Tuesday, March 18, 2008


PM nafi hubungannya dengan Najib tegang

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan cakap-cakap bahawa hubungannya dengan timbalannya Datuk Seri Najib Razak sedikit tegang.

"Hubungan saya dengan Datuk Seri Najib (Razak) adalah sangat rapat. Mengapakah anda bertanyakan soalan seperti ini?" katanya ketika menjawab satu soalan selepas mengumumkan barisan Kabinet baru Selasa.

Ditanya mengapakah Najib tidak hadir di majlis itu, Abdullah berkata: "Dia belum lagi Timbalan Perdana Menteri. Dia hanya menjadi Timbalan Perdana Menteri esok."

Abdullah juga tegas mempertahankan Najib apabila diminta mengulas tuduhan rasuah melibatkan Najib yang dibuat oleh penasihat Parti Keadilan Nasional Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tidak ada bukti dan tidak ada apa-apa pun yang menunjukkan Najib terlibat dalam kegiatan seperti itu. Dan anda juga tentu tahu, orang yang membuat tuduhan itu juga tidak bebas daripada tuduhan yang serupa," katanya.

Abdullah juga pantas menangkis spekulasi bahawa Umno mungkin membuat usul tidak percaya terhadapnya.
"Barisan Nasional hanya kekurangan lapan kerusi daripada mendapat majoriti dua pertiga. Dan saya bukannya jenis yang akan melepaskan tanggungjawab begitu sahaja. Saya tidak akan membelakangkan sokongan dan undi yang telah diberikan kepada saya.

"Saya berhasrat akan meneruskan tugas saya kerana saya mendapat sokongan daripada Umno dan BN," katanya.

No comments: