Wednesday, August 01, 2007

Utamakan integriti pilih pemimpin – Raja Nazrin. UM adalah pelapor yang baik. Laungan keramat ini akan rakyat 'terbuka' terima dan dipraktikkan dalam PRU ke 12 yang akan datang . Bravo... rakyat Malaysia, kerana mu ?......

Pemimpin atau pihak berkuasa perlu dipilih berdasarkan integritinya terlebih dahulu sebelum melihat kepada kelayakan.

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, mereka dengan latar belakang yang samar atau jelas mempunyai kepincangan moral tidak patut dibenarkan memegang jawatan tersebut.
‘‘Untuk itu, tidak boleh ada toleransi terhadap sikap tidak berakhlak (rasuah) yang menjadi penyakit sosial paling berbahaya terhadap manusia,” titah baginda.

Baginda menyampaikan syarahan sulung sempena Siri Syarahan Yayasan Albukhary 2007 bertajuk Ke Arah Susunan Sosial Yang Memuaskan Bagi Semua Warga Malaysia di sini hari ini.
Menurut baginda, pemimpin negara menjadi barisan hadapan dalam menentang rasuah melalui prinsip dan amalan mulia seperti yang ditekankan Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas.
Syarahan sulung tersebut turut memberi penghormatan terhadap Allahyarham Syed Hussein serta sumbangannya terhadap bidang sosiologi Malaysia dan dunia.

Ketika hayatnya, Allahyarham Syed Hussein pernah menerbitkan lebih 16 buku dan 50 artikel dalam pelbagai bidang termasuk sejarah, politik Malaysia dan sosiologi.

Allahyarham Syed Hussein pernah menjadi Naib Canselor Universiti Malaya pada 1998 dan mengetuai Jabatan Penyelidikan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1958.

Beliau yang dikenali sebagai ahli politik dan akademik negara meninggal dunia pada 23 Januari lalu pada usia 78 tahun.
Turut hadir pada sesi syarahan tersebut ialah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim, Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary serta balu dan anak Allahyarham Syed Hussein, Datin Zaharah Alatas dan Syed Farid Alatas.

Dalam pada itu, Raja Dr. Nazrin Shah turut merumuskan lima ciri yang perlu ada dalam sebuah masyarakat Malaysia dengan susunan sosial yang memuaskan.

Perlu ada ekuiti mendatar (horizontal) dengan semua warga Malaysia dalam situasi serupa mendapat layanan yang sama.

Dialog dan perbincangan perlu menjadi cara utama menyelesaikan perbezaan dan menyelesaikan masalah.

Rakyat perlu mempunyai motivasi untuk mengambil tindakan tegas dan berkorban apa sahaja untuk kebaikan negara.

Hanya mereka yang berkebolehan, bekerja keras, berani dan sangat amanah dibenarkan memegang jawatan dengan tanggungjawab tinggi.

Pelantikan kepimpinan tertinggi negara perlu terdiri daripada individu terbaik negara bagi memastikan keyakinan tinggi rakyat terhadap kepimpinan negeri, eksekutif, badan kehakiman dan badan perundangan negara.

No comments: