Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan yang cuba meraih kuasa politik dengan mencetuskan kekecohan di negara ini.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata itu tidak bermakna kerajaan akan sewenang-wenangnya mengisytiharkan darurat kerana tidak mahu menimbulkan tanggapan bahawa kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) menggunakan kuasa paksaan untuk terus memerintah negara.
"Tapi kalau mereka buat huru-hara, kalau mereka buat angkara sehingga timbul konflik yang dahsyat dalam negara kita, kerajaan tidak akan teragakagak bertindak terhadap sesiapa pun," tegasnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di sini hari ini.
Menurut Najib, BN tidak akan terpengaruh dan terikut-ikut dengan cara kumpulan tertentu yang didalangi pihak pembangkang untuk meraih kuasa sebaliknya BN percaya rakyat akan terus memilih kerajaan BN atas dasar keyakinan dan keupayaan mereka mentadbir negara.
Katanya BN bukan mabuk kuasa sebaliknya inginkan rakyat di negara ini supaya memilih BN untuk menerajui kerajaan atas keyakinan dan kepercayaan dan bukan atas dasar paksaan seperti melalui pengisytiharan darurat.
Najib berkata selama ini kerajaan sudah membuktikan kemampuannya membangunkan negara ini seterusnya membawa kemakmuran kepada semua lapisan rakyat termasuk yang mendiami kawasan pedalaman di Sabah dan komitmen itu akan terus menjadi agenda kerajaan BN.
"Yakinlah bahawa kerajaan BN di sini ialah untuk berkhidmat kepada rakyat. Kita di sini memegang amanah. Kita sanggup mengabdikan diri kita agar rakyat terbela dan negara kita maju dan berjaya," katanya.
Katanya kerajaan BN tidak menabur janji kosong sebaliknya akan melaksanakan apa yang dijanjikan dan ini sudah dibuktikan termasuk pemberian peruntukkan terbesar kepada Sabah berbanding negeri-negeri lain dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Malah katanya, perubahan dan pembangunan di Sabah akan menjadi lebih rancak untuk dinikmati penduduk negeri itu apabila Koridor Pembangunan Sabah (KPS) dilancarkan kelak.
Najib menjelaskan pembangkang sering menawarkan janji manis tetapi tidak memilik trek rekod untuk bersaing dengan kerajaan BN dan oleh itu rakyat perlu meningkatkan keyakinan mereka dengan terus menyokong kerajaan sedia ada.
Najib juga berkata konsep perkongsian kuasa BN akan sentiasa terjamin dengan pandangan dan pendapat semua parti komponen diambil kira bagi memastikan tidak ada pihak yang tersisih.
Katanya segala pandangan parti komponen BN akan diberi perhatian serius termasuk mengenai permintaan supaya masalah kemiskinan yang dianggap masih serius di Sabah dapat diberi perhatian sewajarnya.
Katanya kerajaan berazam untuk mencapai matlamat kemiskinan sifar di Sabah menjelang 2010 dan akan terus berusaha memastikan peratus kemiskinan relatif yang dianggap masih tinggi di negeri itu terus dikurangkan.
Bagaimanapun katanya matlamat itu hanya dapat dicapai jika negara ini aman dan kestablian politik terus terpelihara.
Najib berkata pertikaian politik, pembunuhan pemimpin dan keadaan negara yang tidak stabil di luar negara harus menjadi pengajaran kepada semua rakyat negara ini.
Justeru itu, beliau menyelar tindakan kumpulan tertentu yang menganjurkan demonstrasi jalanan semata-mata untuk kepentingnan politik sehingga merosakkan harta benda dan mengganggu urusan harian orang ramai.
Katanya kumpulan terbabit sanggup menimbulkan huruhara dan kekacauan malah pergi ke luar negara untuk memburukan negara sendiri sematamata untuk memenuhi agenda politik selepas mereka yakin tidak akan menang dalam pilihan raya. BERNAMA
No comments:
Post a Comment