Membaca berita hari ini , dengan menyorot berita di bawah bawah tajuk Cubaan membeli wakil rakyat dalam akhbar BH , memberi pelbagai persepsi terhadap Pak Lah selaku Perdana Menteri Malaysia yang kelima.
Terkadang Pak Lah sedar atau tidak sedar apabila dia bercakap, adakah beliau bermimpi atau masih dibuai mimpi kerana berada di kerusi perdana Menteri.
Melihat desakan kecaman daripada pelbagai pihak dia nampak senang dan bersahaja. Adakah lakonan beliau memberikan kebenaran apa yang ada di hatinya. maknanya Pak Lah sekarang bukan lagi memikirkan survival UMNo sebagai wadah dan parti yang memperjuangkan Melayu. Jatidiri sebagai pewaris UMNO sebagai wadah pejuang orang Melayu semakin layu. Dan usaha dan penilaian daripada kacamata kita yang ditunjukkan tidak mencirikan ke arah itu.
Ikuti laporan berita hari ini dalam Berita Harian ----
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata beliau sedar mengenai cubaan pakatan parti pembangkang untuk ‘membeli’ ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan menawarkan wang berjuta ringgit dalam usaha menjatuhkan kerajaan.
"Saya sedar... itulah yang saya dengar orang kata," katanya menjawab soalan pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet barunya di Pejabat Perdana Menteri petang semalam.
Abdullah menegaskan, tidak ada sebab untuk kerajaan yang diterajuinya ditumbangkan kerana kerajaan BN kuat dan mendapat sokongan rakyat.
"Kenapa perlu kerajaan ini ditumbangkan? Kerajaan ini amat kuat dan kita juga mendapat sokongan. Kita tidak keluar membeli orang," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.
Pakatan pembangkang yang menang 82 kerusi pada pilihan raya umum ke-12 dikatakan sedang berusaha menarik beberapa ahli Parlimen parti komponen BN di Sabah dan Sarawak untuk mencapai majoriti mudah dalam Dewan Rakyat, sekali gus membentuk kerajaan.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga dilaporkan laman berita internet sebagai berkata, beberapa Ahli Parlimen BN terutama di Sabah dan Sarawak, sedia menimbang kemungkinan menyertai pakatan pembangkang.
BN memenangi 140 kerusi Parlimen bagi membolehkannya menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah dan hanya kekurangan lapan kerusi untuk majoriti dua pertiga.
Perdana Menteri berkata, Anwar boleh membuat sebarang dakwaan yang disukainya. "Beliau mendakwa macam-macam dan biarlah beliau mendakwa apa yang beliau suka," katanya.
Mengenai keputusan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad melepaskan jawatan Setiausaha Agung Umno dan BN, Abdullah berkata beliau tidak menghalang hasrat bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu.
Presiden Umno dan Pengerusi BN itu berkata, Radzi sudah berbincang dengannya dan beliau perlu menghormati keputusan berkenaan.
Ditanya apakah bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, akan dilantik menggantikan Radzi, Abdullah berkata: "Kita belum putuskan penggantinya tetapi saya sudah bercakap dengan Tengku Adnan dan beliau sanggup menerima jawatan itu."
Tengku Adnan yang kini Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dan Ketua Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, pernah menjadi Setiausaha Kerja Umno dari Jun 1999 hingga Februari 2004. Beliau difahamkan sudah menemui kakitangan Ibu Pejabat Umno tengah hari semalam.
Pada sidang akhbar itu, Abdullah juga ditanya mengenai keputusan Pemuda Umno untuk tidak mengenakan tindakan disiplin terhadap exco pergerakan itu, Datuk Mukhriz Mahathir, yang mengutus surat meminta beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno.
Abdullah berkata, Pemuda Umno berhak membuat apa saja keputusan yang difikirkan baik untuk kepentingan parti.
“Saya tidak mengarahkan mereka untuk berbuat ini atau itu apabila berbangkit isu. Saya katakan perkara itu adalah untuk pergerakan itu putuskan dan mereka sudah membuat keputusan, tak apalah, ia ok," katanya.
Mengenai pelantikan Menteri Besar Terengganu, Abdullah berkata: "Tak lama lagi akan ada pengumuman."
No comments:
Post a Comment