BN perlukan rawatan
Pilihan Raya Umum Ke-12 yang dilaksanakan baru-baru ini telah menjadi tanda dan titik tolak kepada kepentingan bagi setiap parti yang terlibat.
Barisan Nasional (BN) yang merupakan “juara bertahan” yang selama ini berjaya mengekalkan majoriti kerusi 2/3 telah tempang dalam pilihan raya pada kali ini apabila pembangkang berjaya memperoleh 82 kerusi Parlimen manakala BN hanya mampu menakluki 140 kerusi sahaja.
Secara kasarnya dari segi angka jumlah kerusi yang dimiliki oleh pembangkang menunjukkan jumlah yang kecil daripada BN, namun ia sebenarnya merupakan kejayaan terbesar kepada pembangkang yang berjaya mencatatkan peningkatan drastik dari tahun 2004. Manakala dari perspektif BN, kejayaan pembangkang ini merupakan rekod terburuk BN semenjak tahun 1957.
‘Kekalahan BN’ ini mula menggamit para penganalisis bagi mencari ‘akar penyebab’ yang mempengaruhi rekod catatan rekod terburuk BN pada kali ini. Pelbagai alasan mula meniti di bibir-bibir rakyat yang cuba memperjelaskan fenomena perubahan terhadap dominasi BN selama ini.
Alasan-alasan seperti isu kenaikan harga barang, minyak, perpecahan dalam parti, kelemahan pentadbiran dan dasar kerajaan, nepotisme, masalah penamaan calon, lobi-melobi, gila kuasa, menjatuhkan antara satu sama lain, kelemahan pucuk pimpinan BN dan sebagainya adalah alasan yang merujuk kepada satu faktor asas iaitu kelemahan BN.
Malah terdapat masyarakat yang melihat kekalahan BN adalah disebabkan oleh kemunculan parti pembangkang yang kuat, berkarismatik, penawaran manifesto yang baik dan sebagainya.
Persoalannya adakah kejayaan pembangkang benar-benar dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti mana yang diuar-uarkan? Sekiranya kita menganalisis, kejayaan pembangkang pada pilihan raya kali ini, ia adalah hasil daripada kelemahan yang wujud dalam BN itu sendiri.
Pilihan raya pada kali ini telah membuka ruang yang memberikan ‘tuah’ kepada pembangkang untuk mengambil kesempatan dan menewaskan ‘dominasi’ BN dalam politik Malaysia selama ini.
BN sepatutnya tidak boleh menuding jari kepada pembangkang dengan kekalahan ini, sebaliknya BN perlu mengenal pasti apakah faktor utama yang menyebabkan kekalahan besar BN?
Dengan perkataan lain, BN perlu mengambil pendekatan yang lebih berkesan dengan mengenal pasti faktor yang mempunyai keutamaan terhadap kekalahan dalam pilihan raya kali ini. Ini menunjukkan BN memerlukan rawatan segera bagi memastikan BN kembali kukuh seperti yang pernah dikecapi sebelumnya.
Kekalahan BN pada kali ini turut dikaitkan dengan faktor 30 peratus pengundi muda yang telah menjejaskan undi BN dalam pilihan raya kali ini. Namun faktor ini hanyalah faktor yang melindungi faktor yang utama iaitu kelemahan BN itu sendiri. BN perlu bertanyakan mengapa golongan muda ini memilih pembangkang dan mengapa tidak BN?
Inilah analisis yang sepatutnya diutarakan dan bukannya dilihat sebagai faktor kekalahan BN.
Perlu kita sedar, senario cara dan penilaian berpolitik di Malaysia pada hari ini adalah berlainan berbanding pada masa dahulu. Usia Malaysia kini berumur 50 tahun dan ia membawa maksud telah wujud satu generasi yang berumur 50 tahun selepas tahun 1957.
Generasi ini adalah golongan yang menyaksikan perkembangan politik Malaysia yang berlandaskan keberkesanan kerajaan dan kemajuan ekonomi. Pemikiran politik sebilangan besar generasi baru ini adalah berbeza dengan generasi lama yang berpolitik berlandaskan kepentingan parti dan negara.
Di sini persoalan mengenai mengapa pemilih muda beralih kepada pembangkang adalah disebabkan oleh kelemahan BN itu sendiri yang gagal memahami perubahan pemikiran pengundi bagi generasi-generasi baru.
Perlu kita sedar, kejayaan pembangkang yang berjaya mencatatkan peningkatan undi dalam pilihan raya pada kali ini adalah hasil daripada pengundi yang pernah memilih BN dalam pilihan raya 2004. Ini bermaksud golongan ini pernah memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada BN yang dipimpin oleh Perdana Menteri.
Jadi mengapa pada pilihan raya kali ini sokongan tersebut memihak kepada pembangkang? Pastinya kelemahan BN telah mempengaruhi undi golongan muda ini.
Perlu kita fahami salah satu faktor yang mempengaruhi undi rakyat adalah kewibawaan dan karismatik pemimpin sesuatu parti itu. Kelemahan kepimpinan dalam menangani masalah dalaman parti dan kelemahan dalam pelaksanaan dasar kerajaan telah menjadi kayu ukur bagi rakyat terhadap BN secara keseluruhan.
Isu-isu nasional seperti harga barang, kenaikan minyak, tol, rasuah, kes klip video berkaitan, skandal seks elit politik, rusuhan, nepotisme dalam politik negara, masalah masyarakat India, keselamatan sosial dan sebagainya adalah isu yang mempengaruhi tanggapan terhadap kemampuan kerajaan BN pada ketika ini.
Sememangnya ia adalah isu yang amat perit diterima, namun inilah isu yang diguna pakai oleh pembangkang yang berjaya memancing kepercayaan dan keyakinan rakyat. Di sini dapat kita lihat relevannya mengapa pembangkang melahirkan manifesto negara kebajikan, kerajaan yang bersih, menghapuskan tol, harga barang, keadilan dalam perundangan, menurunkan harga barang, menentang isu nepotisme, menawarkan pembangunan dan pembelaan bagi bukan Melayu dan kemakmuran negara.
BN perlu sedar, pertandingan mereka dalam setiap pilihan raya adalah satu gelanggang yang tidak hanya membawa imej dan nilai kewibawaan seseorang calon semata-mata. Sebaliknya ia juga akan turut membawa apa-apa sahaja pelaksanaan dan perkembangan yang dijalankan oleh BN semasa memerintah.
Ini menunjukkan para pengundi akan mengambil kira kelemahan dan kebaikan yang pernah dibuat oleh BN selama ini.
Di dalam gelanggang pilihan raya, parti yang bertanding tidak dapat melindungi apa-apa kelemahan yang telah berlaku kerana kelemahan setiap parti adalah senjata bagi parti-parti lain untuk mengalahkan musuh.
Justeru, semakin banyak kelemahan yang dilakukan, semakin banyak ruang dan senjata dapat digunakan oleh parti lain dalam mengalahkan BN dalam gelanggang pilihan raya.
‘Kekalahan BN’ pastinya akan menjadi lebih teruk sekiranya penyakit yang dialami oleh parti pada ketika ini tidak diselesaikan. Sekiranya BN hanya memberi penumpuan penyelesaian terhadap faktor-faktor sampingan dan tidak melakukan perubahan terhadap faktor yang sebenar iaitu kepimpinan dan masalah parti, ia sebenarnya akan gagal menggamit keyakinan dan kepercayaan rakyat Malaysia.
Situasi ini sekali lagi akan mempengaruhi prestasi BN pada pilihan raya akan datang. Rombakan dalaman parti boleh dilaksanakan berdasarkan merit yang berjaya dicapai oleh calon-calon dalam pilihan raya baru-baru ini.
Kekalahan elit politik dan muka lama BN yang satu masa dahulu merupakan tunjang atau ikon bagi setiap parti adalah satu titik tolak yang memberi isyarat kepada BN untuk memperkenalkan muka baru dalam barisan parti pada kuantiti yang lebih besar.
Pengenalan muka baru ini perlulah merujuk kepada sejauh mana sokongan rakyat, kebolehan dan sumbangan golongan ini kepada rakyat di sesuatu kawasan.
Kejayaan pembangkang mengemukakan barisan muka baru termasuk Nurul Izzah Anwar yang berjaya mengalahkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang merupakan gergasi wanita BN perlu dinilai oleh BN khususnya kemampuan golongan ini menggamit hati dan kepercayaan pengundi terhadap calon muda.
Dalam aliran politik Malaysia pada hari ini dominasi golongan oligarki (orang lama) dalam kuantiti yang besar adalah tidak seiring dengan peningkatan kadar pengundi muda dalam politik negara.
* PENULIS ialah pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.
No comments:
Post a Comment