan menstrukturkan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di samping menubuhkan Jawatankuasa Parlimen mengenai Pencegahan Rasuah."Beta berharap usaha-usaha tersebut akan meningkatkan lagi keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti dalam usaha membanteras rasuah di negara ini," titah baginda.Ini kerana, titah baginda, pencapaian ekonomi dan pembangunan yang dinikmati selama ini tidak akan bermakna jika rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan, masih berlaku.
Tuanku Mizan juga meminta kerajaan meneruskan usaha penambahbaikan Perkhidmatan Awam yang giat dilaksanakan sekarang bagi memenuhi kehendak rakyat dan pelabur.Mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi barubaru ini berkenaan langkah-langkah memperkasakan sistem kehakiman negara,
Tuanku Mizan bertitah ia menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem itu terus kekal adil, dihormati dan bebas daripada sebarang pengaruh selaras dengan kehendak rakyat."Sistem kehakiman yang adil dan efektif adalah penting untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara," titah baginda.
Tuanku Mizan juga menyarankan supaya kurikulum dan kaedah pembelajaran Program Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Permata Negara (Permata) diperluaskan ke seluruh negara dalam usaha membangunkan modal insan berkualiti.Ini kerana, titah Seri Paduka, hasil kajian Universiti Pendidikan Sultan Idris mendapati kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang mengikuti program itu mempunyai perkembangan emosi, sosial, intelek, rohani, pengurusan diri dan kemahiran komunikasi yang tinggi, menepati ciri-ciri modal insan yang mempunyai minda kelas pertama.
Yang di-Pertuan Agong juga mahu kerajaan mengambil langkah tegas secara bersepadu dalam menangani gejala sosial bagi memastikan pembangunan modal insan dan kerohanian selari dengan pendekatan Islam Hadhari."Beta memandang berat gejala sosial seperti penagihan dadah, penyelewengan akidah dan sebagainya yang boleh menjejaskan kesucian agama Islam," titah baginda.
Tuanku Mizan seterusnya bertitah kepada semua pihak agar memikul tanggungjawab memastikan semua kaum bersatu padu dan menangkis segala cubaan untuk memecah belahkan rakyat kerana kunci kejayaan negara adalah kestabilan politik dan perpaduan kaum. BERNAMA

No comments: