Tuesday, January 22, 2008

PAS pertahan Kelantan, tawan Terengganu dan Kedah" Hadi Awang PDF Print E-mail
Monday, 21 January 2008

FotoKUANTAN: Pas yakin dapat mempertahankan kedudukannya di Kelantan dan merampas semula Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu juga yakin mampu menawan Kedah dan beberapa kerusi ‘panas’ milik BN di Pulau Pinang dan Selangor pada pilihan raya kali ini.

‘‘Saya percaya akan berlaku kejutan berbanding 1999 tetapi saya tidak mahu membuat ramalan yang terlalu awal,’’ katanya kepada pemberita selepas Dialog Perdana Presiden Pas Bersama Rakyat di sini malam tadi.

Abdul Hadi berkata, berdasarkan perkembangan semasa, Pas yakin akan memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya kali ini berbanding 1999 dan 2004.

Menurutnya, Pas akan menggunakan beberapa isu terutama berkaitan kenaikan harga barang di pasaran untuk meraih sokongan pengundi pada kali ini.

‘‘Isu-isu semasa menjadi sumbangan kepada Pas selain kekuatan dalaman parti dan kerjasama parti pembangkang lain serta penonjolan calon-calon berwibawa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta DAP agar tidak meletakkan calonnya di kawasan yang ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memastikan hanya pertandingan ‘satu lawan satu’ dengan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah dengan PKR berhubung pengagihan kerusi calon kerana rundingan berhubung perkara tersebut hampir selesai.

‘‘Pas tidak bekerjasama dengan DAP kerana kita hanya bertanding di kawasan majoriti orang Melayu. Kita memberi kepercayaan kepada PKR untuk mengadakan perbincangan dengan DAP berhubung pengagihan kerusi,” katanya.

Selain itu, menurut beliau, semua badan perhubungan negeri telah menyerahkan senarai calon dan ia akan diluluskan oleh Majlis Syura, Selasa ini.

Ditanya mengenai muka baru yang akan ditampilkan pada pilihan raya kali ini, beliau memberitahu: ‘‘Saya sendiri belum lihat senarai penuh calon tersebut.”

Beliau juga mengharapkan pilihan raya umum diadakan selepas Mac bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

No comments: