Saturday, April 19, 2008

Eloklah tu insaf akan kesalahan - Kerajaan Malaysia

Pembayaran ex-gratia bukan tanda minta maaf: Najib

CYBERJAYA: Pembayaran ex-gratia yang diumumkan kerajaan untuk enam bekas hakim yang terlibat dalam krisis kehakiman 1988, semalam bukan merupakan satu bentuk minta maaf kerajaan terhadap mereka, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pembayaran ex-gratia bukan seperti melihat semula apa yang telah diputuskan. Ia tidak harus ditafsirkan sebagai sebarang bentuk minta maaf tetapi ini adalah cara kita mengambil pertimbangan apa yang mereka lalui, pengalaman peribadi mereka, kesusahan yang telah mereka rasai.

"Itu saja...jadi ia patut dilihat dari aspek itu. Ia tidak harus ditafsirkan lebih daripada itu," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama antara pengeluar kenderaan Chery Automobile Co Ltd dan Alado Corporation Sdn Bhd di sini.

Enam bekas hakim itu ialah Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abas, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed serta Datuk George Seah.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa kerajaan selain daripada membayar ex-gratia kepada enam hakim kanan itu, juga akan menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim untuk mencalonkan, melantik dan menaikkan pangkat hakim secara telus dan diwakili.

Mengenai anggota suruhanjaya itu, Timbalan Perdana Menteri berkata ia akan dibincangkan kemudian.

"Saya fikir ia (penubuhan suruhanjaya) itu merupakan satu langkah ke depan yang penting kerana pembaharuan atau perubahan yang diumumkan Perdana Menteri semalam bermakna kerajaan sedar bahawa kita memang perlu memastikan bahawa kehakiman kita mempunyai kewibawaan yang tinggi dan sistem kehakiman di negara ini boleh bertindak dari segi membuat keputusan dengan cepat dan hakim-hakim yang mempunyai kewibawaan dan kebolehan tinggi dilantik di pelbagai peringkat.

"Pembentukan suruhanjaya ini adalah ditekankan di sini, hanya atas kapasitinya sebagai penasihat. Kuasa muktamad masih terletak kepada Perdana Menteri untuk mengemukakan cadangan rasmi kepada Yang diPertuan Agong dan Majlis RajaRaja.

"Ia merupakan satu langkah ke depan yang amat penting kerana ia bermakna Perdana Menteri mempunyai sekumpulan orang yang amat bijaksana dan terbilang untuk memberikan pendapat mengenai kesesuaian melantik seseorang itu memegang pelbagai jawatan dalam kehakiman," kata Najib.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kerajaan akan memberi pertimbangan yang adil kepada semua kaum, termasuk kaum India, atas tuntutan komuniti masing-masing.

Najib berkata demikian setelah diminta mengulas kenyataan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu semalam di dalam Malaysiakini, sebuah laman web berita, bahawa beliau akan meminta bantuan dari luar negara jika kerajaan tidak membuat sesuatu untuk membantu kaum India Malaysia.

"Saya tidak tahu apa yang beliau cakapkan. Saya perlu bertanyakan Datuk Seri Samy Vellu apa yang beliau maksudkan," katanya.

"Dari segi dasar kita, kita akan beri pertimbangan yang adil dan saksama kepada semua kaum dan apa-apa pun yang diperlukan oleh masyarakat kaum India, kita sedia untuk timbangkanya tapi semua dalam konteks pakatan BN.

"Apaapa pun kita sedia timbangkan tapi bukan dalam bentuk ugutan tapi dalam bentuk permohonan, cadangan dan sebagainya," kata Najib. BERNAMA

No comments: