Pak Lah baru sedar dan terima hakikat bahawa dia dan UMNO adalah 'tidak kuat'. Mungkin inilah cakap atas sedar dan baru keluar daripada sikap bawah sedar selama hari ini. Pengakuan yang dipendam selama hari ini terpacul bilamana katanya kritikan Dr M turut sama membantu bagi 'memendekkan' jangkahayat UMNo atau dalam lain perkataan mempercepatkan UMNo untuk ditalqinkan.
Pak Lah sendiri sedar bahawa orang yang mula-mula merosakkan UMNo adalah Dr M, masa jadi Presiden UMNO Dr M jugalah yang menyebabkan UMNo diharamkan, Dr M memperkenalkan sisitem kouta, presiden tidak boleh dicabar, Dr M memimpin cara autokratik gayanya, ambil pendekatan pragmatik UMNO dan kerajaan, membawa dan membuka keahlian UMNo kepada 'bukan Melayu' sejati. Inilah agaknya istilah 'membantu merosakkan UMNO' kot dalam telahan kita apa yang tersirat dalam kepala Pak Lah terhadap Dr M.
Hari ini, tempelakkan Pak Lah pada Dr M, dah terlambat semua yang dicakapkan itu sudah basi. semua rakyat Malaysia dah tahu, perkara atau isu ini dah bertahun-tahun didedahkan oleh Sdr Mohd Sabu dalam mana-mana ceramahnya seluruh malaysia.
Maknanya Pak Lah ketinggalan lagi.... refresh Pak Lah dalam hal ini ibarat budak kecil bertumbuk, pak lah nak lawan Dr M macam bebudak bertumbuk sahaja laku dan lagaknya. Alahai pak Lah ku........
Dr. Mahathir bantu rosakkan UMNO - PM
KUALA LUMPUR 6 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang selama ini berdiam diri terhadap kritikan pedas Tun Dr. Mahathir Mohamad, hari ini mengecam bekas Perdana Menteri itu kerana 'membantu' merosakkan UMNO.
Perdana Menteri yang mengakui Dr. Mahathir mempunyai kekuatan tersendiri, kesal kerana ia telah disalahgunakan untuk terus-terusan mengkritik kepimpinannya sehingga melemahkan parti dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
''Dia kata dia kuat, memanglah dia kuat. Tetapi kekuatan yang digunakan ialah sesuatu kekuatan yang disalahgunakan,'' katanya.
Abdullah bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Abdullah mengimbas komen Dr. Mahathir yang mempunyai nada berbeza semasa BN mencatat kemenangan besar pada pilihan raya umum lepas.
''Apa yang berlaku dulu, masa kita menang 2004, kata beliau.. 'ini kuat sangat, tak boleh, tak elok, mesti ada pembangkang'... seolah-olah dia bertolak-ansur dengan pembangkang sepanjang masa.
''Apabila pembangkang naik (menang), saya ingat kut dia nak raikan... dia hentam kita pula.
Dia kata mengapa pula jadi begini?
''Jadi menang banyak pun tak boleh, menang sikit pun tak boleh. Apa yang boleh?,'' soalnya.
Abdullah turut mempersoalkan kenyataan Dr. Mahathir yang mendakwa kebebasan media kini disekat.
''Apakah pada masa dulu tidak ada sekatan-sekatan seperti itu?'' soalnya.
Menurut Abdullah, Dr. Mahathir sendiri menghalang media membuat liputan tentang Tun Hussein Onn sejak mengambil alih jawatan daripada Perdana Menteri ketiga itu.
''Saya tahu pemberita semua dipanggil apabila Tun Mahathir mengambil alih (jawatan) Perdana Menteri, jangan (buat) berita, jangan tunjuk gambar (bekas Perdana Menteri ketiga) Tun Hussein (Onn), jangan beri berita kepada dia.
''Operasi Lalang siapa yang bertanggungjawab, saya tahu, bukan saya tak tahu. Orang tertentu jangan diberi liputan oleh akhbar. Ini adalah arahan-arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa yang saya tahu,'' katanya.
Abdullah lega kerana kini ahli-ahli UMNO sendiri mula mengeluarkan kisah sebenar yang berlaku pada zaman Dr. Mahathir.
''Kita hendak bekerja dan bermuafakat, bekerjasama ini yang penting. Rakyat tidak dapat menerima UMNO terus bersengketa pada waktu ini,'' tegasnya.
Ditanya sama ada Dr. Mahathir yang dikaitkan dengan campur tangan pelantikan hakim akan disiasat seperti disarankan oleh peguam yang juga Ahli Parlimen DAP, Karpal Singh, beliau berkata, ia perlu dipertimbangkan sekiranya ada bukti.
''Kalau ada tuduhan yang terbukti kepada sesiapa pun... tak kan kita nak pejam mata, tak boleh,'' katanya.
Bagaimanapun tegasnya, keputusan untuk membuka fail siasatan itu tidak akan dibuat olehnya.
''Saya tidak buka fail (siasatan). Bukan tugas saya untuk membuka fail siasatan ke atas sesiapa pun. Itu tugas Badan Pencegah Rasuah. Kalau ia rasa itu sesuatu yang sudah wajar dan ada bukti, terserah kepada mereka,'' katanya.
Ditanya tidakkah UMNO merasakan kritikan Dr. Mahathir dibuat untuk kepentingan parti, Abdullah menjawab: ''Berilah kami peluang untuk buat apa yang terbaik untuk parti, kerajaan dan negara.''
Dalam hal ini, Pengerusi BN itu memberitahu beliau sendiri akan turun padang berjumpa dengan ahli dan masyarakat peringkat akar umbi bagi menjelaskan pelbagai isu.
Bagaimanapun buat masa ini, katanya, beliau perlu memperbetulkan banyak perkara utama seperti harga minyak dan kenaikan harga barang yang menjadi isu cukup besar dalam pilihan raya lalu.
No comments:
Post a Comment