Gambaran pilihan raya semakin hampir
|
|
KUALA LUMPUR 22 Jan. – Amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada para pemimpin bahagian UMNO seluruh negara hari ini memberikan gambaran pilihan raya umum semakin hampir.
Antara amanat yang disampaikan pada Majlis Penerangan Bersama Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini ialah semua masalah melibatkan rakyat perlu diselesaikan segera dan ahli-ahli UMNO diminta merapatkan barisan jika berlaku sebarang masalah dalaman.
Abdullah turut memberikan gambaran calon yang ingin diketengahkan parti dalam pilihan raya umum ke-12.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, amanat Presiden hari ini jelas mahu agar parti itu bersedia untuk menghadapi pilihan raya.
Selain itu, jelasnya, Presiden juga menetapkan bahawa calon mestilah seorang yang berwibawa, baik dan paling utama tidak mempunyai sebarang masalah dari segi kerja mahupun perkara lain.
“Mengenai siapa calon, mungkin akan ada muka baru dan pasti masih terdapat orang lama,” jelas beliau.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, amanat Presiden mahukan semua kelemahan yang wujud dalam membantu rakyat diperbaiki segera.
‘‘Bila semua kelemahan diperbaiki, ia mewujudkan satu kerajaan yang sempurna,’’ katanya.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib pula berkata, amanat Presiden parti hari ini memberi erti bahawa UMNO perlu menyediakan situasi yang mantap bermula sekarang.
‘‘Parti yang mantap dilihat akan berhasil mewujudkan mandat yang besar daripada rakyat,’’ katanya.
Menurut beliau, Presiden mahukan sokongan daripada semua peringkat dalam parti.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Presiden mengingatkan supaya sebarang isu berbangkit ditangani secara realistik.
“Para ahli diingatkan supaya sentiasa berpijak di bumi yang nyata dalam keadaan pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa, maka macam-macam isu akan dibangkitkan,” katanya.
Dari segi calon pula, kata beliau, Presiden mahukan ahli-ahli UMNO bersungguh-sungguh mendampingi orang ramai, ikhlas dalam perjuangan dan berusaha meletakkan perjuangan parti melebihi kepentingan diri.
Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Mustapa Mohamed berkata, Presiden meminta agar semua pemimpin dan ahli parti bersedia untuk pilihan raya.
‘‘Tidak dinyatakan sebarang jangka masa bila pilihan raya umum akan diadakan, tetapi semua disaran agar bekerja kuat,’’ katanya.
Seorang lagi ahli MT, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, amanat yang diberikan Presiden membuatkan beliau yakin pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.
‘‘Saya memiliki 30 tahun pengalaman politik peringkat nasional, petanda-petanda pilihan raya semakin hampir sememangnya jelas dan banyak,’’ katanya.
Ahli MT, Datuk Shahrir Abdul Samad pula berkata, apa yang dilihat kini adalah petanda pilihan raya umum akan berlaku tidak lama lagi.
‘‘Sehubungan itu, mengenai persediaan, ramai yang sudah bersedia dan sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment