Sunday, July 22, 2007

Tidak cadang guna biometrik



Kerajaan tidak bercadang menggunakan kaedah biometrik iaitu penggunaan MyKad dan cap jari bagi menggantikan sistem pengundian sedia ada pada pilihan raya umum ke-12.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kaedah biometrik memerlukan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan tambahan RM41 juta bagi menyediakan peralatan yang diperlukan.

Beliau berkata, jika kaedah itu digunakan, ia juga bermakna pengundi yang masih belum menukar kad pengenalan lama kepada MyKad, tidak boleh mengundi pada pilihan raya umum nanti.

“Kita boleh dituduh tidak menghormati hak mereka sebagai pengundi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“(Oleh itu) saya nampak ada banyak kesukaran kalau kita gunakan sistem biometrik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus dekat sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, pihaknya sedia menggunakan kaedah biometrik pada pilihan raya umum akan datang jika kerajaan bersetuju mengeluarkan peruntukan tambahan bagi menyediakan peralatannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini mempunyai ruang yang luas untuk menentukan tarikh paling sesuai untuk diadakan pilihan raya umum.

Beliau berkata, kenyataan SPR bahawa pihak itu bersedia mengadakan pilihan raya umum ke-12 selepas September tahun ini cukup melegakan.

Jelasnya, kesediaan SPR itu bermakna apabila diadakan pilihan raya umum nanti, tidak timbul masalah untuk mentadbir urusan pilihan raya dengan cekap dan berkesan.

‘‘Kita ucap terima kasih kepada SPR kerana telah memberi komitmen bahawa mereka akan bersedia mengendalikan pilihan raya pada bulan September.

“Selepas ini, kita harap tidak timbul apa-apa yang tidak diingini yang boleh mencacatkan proses pilihan raya negara kita nanti,” ujarnya.
Mengenai persediaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya, Najib menegaskan, persediaan parti berjalan secara berterusan termasuk kursus dan taklimat kepada jentera parti.

“Sebenarnya jentera kita telah diuji pada lima pilihan raya kecil sebelum ini, namun untuk pilihan raya umum mereka terpaksa berdikari di tempat masing-masing.
“Oleh itu, kekuatan dalaman dan ilmu menghadapi pilihan raya perlu diterapkan walaupun sebahagian besar daripada anggota kita telah melalui beberapa kali pilihan raya (umum),” ujarnya.

Mengenai pemilihan calon, beliau berkata, masih terlalu awal untuk beliau memperkatakan soal tersebut, sebaliknya apa yang penting ialah apabila tiba masanya penentuan calon dibuat, tidak timbul masalah atau kesannya terhadap perpaduan dalam parti.

Ini kerana, katanya, soal pemilihan calon merupakan ujian paling besar terhadap parti semasa pilihan raya dan beliau berharap komitmen semua ahli untuk bersatu padu menjadi kenyataan.
Ulasannya
Nak jimatkan perbelanjaan konon, isteri beliau membeli belah baru2 ni sampai 9 buah kereta kena angkut bawa balik kat Malaysia, jimatlah tuuuuu...
Baguslah depa boleh tipu lagi, yang kena sokmo-sokmo kitalah juga...

No comments: