Friday, January 11, 2008

Kereta termurah dari India

Kereta termurah di dunia dilancar


ORANG ramai melihat kereta Nano dalam Expo Auto di New Delhi semalam.


NEW DELHI – Syarikat Tata Motors di India semalam melancarkan kereta kecil empat pintu termurah di dunia yang berharga AS$2,500 (RM8,168) termasuk cukai.

Ketua syarikat itu, Ratan Tata berkata, pelancaran kereta itu sekali gus mencipta sejarah pengangkutan di negara berkenaan.

Kereta yang boleh diduduki oleh lima orang itu dijangka mula berada di jalan raya pada lewat tahun ini dan ia dikenali dengan nama Nano.

Ratan yang memandu sebuah kereta itu dalam majlis pelancaran berkata, syarikatnya mahu mengeluarkan kereta yang selamat, mampu dibeli dan sesuai dengan pelbagai keadaan cuaca.

Kereta itu mempunyai enjin berkapasiti kecil dengan had kelajuannya adalah 105 kilometer sejam.

Model asas kereta itu tidak mempunyai pendingin hawa, tingkap berkuasa elektrik dan stering berkuasa.

Syarikat itu menjadikan penduduk India yang semakin mewah berikutan pertumbuhan eknomi pesat sebagai sasaran pelanggan.

Bagaimanapun, setakat ini, syarikat itu tidak mempunyai hasrat untuk memasarkan kereta tersebut ke Amerika Latin.

“Saya melihat sebuah keluarga menaiki skuter di mana bapa mengendalikannya, anaknya yang kecil berdiri di hadapan dia manakala isterinya duduk di bekalang sambil mendukung bayi,” kata Ratan.

“Keadaan itu menyebabkan saya berfikir sama ada seseorang itu mampu mengeluarkan sebuah kereta yang selamat, mampu dibeli dan sesuai dengan semua bentuk cuaca untuk keluarga tersebut,” tambahnya.

Taikun itu menjelaskan bahawa kereta berkenaan adalah lebih selamat berbanding motosikal di jalan-jalan raya India.

“Kereta itu direka bagi memenuhi semua piwaian keselamatan dan ia mempunyai kadar pencemaran udara yang lebih rendah berbanding pengangkutan dua roda di India,” tambahnya. – Agensi

No comments: