Tuesday, March 18, 2008

Ketua kampung, JKKK terus khidmat – MB Perak

KUALA KANGSAR 17 Mac – Semua perkhidmatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), ketua kampung dan sebagainya di seluruh Perak perlu diteruskan, kata Menteri Besar, Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini.

Katanya, beliau ada menerima laporan bahawa ada pihak tertentu di kampung-kampung mengeluarkan peralatan, perabot dan sebagainya dari dewan orang ramai dan balai raya JKKK, sedangkan tiada arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan baru.

“JKKK, apa juga perkhidmatan, penggunaan bangunan hendaklah diteruskan dan digunakan mengikut peraturan yang ditetapkan, tidak akan kita buat diskriminasi dan penganiayaan kepada mereka.

“Ketua kampung kalau sekiranya tempoh mereka masih ada, maka teruskan,” katanya kepada pemberita selepas istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Beliau menasihatkan semua pihak jangan cemas kerana sebenarnya JKKK masih berfungsi sebagai JKKK selagi perkhidmatan mereka belum ditamatkan.

Katanya, beliau akan mengkaji kedudukan JKKK dan memberi jaminan tidak akan berlaku penganiayaan.

“Mana-mana pengerusi JKKK dan JKKK yang mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan bersedia berkhidmat dengan kerajaan Barisan Rakyat sekarang serta bersedia menerima dasar dan syarat kerajaan yang baru ini kita pertimbangkan kedudukan mereka,” katanya.

Mohammad Nizar juga memberi jaminan sebarang kegiatan yang dijalankan selama ini di balai raya dan dewan orang ramai seperti aktiviti Kemas masih boleh diteruskan seperti biasa.

“Tiada ada arahan dari mana-mana pihak untuk mengosongkan balai raya, semua harta tersebut adalah milik kerajaan dan rakyat, bertukarnya kerajaan bukan bermakna harta kerajaan yang lama menjadi milik kerajaan yang lama, ia tetap milik kerajaan dan rakyat,” katanya.

Mohammad Nizar, 51, mengangkat sumpah hari ini sebagai Menteri Besar Perak yang baru, selepas persetujuan mengadakan pakatan kerajaan campuran antara DAP, PKR dan Pas untuk menerajui kerajaan negeri dicapai.

No comments: