KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Ketua Pembangkang Lim Kit Siang hari ini memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan Malaysia bagi memohon deklarasi bahawa perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Azniza Ali yang membenarkan permohonan polis menghalang satu perhimpunan di perkarangan Parlimen semalam, adalah batal, tidak sah dan tidak mempunyai kesan.Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa perintah ex-parte yang diperoleh oleh polis daripada Majistret Kuala Lumpur itu pada 10 Disember bagi menghalang perhimpunan yang dianjurkan oleh Bersih itu, tidak jelas maksudnya.
Lim, yang juga Anggota Parlimen DAP bagi kawasan Ipoh Timur, berkata tujuan perhimpunan itu adalah untuk menyerahkan satu memorandum kepada Anggota Parlimen termasuk dirinya sendiri.Beliau menamakan Ketua Polis Daerah Sentul, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan, dan turut memohon memohon kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.Lim, yang hadir di mahkamah bersama peguamnya, Karpal Singh di mahkamah, mendakwa enam aktivis Bersih dan bekas Anggota Parlimen Dungun Datuk Mustafa Ali, telah ditahan oleh polis berpakaian biasa walaupun mereka berada di lobi Parlimen secara sah setelah dibenarkan masuk oleh anggota polis yang menjaga sekatan jalan raya di luar kawasan Parlimen.
Menurutnya kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan dilepaskan pada 4 petang setelah dua jam ditahan.Lim berkata bahawa pada permulaan persidangan Parlimen ke-11 pada Mei 2004, satu usul telah dipersetujui sebulat suara iaitu Dewan Rakyat memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga selama penggal Dewan Rakyat yang ada sekarang, jalan-jalan menuju ke dewan rakyat hendaklah sentiasa dibuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa-apa halangan ahli-ahli hendak pergi dan balik dari Dewan itu, jangan berlaku apa-apa kacau bilau di jalan-jalan menuju ke dewan itu, dan supaya jangan ada huru-hara di bangunan dewan dan setiausaha dewan hendaklah menyampaikan perintah itu kepada Ketua Polis Negara.Katanya jika menurut perintah itu, Ketua Polis Negara sepatutnya memastikan anggota polis di bawah arahan beliau dilarang dalam apa cara sekali pun untuk menimbulkan huru-hara di perkarangan Parlimen.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment