Pekerja asing di negara ini dijangka mencecah sehingga lima juta orang menjelang 2010 dan keadaan itu boleh menimbulkan persaingan kepada rakyat tempatan selain mengurangkan kadar pekerjaan dalam negara.Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Prof Emeritus Datuk Dr Mohamed Ariff berkata pada ketika ini terdapat dua juta pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini dan bilangan itu tidak termasuk lebih 700,000 pendatang tanpa izin yang bekerja di negara ini.
" Kita memerlukan polisi yang membina untuk mengkaji perkara ini," kata Mohamed ketika menyampaikan ceramah mengenai kedudukan ekonomi negara kepada lebih 400 peserta Persidangan Tahunan Pimpinan Mahasiswa Malaysia anjuran Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom dan Ireland (UKEC) di sebuah hotel di sini.
Mohamed berkata dasar itu perlu menyeluruh dan menggariskan secara jelas sektor-sektor ekonomi yang memerlukan khidmat tenaga asing seperti pembinaan, perladangan dan perkhidmatan (pembantu rumah).Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Mohamed berkata dasar khusus itu perlu bagi mengelakkan persaingan secara langsung wujud antara pekerja asing dan tempatan."Contohnya sektor pembuatan.
Majikan akan mengambil pekerja asing yang jauh lebih murah kadar gaji daripada pekerja tempatan. Malah mereka (pekerja asing) akan diguna sepenuhnya," katanya.Kebergantungan negara terhadap pekerja asing adalah antara isu utama yang dibentangkan oleh Mohamed selain pertumbuhan ekonomi yang perlahan, peningkatan pengangguran, pelaburan domestik kurang sejak krisis ekonomi 1997, peningkatan perbezaan pendapatan intra-kaum, perhijrahan cerdik pandai dan keadaan ekonomi negara yang mudah terdedah kepada krisis akibat ketidakseimbangan global.
Mengenai perbezaan ketara antara jumlah pelaburan asing dan pelaburan domestik di negara ini, Mohamed berkata pelaburan domestik kurang kerana terdapat halangan-halangan tertentu selain kekurangan galakan khusus.Beliau berkata terdapat pelabur tempatan yang melihat Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai halangan, yang kemudiannya keluar negara dan kembali melabur di negara ini sebagai pelabur asing.
Bagaimanapun, beliau percaya usaha kerajaan mewujudkan Koridor Utara dan Wilayah Pembangunan Iskandar akan meningkatkan jumlah pelaburan tempatan dan asing serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.Persidangan tahunan tiga hari bermula semalam itu membincangkan topik ekonomi, pendidikan, pembangunan sosial dan Wawasan 2020 sempena dengan sambutan 50 tahun kemerdekaan negara. Ia disertai pemimpin pelajar Malaysia luar negara.
No comments:
Post a Comment