Wednesday, December 12, 2007

Mohd Sabu dituduh halang polis ?


Naib Presiden Pas Mohamad Sabu hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi di sini atas tuduhan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas pada Ahad lepas.Mohamad, 53, dituduh menghalang Supt Mohd Nasir Salleh melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur terhadapnya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Plaza Tol Bukit Tambun, Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) berhampiran susur keluar lebuh raya dari arah Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada kira-kira pukul 7.45 petang, Ahad lepas.

Mohamad yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Izham Ali membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Feb depan untuk sebutan semula kes itu.

Mohamad diwakili lima peguam iaitu Asmuni Awi, Darshan Singh, Abdul Halim Mohd Nor, Mohd Afif Abdullah dan Aqbal Shiffuddin Adnan Sallehuddin manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zalina Awang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat ketika ditemui di luar mahkamah berkata kira-kira 300 pegawai dan anggota polis ditempatkan di sekitar daerah ini bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berkata langkah itu diambil memandangkan kira-kira 100 penyokong Mohamad berkumpul di luar kawasan mahkamah sejak awal pagi ini.

"Kita mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keadaan terkawal," katanya.
Sebaik sahaja keluar dari bangunan mahkamah selepas selesai membayar wang jaminan, Mohamad dilihat berucap di hadapan penyokongnya bagi menjelaskan perkembangan kes itu.
Sejurus selepas Mohamad selesai berucap, penyokongnya melaungkan takbir dan berdoa sebelum bersurai. BERNAMA

No comments: