Saturday, August 18, 2007

Stigma 'the West' cetus kekeliruan Islam, Barat



APAKAH benar wujud penentangan antara Barat dan Islam seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak? Apakah orang Islam saja yang sanggup membabitkan diri dalam kejadian berani mati, pengeboman dan serangan lain di negara Barat?Pada pandangan luaran sememangnya begitu, kerana kebanyakan kejadian berlaku ada saja kumpulan Muslim sering tampil mengaku bertanggungjawab, walaupun pada mulanya mereka belum dikenal pasti lagi. Mereka seolah-olah berbangga kerana berjaya mengorbankan nyawa, tetapi sebenarnya apa yang mereka lakukan tidak adil bagi orang Islam lain.

Profesor Dr Carl Ernst dari Universiti North Carolina, berpendapat pandangan serong terhadap orang Islam ini banyak dikemukakan dalam teori penulis buku tertentu serta dipaparkan media. Peristiwa 11 September 2001 juga memburukkan pandangan orang lain terhadap orang Islam.Dalam syarahan bertajuk The West and Islam? Rethinking Orientalism and Occidentalism disampaikan pada Kuliah Tun Razak ketujuh di Universiti Malaya, baru-baru ini, Dr Ernst menarik perhatian kepada beberapa buku mengenai pertembungan antara Barat dan Islam yang memburukkan hubungan Barat dengan Islam.

Antaranya, The Clash of Civilisations hasil karya seorang saintis politik di Amerika Syarikat, Samuel Huntington dan The Roots of Muslim Rage oleh Bernard Lewis yang kedua-duanya mirip pada Barat.Katanya, ramai pengkritik mempersoalkan mengapa Huntington dan Lewis merujuk kepada sesuatu yang dipanggil ‘the West’ dalam perbincangan mereka. Dr Ernst yang juga pengkaji dan pakar dalam pengajian Islam dengan fokus mengenai Barat dan Asia Selatan juga banyak membuat kajian mengenai Islam dan aliran Sufi.
Beliau berpendapat selagi wujud ungkapan seperti ‘the West’, selagi itu sukar bagi dunia mencapai perpaduan kerana ungkapan berkenaan membayangkan imej kuasa kolonial sebuah tamadun yang pernah berhasrat menguasai dunia dalam bentuk dominasi politik mahupun ekonomi global.Dalam teorinya, Huntington menyatakan perbezaan budaya dan agama masyarakat dunia akan menjadi punca utama konflik selepas tamat Perang Dingin. Teori itu dirumuskan pada 1993 dalam makalah Foreign Affairs sebagai reaksi kepada buku The End of History and The Last Man oleh Francis Fukuyama dari Jepun.
Huntington kemudian membuat penambahan kepada bukunya pada 1996 dan menamakannya The Clash of Civilisations and the Remaking of World Order.Dalam artikelnya itu beliau menyatakan: ‘Adalah menjadi hipotesis saya bahawa punca utama konflik di dunia yang baru ini bukannya kerana ideologi mahupun ekonomi. Pemisahan ketara di kalangan manusia dan punca utama konflik adalah budaya. Negara bangsa akan kekal sebagai pelakon paling berkuasa dalam hal ehwal dunia, tetapi konflik global akan berlaku di antara negara dan pengumpulan tamadun yang berlainan. Pertembungan tamadun ini akan mendominasi politik global.’Peristiwa 11 September 2001 dan peperangan di Afghanistan dan Iraq yang menyusulinya dilihat banyak pihak sebagai bukti teori pertembungan budaya ini.
Dr Ernst berkata, selagi orang Islam dan orang Barat bukan Eropah terus membenarkan golongan imperialis Eropah dan Amerika ini menentukan terma perdebatan ini dan menerima hujah mereka bahawa wujud sesuatu digelar ‘the West’, selagi itulah mereka tidak dapat memenangi pertikaian ini. Beliau bersetuju dengan pendapat seorang sarjana Islam, Mohammed Arkoun bahawa Bernard Lewis juga cuba memperdayakan pemikiran umum apabila beliau menggunakan ungkapan ‘Islam’ dan ‘the West’ dalam sebuah lagi bukunya yang bertajuk What Went Wrong.
Oleh itu, Dr Ernst berharap adalah lebih wajar ungkapan seperti ‘dunia Islam’ dan ‘the West’ digugurkan saja daripada sebarang perbincangan bagi mengelakkan masalah yang mungkin timbul berikutan penentangan antara kedua-duanya.Beliau berpendapat kita juga perlu membubarkan paradigma ‘Islam versus the West’ sebelum dapat mencari penyelesaian alternatif secara menyeluruh. Bagi melakukannya, semua pihak kena menangani masalah di kalangan ‘Muslim Westernophobes’ iaitu golongan orang Islam yang sentiasa sangsi dengan orang Barat dan kemudian menangani pula masalah ‘Western Islamophobes’ iaitu golongan orang Barat yang juga sentiasa mencurigai orang Islam.
Ungkapan ‘the West’ dan ‘Islam’ hanya mengingatkan kita mengenai zaman penjajahan dan semangat antikolonial yang tercetus daripadanya. Jika kita ingin menyatukan dunia dengan kita melihat semua orang melampaui identitinya dan memikirkan mengenai kehidupan dikongsi secara bersama, sudah tiba masanya bagi kita bergerak jauh daripada konsep yang jumud itu.Justeru, wajar kira memperbetulkan kesilapan dilakukan atas nama demokrasi dan globalisasi, yang menjadi sebahagian besar punca keganasan dunia. Mungkin benar seperti dikatakan Dr Ernst, apa yang diperlukan sekarang ialah anjakan paradigma dalam hubungan negara Islam dengan Barat.
Apabila berlaku persengketaan, namakan negara terbabit dan bukannya merujuknya sebagai ‘the West’ ataupun ‘Islam’ supaya tidak semua negara tergolong dalam kelompok sama dibabitkan dengan masalah negara lain.Kedua-dua pihak perlu lebih praktikal dan tidak terus tersalah anggap antara satu sama lain dalam menghadapi apa juga keadaan.Dr Ernst mencadangkan supaya diadakan pengajian secara akademik mengenai budaya, bahasa, sejarah, institusi dan amalan negara tertentu seperti Amerika, Britain, Perancis dan lain-lain di universiti tempatan serta kawasan serantau Asia Tenggara bagi mendalami pemahaman mengenai negara berkenaan.
Kursi Tun Razak di Universiti Ohio, Athens, Amerika Syarikat adalah satu langkah ke arah memperbetulkan salah tanggapan masyarakat di benua berkenaan mengenai negara ini dan kawasan serantau.Kursi Tun Razak ditubuhkan pada 1980 dan dibiayai Kerajaan Malaysia, Universiti Ohio dan syarikat Amerika yang beroperasi di Malaysia sebagai satu usaha menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan antara negara ini dengan Amerika.
Penyandang Kursi Tun Razak ditempatkan di Pusat Pengajian Antarabangsa di universiti berkenaan dengan tugas utama mengajar dan membuat penyelidikan mengenai Malaysia, bahkan setiap buku diterbitkan mengenai negara ini yang disahkan Perpustakaan Negara dihantar untuk disimpan sebagai rujukan di pusat berkenaan.Persidangan akademik diadakan di sekitar Amerika Syarikat itu adalah antara kegiatan dianjurkan ‘Profesor’ yang memegang Kursi Tun Razak dan pada 2003 ia diadakan buat pertama kalinya di Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan kuliah kedua oleh Dr Ernst pada 9 Ogos lalu.

No comments: