Monday, January 07, 2008



Mashitah: Kaji kenapa ramai lelaki Malaysia kahwini wanita Indonesia

JAKARTA 6 Jan. – Kajian perlu dijalankan bagi mencari punca kenapa ramai lelaki Malaysia memilih calon isteri dari Indonesia.

Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, kajian itu perlu kerana bilangan lelaki Malaysia yang memilih wanita Indonesia sebagai isteri semakin meningkat.

“Apakah kerana wanita Indonesia memiliki keistimewaan seperti kelembutan dan budi bahasa tinggi daripada wanita kita, ini perlu dikaji,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Serantau Pemantapan Teknologi Logam Bernilai di sebuah hotel di sini hari ini.

Berdasarkan rekod Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, antara lima hingga 10 pasangan dari kedua-dua negara mendaftar setiap hari untuk bernikah.

Ini tidak termasuk mereka yang mendaftarkan perkahwinan di Konsul Malaysia di Medan dan melangsungkan perkahwinan secara rahsia.

Menurut Mashitah, perkahwinan antara rakyat kedua-dua negara yang semakin meningkat boleh mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Indonesia yang mempunyai persamaan dari segi agama, bahasa dan budaya.

‘‘Namun, lelaki Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing yang masuk secara haram ke Malaysia akan menghadapi masalah jika berlaku perceraian dan pertikaian hak penjagaan anak,’’ katanya.

Mashitah percaya hantaran tinggi yang dikenakan oleh wanita bukanlah faktor lelaki Malaysia memilih wanita dari negara jiran untuk dijadikan pasangan hidup.

Sementara itu, menjawab satu soalan lain, Mashitah menyarankan agar akhlak dan moral menjadi ciri bagi setiap calon Barisan Nasional (BN) yang dipilih bertanding dalam pilihan raya.

‘‘Kriteria itu penting kerana calon-calon yang dipilih kelak akan menjadi pemimpin dan idola rakyat,’’ katanya.

Menurut Ahli Parlimen Baling itu, dalam pilihan raya masyarakat dan pengundi akan membuat penilaian berdasarkan keperibadian seseorang calon selain parti yang diwakilinya.

‘‘Walaupun rakyat biasanya memilih parti yang mampu memerintah tetapi harus diingat bahawa faktor keperibadian seseorang seperti akhlak dan pengetahuan tentang keagamaan juga amat penting,’’ ujarnya.

– Utusan



No comments: