Monday, April 07, 2008

Pak lah baru akui realiti dalam UMNO

Baru kini Pak Lah mengaku dan terima hakikat bahawa dalam UMNo banyak 'busuk' nya . Moralnya 'busuk' ikan daripada kepala harus disedari sendiri Pak Lah. Cermin cerminlah dan fikir-fikirkan lah seperti kata Farid Ezmer warta Jam 10.


Inilah kali pertama secara terbukanya Pak Lah mengaku akan kebejatan di dalam UMNo. Dulu semasa dalam Team B beliau menghentam keromo Dr M atas kebejatan Dr M sahaja masa itu.

Namun kejujuran dan pernyataan terbuka Pak Lah sudah berakhir , UMNO semakin nazak dan sukar untuk dibaikpulih dan dibantu bantuan pernafasan hatta melalui bantuan penafasan cemas sekali pun.

Barisan atau Pakatan Rakyat dari segi sifirnya 'cuma' menghitung hari sahaja. Jika kena hayunan dan langkahnya dapat terus mengambilalih tampuk pemerintahan negara. Maka bermulalah harga minyak dapat diturunkan dan kebajikan kepada rakyat dapat disegerakan bukti.

Maka selepas ini, harap beliau akuilah juga amalan yang berlaku dalam kerajaan pimpinannya. Akui juga DEB memboyotkan dan memberi santapan 'roh perut' (kata Dr Fuad) kepada pimpinan negara semasa melaksanakan pembangunan negara bawah amalan DEB.

Perbuatan 'menggelapkan' wang punca calon UMNO kalah


Abdullah Ahmad Badawi bermesra dengan ahli-ahli UMNO yang menghadiri majlis taklimat di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 6 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mendedahkan wujud perbuatan pemimpin UMNO 'menggelapkan' wang kempen pilihan raya sehingga menyebabkan calon parti itu kalah pada pilihan raya umum, 8 Mac lalu.

Naib Presiden parti, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pendedahan yang dibuat Abdullah ketika Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO, membabitkan perbuatan pemimpin tertentu melakukan sabotaj dengan tidak mengagihkan wang berkenaan kepada jentera pilihan raya.

Sebaliknya, kata beliau, wang itu disimpan pemimpin terbabit untuk digunakan ketika pertandingan dalam parti.

Mohd. Ali berkata, langkah itu juga bertujuan memastikan calon yang bertanding dalam pilihan raya kalah kerana bimbang jika menang, individu berkenaan akan lebih bersemangat untuk merebut jawatan di peringkat pemilihan parti.

''Kita melihat banyak ahli yang menyesal kerana melakukan perbuatan sabotaj ini semata-mata disebabkan tidak menyukai calon yang dipilih sehingga menyebabkan kita kalah di kawasan sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berkenaan yang dihadiri lebih 1,000 petugas jentera penerangan parti dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menyentuh amanat Abdullah, Mohd. Ali berkata, Perdana Menteri memaklumkan antara faktor yang menyebabkan sokongan rakyat berkurangan ialah masalah kenaikan harga minyak dan barangan.

Katanya, Presiden UMNO juga mengakui sentimen perkauman yang ditimbulkan oleh parti pembangkang termasuk isu agama dan pertubuhan haram Hindraf telah menyebabkan kaum India tidak menyokong Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, kritikan Tun Dr. Mahathir Mohamad juga adalah antara punca menyebabkan calon UMNO kalah dan sehubungan itu, beliau merayu bekas Presiden parti itu supaya memainkan peranan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Syed Hamid Albar pula berkata, kritikan bekas Perdana Menteri itu terhadap UMNO dan kerajaan telah membantu kemenangan parti pembangkang.

''Kita menghormati Dr. Mahathir sebagai seorang yang telah menyumbang banyak kepada negara dan perkara terbaik baginya ialah memikirkan bagaimana hendak mengukuhkan UMNO.

''Saya minta sesiapa sahaja yang mengkritik UMNO supaya berhenti berbuat demikian sebaliknya memberikan cadangan yang membina bagi mengukuhkan kembali parti,'' katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali pula berharap semua ahli dapat merapatkan semula perpaduan dan menumpukan usaha untuk memperkukuhkan semula parti.

''Bagi UMNO Perak, yang penting ialah ahli-ahli UMNO sendiri perlu perkukuhkan parti bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya yang akan datang,'' ujarnya.

Ahli MT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penjelasan Abdullah mengenai punca prestasi BN merosot serta usaha yang akan diambil parti bagi memulihkan sokongan rakyat disambut baik oleh hadirin.

''Mereka terima penjelasan yang diberikan dan tumpuan kita kini ialah untuk menyuntik semangat supaya parti lebih bersedia dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang,'' katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh pula memberitahu, hadirin menerima baik fakta-fakta sebenar yang menyebabkan calon parti kalah.

''Mereka nampaknya kembali bersemangat untuk memastikan BN menang pada pilihan raya umum akan datang," ujar beliau.

Ahli MT, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ucapan Perdana Menteri selama kira-kira dua jam membolehkan ahli UMNO mengetahui tindakan yang perlu diambil mereka untuk memulihkan parti.

''Saya mahu semua ahli bersatu semula dan tidak berbalah sesama sendiri mengenai keputusan pilihan raya yang lalu,'' katanya.

No comments: