Tuesday, March 11, 2008

Siapa pukul siapa ?

Pukulan’ undi protes


Trend pengundi sekarang bersikap terbuka dalam membuat pilihan calon yang layak mewakili suara mereka. – Gambar hiasan.


TREND 11 pilihan raya sebelum ini menunjukkan bahawa siapa pun yang dicalonkan untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang lebih 50 peratus untuk menang.

Malah, ada suara-suara nakal menyebut, di negeri seperti Johor waima diletakkan batang pisang berlogokan dacing sekalipun, orang ramai pasti akan mengundi BN.

Ini adalah rentetan daripada kepercayaan pengundi bahawa BN adalah parti yang selayaknya memperjuangkan nasib rakyat – lantas mereka mengutamakan parti berbanding individu yang dicalonkan.

Apatah lagi di negeri yang sememangnya dikenali sebagai kubu kuat BN – logo dacing menjadi perisai yang menghalang pembangkang daripada menembusi kawasan tersebut.

Trend yang telah sebati dalam tradisi BN selama lebih 50 tahun itu juga menjadi benteng mempertahankan parti daripada rebah biarpun diasak dengan beberapa insiden genting termasuk pada tahun 1999.

BN juga menjadi platform perjuangan merapatkan hubungan antara kaum justeru pengisian perjuangannya menerusi calon-calon yang dipertandingkan tidak terkecuali daripada memartabatkan hak kaum-kaum di negara ini.

Namun penerimaan trend seumpama itu merosot sedikit demi sedikit iaitu apabila kriteria calon yang dipertandingkan tidak selari dengan kehendak rakyat sehingga menjejaskan kredibiliti parti.

Rakyat semakin membuka mata bahawa antara parti dan calon tidak boleh dipisahkan, justeru jika perjuangan parti adalah untuk mengangkat martabat bangsa maka calon pun mesti mempunyai agenda yang sama.

Paras kebijaksanaan dan kematangan rakyat juga semakin bercambah untuk membuat penilaian bahawa jika pun parti yang dipangkah itu besar namanya, tetapi individu yang dicalonkan kecil mindanya untuk mengisi selera rakyat terutama golongan bawahan, maka parti menjadi tidak relevan.

Apatah lagi jika selepas diteliti senarai calon tercuit kesangsian tentang kredibiliti mereka, sudah pasti hasrat untuk memangkah calon berkenaan semata-mata demi parti akan terbantut.

Lebih menyakitkan jika individu yang dicalonkan tidak memenuhi kriteria pengundi, entah dari mana dia didatangkan, tanpa mengambil kira sentimen rakyat menyebabkan akhirnya rakyat memprotes menerusi kertas undi.

Bantahan secara senyap itu mewujudkan senario yang terbalik – iaitu pengundi memangkah parti pembangkang tanpa mengira siapa yang dicalonkan. Sedangkan trend untuk parti pembangkang sebelum ini ialah pengundi akan memberi keutamaan kepada calon, bukannya parti.

Sebab itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengumpulkan pengikut yang begitu ramai, bukan kerana parti ditubuhkan atas nama keadilan itu, sebaliknya kerana faktor bekas Timbalan Perdana Menteri sebagai seorang individu.

Pada pilihan raya 2004 misalnya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) biarpun namanya dijaja ke sana sini namun tidak mendapat tempat di hati rakyat.

Hanya calon yang mendapat simpati pengundi seperti Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail diterima di Permatang Pauh, itu pun dengan majoriti undi yang amat sedikit. Beliau diterima bukan kerana PKR tetapi kerana faktor dirinya sendiri dan nilai sentimental suaminya di kawasan Parlimen tersebut.

Namun Pilihan Raya Umum Ke-12 menyaksikan trend yang amat berbeza. Bagi pengundi BN, calon menjadi amat penting manakala bagi pengundi atas pagar dan majoriti senyap, parti lebih diutamakan sehingga mengakibatkan keputusan sedemikian rupa.

Jika dilihat dari segi logik akal, apa yang dijadikan ukuran oleh pengundi untuk memilih nama baru seperti Gwo-Burne Loh (PKR) yang hanya dikenali selepas suruhanjaya video klip hakim bersidang?

Mengapa pengundi Kelana Jaya tidak memilih Datuk Lee Hwa Beng sedangkan seperti diakui oleh calon PKR itu, lawannya amat berpengalaman dalam politik.

Bijak

Hakikatnya seperti yang ditegaskan oleh pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Dr. Zulkarnain Abdul Rahman, pengundi sekarang semakin bijak dan tidak boleh dimomokkan dengan cerita-cerita indah bersifat global.

Apatah lagi laungan manifesto di peringkat atasan sedangkan isu-isu kecil tetapi penting, tidak disampaikan ke peringkat akar umbi secara bersua muka – menyebabkan pengundi menjadi muak.

Trend berkempen menerusi media elektronik misalnya tidak menyampaikan mesej secara berkesan kepada rakyat, malah pengulangan yang keterlaluan menyebabkan kumpulan terpinggir berasa hati.

Menurut Zulkarnain, agenda pembangunan yang terlalu sarat dan terawang-awang tidak dipandang oleh rakyat terutama pengundi di kawasan bandar sebaliknya ‘problem solving’ menjadi keutamaan mereka.

Lantas, apabila masalah-masalah seperti pengangkutan awam, perkhidmatan kesihatan hatta kebersihan longkang terabai maka rakyat menganggap pemimpin sedia ada gagal.

Apatah lagi jika masalah seumpama itu berulang penggal demi penggal sehingga mengganggu keselesaan penduduk dan setiap kali musim berkempen mereka akan mengulangi janji yang sama.

Selain itu, beliau mengakui bahawa trend pengundi pada pilihan raya kali ini amat unik dan pelbagai sehingga menghasilkan keputusan yang mengejutkan. Katanya, trend mengutamakan parti di kalangan mereka yang mengundi pembangkang sememangnya terserlah, sebab itu kebanyakan calon biarpun baru atau tidak dapat berkempen telah dipilih malah mencatatkan kemenangan besar.

Calon DAP, M. Manoharan yang masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) misalnya mencatat kemenangan mengejut apabila memperoleh 12,699 undi sekali gus merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam Shah.

Gagal

Mengapa Manoharan dipilih dengan majoriti sebegitu besar sedangkan beliau tidak dibenar berkempen? Jawapannya mesti ada kaitan dengan undi protes masyarakat India terhadap MIC yang dikatakan gagal memperjuangkan nasib mereka.

Nama parti-parti yang mewakili pembangkang menjadi cukup besar sehingga mengetepikan faktor calon yang bertanding – bukan kerana pengundi ingin diperintah oleh pembangkang tetapi kerana mereka memprotes tindakan parti.

Protes biasanya berpunca daripada rasa tidak puas hati tentang calon yang dipilih terutama jika pandangan mereka langsung tidak dirujuk.

Malah pemilihan calon-calon yang tidak serasi dengan rakyat baik dari segi prestasi mahupun latar belakang yang menyanggah ahli-ahli parti yang lebih kanan juga mendorong timbulnya undi protes.

Hakikatnya undi protes dan trend pilihan raya 2008 memberi pengajaran yang amat besar kepada semua pihak.

PKR sendiri semestinya tidak terfikir akan menerima kemenangan sebesar itu dengan catatan 31 suara wakilnya dipilih ke pentas Parlimen manakala 42 lagi dihantar ke Dewan Undangan Negeri (DUN).

Prestasi PKR itu semestinya amat luar biasa jika dibandingkan pada 2004 apabila hanya mempunyai satu suara di Parlimen dan tiada langsung wakil di mana-mana DUN.

Begitu juga dengan Pas dan DAP, masing-masing mencatatkan kemenangan yang boleh dibanggakan.

Adakah ini signal mereka semakin diterima oleh rakyat atau kejayaan itu didorong oleh undi protes yang pastinya akan terhakis jika pembangkang gagal menunaikan janji sepanjang tempoh lima tahun memerintah.

No comments: