Tuesday, March 18, 2008

Tahniah Isa Sabu, MB kedua Perlis lepas merdeka !!

Isa sah MB, Shahidan di mana?


MD ISA dan isteri, Datin Asiah Asmuni melambaikan tangan ke arah para tetamu selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis di Kangar semalam.



ARAU - Datuk Dr. Md. Isa Sabu sah menjadi Menteri Besar Perlis yang baru apabila mengangkat sumpah ke jawatan itu semalam.

Pada majlis yang berlangsung di Bilik Hijau, Istana Arau di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di sini pada pukul 5.40 petang itu, Md. Isa, 61, turut menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar yang ke-6.

Turut menyaksikan majlis tersebut 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi termasuk parti Pas hadir.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga ADUN Tambun Tulang tidak kelihatan pada majlis itu sekali gus menimbulkan tanda tanya di kalangan jemputan.

Kosmo! difahamkan beliau masih berada di Kuala Lumpur dan tidak dapat dihubungi.

Md. Isa yang berpakaian baju Melayu lengkap berwarna hitam kemudian menandatangani surat pelantikan sebelum majlis istiadat berakhir.


SHAHIDAN


Turut hadir Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Othman dan Penasihat Undang-Undang Negeri Abdul Rasid Sudin.

Pada majlis berasingan di bilik media di sini, Md. Isa memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi hari ini untuk menyerahkan senarai nama Exco kerajaan negeri yang baru.

"Saya akan serahkan kepada Perdana Menteri dahulu sebelum umumkan senarai berkenaan," jelasnya pada sidang akhbar itu.

Sebelum itu pada sebelah pagi, Md. Isa disambut oleh ribuan rakyat termasuk pemimpin UMNO negeri sekembalinya dari Kuala Lumpur di Stadium Utama Kangar.

Beliau berjanji akan memimpin negeri itu dengan lebih adil dengan mengamalkan pengurusan dan pentadbiran yang lebih telus.

Beliau turut berjanji akan ikhlas dan jujur dalam pentadbirannya tanpa mengira perbezaan politik.

"Saya akan bergerak sebagai satu pasukan dengan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bersama saya bagi membawa misi perubahan positif ini di Perlis," jelas Md. Isa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong.

No comments: