Sunday, April 06, 2008

Pesanan MB Perak : Wakil Rakyat Jangan Campurtangan urusan jabatan kerajaan

Wakil rakyat jangan campur tangan urusan pentadbiran jabatan kerajaan


LUMUT: Semua wakil rakyat di Perak diminta tidak mencampuri urusan pentadbiran jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan Penghulu dan Jawatankuasa Kerja dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Menteri Besar, Mohammad Nizar Jamaluddin berkata beliau memberi kebebasan kepada semua ketua jabatan dan agensi berkenaan serta penjawat awam melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik-baiknya tanpa mendapat tekanan daripada mana-mana pihak.

“Saya meminta supaya semua wakil rakyat tidak memberi tekanan kepada jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan JKKK sehingga menyukarkan mereka untuk melaksanakan tugas. Mereka sepatutnya diberi peluang untuk bekerja secara profesional dalam segala urusan dan memberikan perkhidmatan membabitkan orang ramai,” katanya di sini hari ini.


Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis kesyukuran atas kemenangan beliau sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang di Dewan Majlis Perbandaran Manjung di Seri Manjung di sini yang dihadiri kira-kira 7,000 orang.

Mohammad Nizar memenangi kerusi DUN Pasir Panjang pada pilihan raya umum lepas setelah menewaskan calon Barisan Nasional (BN), S. Vasan dengan majoriti 4,474 undi.

Selain itu katanya kerajaan negeri pada masa sekarang adalah kerajaan Pakatan Rakyat yang sentiasa terbuka dan berusaha untuk menyelesaikan masalah rakyat berdasarkan lima prinsip pentadbiran iaitu keadilan, amanah, ketelusan, wibawa dan kebajikan.

Beliau berkata kerajaan negeri bersedia menerima teguran daripada rakyat sekiranya apa yang dilaksanakan adalah sesuatu yang tidak baik dan tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Tetapi sekiranya kerajaan negeri melakukan sesuatu yang elok dan baik maka berilah sokongan penuh kepada kami. Kami juga menawarkan lima prinsip utama dalam pentadbiran dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata kerajaan campuran yang diterajui tiga parti iaitu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS itu dibentuk selepas memenangi 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada pilihan raya umum 8 Mac lepas manakala BN hanya menang 28 kerusi. - Bernama

No comments: