Baca dan fikir-fikirkanlah ......
PEPERIKSAAN penting, tetapi bukanlah segala-galanya. Malangnya, sebahagian kita menganggap sebaliknya, lalu peperiksaan, seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang keputusannya diumumkan kelmarin, dijadikan umpama nyawa seseorang pelajar.
Semoga tidak ada lagi yang membunuh diri kerana keputusan yang kurang baik. Kita tahu kisah bunuh diri ini kerana ia pernah dilaporkan. Apa yang kita tidak tahu ialah berapa ramaikah remaja mengalami tekanan psikologi yang teruk, seperti kemurungan, hilang harga diri dan malu, berikutan keputusan kurang baik, sama ada dalam peperiksaan awam atau dalaman.
Masalahnya ialah berapa ramaikah di kalangan kita, iaitu ibu bapa dan guru, yang dipercayai oleh remaja, iaitu anak dan pelajar kita, sehingga mereka bercerita dengan kita isu yang dekat dan rapat padanya, secara tanpa takut dan ragu?
Atau, seperti yang ditunjukkan oleh kajian, kita menjadi orang terakhir atau orang kemudian, iaitu pokoknya bukanlah orang pertama, yang didatangi remaja untuk meluahkan perasaannya apabila mereka dilanda masalah.
Mengapakah sebahagian kita tidak dipercayai remaja? Sebabnya ialah majoriti remaja menganggap yang suara dan perasaannya tidak dianggap penting oleh sebahagian kita.
Ini kerana kita jarang secara tulen mendengar suara mereka. Kita lupa ajaran Allah dan Rasulullah mengenai kaedah pembangunan remaja dan teknik berkomunikasi dengannya. Kita lupa panduan, misalnya, oleh Mary Pipher (1994), Reviving Ophelia dan Donna G. Corwin (1999), The Tween Years mengenai bagaimana kita patut lakukan dalam pembinaan remaja. Contohnya, remaja perlu dididik, bukannya diherdik.
Sebaliknya, sebahagian kita mendakwa sangat tahu mengenai remaja, sedangkan hakikatnya kita tidak mengetahui. Dalam buku Gayatri Patnaik dan Michelle T. Shinseki (2000), The Secret Life of Teens, dipetik luahan hati Steffanie, 14: “Hanya kerana saya lebih muda, tidak bermakna saya tidak boleh bersuara... hanya kerana saya remaja, tidak bermakna saya sama seperti setiap remaja yang anda kenali... hanya kerana anda pernah jadi remaja, tidak bermakna anda memahami saya”.
Lebih parah lagi, ada kaunselor, iaitu yang sepatutnya dipercayai, tetapi menjadi orang paling tidak dipercayai kerana membocorkan rahsia remaja yang mengadu padanya.
Ada ramai remaja mengalami tekanan psikologi disebabkan keputusan peperiksaan kurang baik. Tekanan psikologi yang berat, sebenarnya, sudah cukup sebagai iktibar baginya. Janganlah menambahkan tekanan dengan memarahinya, mengatakan kita malu dengan keputusannya, membandingkannya dengan orang lain atau menyalahkan perkara yang tidak terbukti salahnya seperti pembabitan dalam kokurikulum.
Apa yang diperlukan ialah kita membimbingnya mengenal pasti kesilapan dan merancang penambahbaikan. Bimbingan mesti dilakukan dengan betul, iaitu umpama pendakwah yang baik. Dalam al-Qur'an, ayat 125 surah an-Nahl, mengisyaratkan supaya bimbingan dilakukan “dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik”.
Janganlah menghukum. Contohnya, dalam isu berkat. Berkat penting. Tetapi, janganlah berkat dihujahkan kepada perkara yang tiada kena mengena dengannya. Katakanlah seseorang remaja mempunyai pendapat berbeza dengan kita mengenai sesuatu perkara.
Sepatutnya, kita ‘berbincanglah dengan mereka cara lebih baik’, iaitu seperti sambungan ayat surah an-Nahl tadi.
Tetapi, masalahnya, ada yang menganggapnya sebagai mereka melawan kita. Lalu kita berhujah yang mereka sudah melakukan satu kesalahan yang mungkin menyebabkan mereka tidak mendapat berkat lalu akan mendapat keputusan peperiksaan yang kurang baik.
Dan sebaik saja keputusan yang kurang baik itu diumumkan, maka kita terus saja menempelaknya bahawa itu adalah kerana tiada berkat.
Sebenarnya, keputusan peperiksaan kurang baik disebabkan oleh banyak faktor. Kita perlu menilainya dengan tenang, teliti dan rasional. Memanglah dalam Islam, dari satu segi, ia mungkin satu ujian. Tetapi, ujian ada banyak sebab. Ada ujian diturunkan sebagai balasan kesilapan masa lalu.
Ada yang sebagai ingatan untuk masa depan, dan ada yang berupa ujian oleh Allah kepada hamba yang dikasihi-Nya. Meskipun ia berlaku kepada anak dan pelajar, ia mungkin juga ujian yang ditujukan kepada kita, iaitu berikutan kesilapan masa lalu, mungkin terhadap ibu bapa dan guru kita.
Pokoknya kita tidak tahu. Kerana berkat dan ujian adalah kerja Tuhan, bukannya kerja kita. Jadi, tidak payahlah kita menjadi Tuhan kecil pula. Di samping itu, jangan sesekali terkesan di hati remaja bahawa mereka disayangi apabila keputusannya baik, sedangkan kasih sayang seharusnya tanpa sebarang syarat.
Orientasi peperiksaan sudah sampai ke tahap maksimum. Ada ibu bapa menghantar anaknya ke tuisyen sejak Tahun Satu dan, bersama sesetengah guru, melarang remaja tahun peperiksaan daripada terbabit dalam kokurikulum.
Malah, ada pengetua sekolah berasrama penuh (SBP) berniat mengeluarkan 30 pelajar yang dianggap buruk keputusan PMRnya dan menggantikannya dengan pelajar lain. Ini bermula dengan mengurangkan pengambilan pelajar Tingkatan Satu daripada 120 orang kepada 90 orang saja mulai tahun depan.
Ini adalah disebabkan dasar dan sistem yang membudayakan sehingga kita lupa falsafah pendidikan Islam dan negara untuk melahirkan insan sempurna serta rakyat yang memiliki peribadi bersepadu.
Banyak ‘A’ bukanlah jaminan kejayaan masa depan. Kita juga memaksakan aliran sains. Walaupun kita mempunyai dasar 60:40, iaitu 60 peratus pelajar dalam aliran sains dan 40 peratus dalam aliran bukan sains, di kalangan pelajar terbaik, kita mengamalkan hampir 100 peratus aliran sains, contohnya di SBP.
Walaupun pelajar SBP dibenarkan mengambil subjek pilihan seperti Prinsip Akaun, mereka tidak dibenar menggugurkan subjek Sains yang tidak tergalas olehnya. Remaja mesti diberi peluang membuat sekurang-kurangnya sedikit pilihan.
Tidak lama dulu, ada sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur yang mempunyai beratus-ratus pelajar STPM yang majoritinya bekas pelajar aliran sains kerana dipaksa mengikutinya lalu keputusan SPMnya buruk lantas datang ke sekolah swasta itu untuk peluang kedua.
Mereka memilih aliran sastera bagi STPM. Ramai berjaya ke universiti. Di samping itu, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional masih dianggap sebahagian kita sebagai bidang kelas kedua. Sehingga remaja ditakut-takutkan, bahawa kalau keputusannya kurang baik, maka ia terpaksalah memasuki bidang ini.
Oleh itu, timbul beberapa soalan. Adakah pembangunan modal insan yang dilaungkan kini benar-benar bersepadu dan berimbang, iaitu dari segi ilmu dan kemahiran, akademik dan kokurikulum, sains dan bukan sains, serta agama dan sahsiah?
Adakah kita benar-benar mementingkan anak dan pelajar? Atau sebenarnya kita lebih mementingkan diri sendiri, iaitu apabila keputusan peperiksaan baik, kalau ibu bapa, ia mahu berbangga atas hasil anaknya, manakala kalau guru dan pengetua, mereka mahu naik pangkat atas hasil pelajar dan sekolahnya?
Dalam konteks ini, ada dua buku yang relevan, yang mempunyai tajuk sama, iaitu MisEducation, tetapi ditulis oleh dua orang intelektual terkenal berlainan, David Elkind (1987) dan Noam Chomsky (2000).
Elkind menyatakan langkah melahirkan ‘superkid’ dengan pelajaran sejak kanak-kanak lagi mengundang risiko remaja akan berkekalan rosak harga diri, hilang sikap positif dan terbantut bakatnya. Tetapi Chomsky mengetengahkan kefahaman yang lebih luas mengenai keperluan sebenar pendidikan hari ini. Orientasi peperiksaan perlu segera dikurangkan sebelum lebih ramai remaja terkorban.
Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998-2002).
No comments:
Post a Comment