Friday, August 03, 2007

Cuepacs tolak VSS tapi sedia berunding

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sedia berunding dengan kerajaan berhubung Skim Pemisahan Sukarela (VSS) untuk kakitangan awam sebagaimana dicadangkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, semalam.

Presidennya Omar Osman berkata bagaimanapun pada prinsipnya Cuepacs menolak cadangan untuk memperkenalkan VSS, sebagaimana dilakukan kepada kakitangan swasta, dengan alasan tidak sesuai kepada kakitangan awam.

"Kita menolak cadangan itu, kita harap kerajaan tingkatkan lagi kebajikan kepada kakitangan awam. Bagaimanapun, kita sedia berunding (dengan kerajaan)," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Kakitangan Kumpulan Sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di sini, hari ini.

Seramai 450 orang hadir pada seminar dua hari bertujuan untuk meningkatkan daya ketahanan di kalangan kakitangan Fama.

Media hari ini melaporkan Mohd Sidek membayangkan kerajaan mungkin memperkenalkan VSS bagi "melepaskan" kakitangan awam yang bermasalah dan tidak berdisiplin.

Mohd Sidek dilaporkan meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengkaji kemungkinan menggunakan skim yang diamalkan oleh sektor swasta itu supaya kakitangan yang gagal menunjukkan prestasi meninggalkan perkhidmatan awam.

Omar berkata ada cara lain yang lebih baik untuk digunakan bagi membolehkan kakitangan terbabit menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

"Kalau kakitangan terbabit salah mengikut akta dadah, undang-undang sudah ada menghukumnya, itu terserah kepada mahkamah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya kakitangan yang dianggap bermasalah itu ada sebab-sebab tertentu yang boleh diatasi, sistem VSS tidak boleh diguna.

Kira-kira 10,438 orang pegawai kerajaan dikenakan tindakan tatatertib sejak 2002 hingga tahun lepas kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Pegawai (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (Pindaan 2002).

Omar berkata bilangan itu terlalu kecil untuk dibandingkan dengan 1.2 juta kakitangan awam di seluruh yang berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Beliau berkata golongan terbabit perlu didedahkan dengan kursus dan seminar setiap masa bagi membolehkan tenaga mereka diguna semaksimum mungkin dalam memaju dan membangunkan negara.

Menyentuh kajian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memberi kelonggaran kepada kakitangan wanita untuk berhenti sementara daripada pekerjaan bagi melahirkan anak, beliau berkata Cuepacs menyambut baik cadangan berkenaan.

"Sejak tahun 1992 lagi Cuepacs meminta supaya cuti bersalin 90 hari dan kerajaan setuju beri 84 hari, tetapi sampai sekarang belum digunapakai," katanya. BERNAMA

No comments: