Friday, January 04, 2008

Episod Baru: Cabaran & Debaran Politik MCA

Dr Chua, dedahkan siapa dalang DVD seks

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan dan naib presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek seharusnya mendedahkan dalang yang bertanggungjawab memusnahkan karier politiknya, kata naib presiden Datuk Ong Tee Kiat.

Ong berkata dengan berbuat demikian, Dr Chua boleh membantu dalam mengenal pasti pihak yang bertindak membuat rakaman DVD yang membawa kepada pengunduran beliau dalam arena politik.

"Saya baca dalam akhbar mengenai dakwaan yang dibuat oleh Dr Chua mengenai musuh politiknya, tapi tidak ada maklumat terperinci.

"Saya percaya orang ramai, termasuk saya sendiri ingin tahu siapa yang bertanggungjawab dalam kes ini," katanya kepada pemberita di Taman Muda di sini hari ini.

"Tidak adil bagi kita membuat pelbagai andaian berdasarkan kepada apa yang dia (Dr Chua) katakan. Jadi saya amat mengalu-alukan sekiranya beliau sanggup mendedahkan siapa yang berada di sebalik semua ini.

"Saya ingin dapatkan lebih banyak maklumat mengenai kes ini," kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Dr Chua kepada media di Putrajaya semalam bahawa kejatuhan beliau itu berpunca daripada permusuhan politik.

Kelmarin Dr Chua mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan, anggota parlimen Labis, dan juga semua jawatan dalam parti, sehari selepas beliau mengakui pada persidangan akhbar di Pejabat MCA bahagian Labis bahawa beliau adalah lelaki yang dirakamkan aksi seks dengan seorang wanita di dalam DVD yang tersebar luas di Johor.

Ong berkata sekiranya Dr Chua mendedahkan lebih banyak maklumat terperinci mengenai kes itu, ia akan dapat membantu bagi menghalang sebarang budaya politik negatif dalam negara.

"Mari kita ambil iktibar dari kejadian ini, kita perlu menanganinya sebelum ia berkembang menjadi budaya politik yang tidak sihat. Sebarang gejala buruk perlu dihindari," katanya. BERNAMA

No comments: