Jangan sesekali salahkan rakyat.....Kerja rakyat adalah kerja memilih, kata-kata simpati dan keramat kepada semua ahli parti politik serta pendokongnya. Apa pun alasan , sorotan dan ulasan, rakyat telah menunaikan tanggungjawab besar dan cukup bermakna. Kerajaan BN - UMNO yang pertama kali kalah, danbaru fahaman bagaimana erti kalah dan menangung perasaan orang kalah.
Apa pun Tuhan Maha adil.....
KETIKA pemimpin dan penyokong parti pembangkang merayakan kemenangan luar biasa mereka, barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) pastinya sibuk melayan pelbagai persoalan yang menerjah pemikiran mereka.
Soalan utama yang pasti terpacul ialah ‘di mana silapnya?’ Adakah punca keruntuhan sokongan itu datang dari dalam parti sendiri atau disebabkan oleh kehebatan parti pembangkang memanipulasikan isu dalam kempen.
Secara asasnya, setiap pemimpin BN mempunyai jawapan yang hampir sama. Mereka mewakili parti terkuat yang sudah terbukti rekod perkhidmatannya kepada rakyat. Sebagai parti yang kukuh, berpengalaman dan digeruni lawan, sudah pasti tidak memerlukan usaha agresif untuk menawan hati penyokong.
Rakyat hanya perlu diulang tayang secara berterusan tentang kerja kuat BN selama ini. Banyak contoh yang kukuh dan secara realitinya tidak mampu disaingi oleh mana-mana parti pembangkang.
Terlalu yakin dengan tradisi sokongan akhirnya membawa racun yang merosakkan cengkaman BN.
Bunga-bunga kepada kemerosotan sokongan bermula dengan pemilihan barisan calon BN sendiri. Rakyat agak gelisah dengan senarai calon BN yang gagal diputuskan dengan tenang. Ada Pengerusi BN yang gagal menyelesaikan pemilihan calon sehingga saat-saat akhir hari penamaan calon. Senario ini jelas menunjukkan ungkapan permuafakatan yang dijaja selama ini tidak wujud.
Faktor calon seakan-akan menjadi bahan yang boleh meletup di sesetengah negeri. Sangkaan dan ramalan itu menjadi benar apabila ia diterjemahkan di kertas undi.
Ada calon yang dikemukakan BN tidak dapat diterima oleh rakyat atau penyokong di peringkat akar umbi. Banyak alasannya, kenapa ia boleh terjadi.
Kemungkinan calon adalah di kalangan veteran atau muka lama yang sudah tidak mesra lagi dengan pengundi dan penyokong muda yang jelas lebih agresif serta bermaklumat.
Pemilihan calon yang tidak dapat diterima secara total oleh jentera parti dan penyokong akan memusnahkan kekuatan yang ada.
Sepatutnya calon yang akan dikemukakan perlu melepasi tapisan minat dari akar umbi. Apabila calon menjadi pujaan daripada pelbagai pihak dan lapisan umur, maka ruang dan peluang untuk beliau dinobatkan sebagai Yang Berhormat amat tinggi.
Tetapi jika sebaliknya berlaku, buktinya ialah apa yang kita lihat pada PRU 12 ini. Calon ditentukan oleh pemimpin tertinggi atas penilaian dan asas lain.
Ada calon yang sudah kendur prestasinya masih tersenarai sedangkan ada muka baru yang lebih layak dipinggirkan. Alasannya, amat sukar untuk menggugurkan nama-nama besar yang telah lama berkhidmat.
Keputusan yang dibuat oleh rakyat kali ini menampakkan faktor calon menjadi antara asas pilihan. Agak malang penyokong tidak meletakkan ketaksuban kepada parti sebagai asas untuk memberi undi. Ada calon yang terpilih telah mencetuskan pergolakan dalaman sesama sendiri memang tidak dinafikan.
Faktor isu-isu semasa tidak menjadi bahan kempen yang utama. Berdasarkan pengamatan dan pengalaman, pembangkang memainkan isu ketidaktelusan kerajaan dalam beberapa perkara. Tuduhan seperti ini amat mudah mempengaruhi rakyat. Isu kenaikan harga barang dan harga minyak bukan faktor penentu kepada perubahan sokongan rakyat.
Kita amat peka dan sering mengharapkan rakyat mempunyai minda yang terbuka dalam arus dunia tanpa sempadan ini. Tetapi kita melupakan tentang kebolehan rakyat menganalisis setiap tindak-tanduk kita. Keputusan analisis dan kajian rakyat akan diterjemahkan dalam kancah pilihan raya seperti 8 Mac 2008.
Walau apa pun, rakyat bukan sekadar menghantar isyarat yang jelas tetapi sudah menterbalikkan sokongan jitu selama ini. Rakyat memberi peluang untuk semua orang terus berfikir tanpa ada hadnya.
Jangan sesekali kita menyalahkan rakyat dalam kegagalan BN dalam PRU kali ini. Sudah lebih 50 tahun peluang diberikan rakyat. Tetapi ada yang terleka untuk terus meletakkan diri sebaris dengan mereka.
Setiap perjuangan perlu dihiasi dengan kekecewaan dan kegagalan. Rangkaian itu akan menjelmakan kekuatan baru untuk memantapkan perjuangan.
– ABDUL SAMAD ABDUL HAKIM,
Pendang, Kedah.
No comments:
Post a Comment