Tuesday, January 01, 2008

Risda rugi RM10 juta akibat banjir




MARAN 31 Dis. – Banjir besar yang melanda Pahang baru-baru ini telah menjejaskan kira-kira 500 hektar kawasan milik Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dengan jumlah kerugian yang ditanggung dianggarkan mencecah RM10 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerugian tersebut membabitkan kerosakan ladang, prasarana dan projek ternakan yang dikendalikan oleh agensi itu.

‘‘Mana-mana kemusnahan projek yang dijalankan oleh pekebun kecil, kita akan ganti dalam tempoh dua bulan ini. Sebanyak 2,300 keluarga pekebun kecil terlibat dalam banjir baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemaju Masyarakat Pekebun Kecil dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pekebun Kecil Negeri Pahang di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Besar, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak dan Pengarah Risda Pahang, Mujahid Muhamad.

Sementara itu, dalam ucapannya, Adnan berkata, kerajaan negeri akan mempraktikkan kaedah yang diamalkan oleh Risda iaitu menetapkan tarikh akhir semua projek pada bulan Ogos.

‘‘Biasanya kita tetapkan bulan Disember. Kita akan cuba ikut apa yang dilakukan oleh Risda kerana dengan cara ini kalau kita lambat, kita masih ada masa untuk mencapai matlamat,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Adnan berkata, satu konvensyen tentang hala tuju orang Melayu akan diadakan di peringat negeri Pahang bagi mengenal pasti masalah dan hubungannya dengan kaum-kaum lain.

‘‘Saya mencadangkan konvensyen Melayu ini dibuat di semua peringkat. Pemimpin masyarakat boleh mengadakan perbincangan secara berkala mengenai topik-topik tertentu. Saya terfikir untuk mengadakan konvensyen ini di peringkat negeri pada Februari ini.

‘‘Konvensyen yang akan diadakan nanti bukan sahaja membincangkan tentang nasib orang Melayu tetapi juga bagaimana boleh membantu orang bukan Melayu untuk hidup lebih harmoni,” katanya.

No comments: