Tuesday, January 01, 2008

JBA Pahang rugi RM3.5 juta akibat banjir

TEMERLOH 31 Dis. – Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang kerugian kira-kira RM3.5 juta berikutan kerosakan pada loji air dan muka sauk akibat ditenggelami banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini.

Pengarah JBA negeri, Datuk Ismail Mohd. Nor berkata, pam dan muka sauk yang rosak membabitkan loji di Sungai Bera, Chenor, Simpang Jengka dan Pekan Tajau.

Menurutnya, muka sauk loji yang terjejas pula ialah di Lubuk Kawah, Temerloh yang diliputi pasir sedalam lebih tiga meter.

‘‘Bagaimanapun, JBA sedang berusaha untuk membaiki kerosakan tersebut secepat mungkin supaya bekalan air yang terjejas akibat banjir baru-baru ini pulih selewat-lewatnya minggu hadapan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, loji air di Chenor, Simpang Jengka dan Pekan Tajau sudah pun beroperasi seperti biasa dan membekalkan air kepada 80,000 penduduk di daerah Maran sejak dua hari lalu.

Sementara loji bekalan air di Jenderak dan Lubuh Kawah, katanya, dijangka beroperasi sepenuhnya selewat-lewatnya minggu depan.

Menurut beliau, pihaknya dengan bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) serta Puncak Niaga Holdings Berhad sedang berusaha membaiki kesemua pam, muka sauk dan loji air untuk memulihkan bekalan air kepada kira-kira 200,000 penduduk yang terjejas.

Tambah beliau, sebanyak 27 buah lori tangki iaitu lapan lori milik Syabas, dua (JBA Negeri Sembilan) dan 17 (JBA Pahang) membantu mengedarkan bekalan air bersih kepada mangsa terbabit sehingga hari ini sementara menantikan kerosakan itu dibaiki.

Selain itu, kata Ismail, JBA juga menyediakan 34 tangki statik di Maran, Bera dan Temerloh bagi memenuhi keperluan air bersih kepada penduduk di kawasan yang terjejas akibat banjir.

Bagi memastikan semua penduduk mendapat bekalan air minuman yang bersih, Syabas turut membekalkan 8,000 botol air mineral seberat empat liter kepada 4,000 mangsa banjir di Maran dan 2,000 penduduk di Temerloh dan Bera.

No comments: