Sunday, July 29, 2007

Soal Jawab: Pembabitan ahli akademik mantapkan sistem perundangan

PROFESOR undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari, mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai pertindihan kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil serta keputusan bersejarah Mahkamah Rayuan membebaskan remaja lelaki 18 tahun yang membunuh anak guru tuisyennya empat tahun lalu, kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mengenakan hukuman penjara terhadap pesalah kanak-kanak yang melakukan kesalahan membunuh.

APAKAH pandangan Dr apabila Mahkamah Persekutuan meminta Parlimen mengkaji peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan konflik bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil yang dikatakan semakin serius sejak dua dekad ini?
Cadangan seperti itu lazim dibuat oleh hakim, terutama apabila mereka mendapati bahawa undang-undang yang ada mempunyai kelemahan dan tidak lengkap. Cadangan hakim Datuk Abdul Hamid Mohamad, perlu diberi perhatian kerana jika saya tidak silap, ini adalah kali pertama mahkamah membuat gesaan demikian berhubung pertindihan kuasa.Sebagai bekas pegawai kanan di Pejabat Peguam Negara dan terbabit dalam banyak bengkel mengenai isu itu, pandangan beliau perlu diberi perhatian. Pada masa sama, kita perlu membuat kajian teliti terhadap apa yang dikatakan masalah itu.
Selain itu, kita perlu memastikan kita mempunyai formula penyelesaian untuk mengatasinya. Perkara 121(1A) dimasukkan untuk menyelesaikan masalah antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, tetapi nampaknya masih bermasalah.Apakah sebenarnya aspek yang membabitkan pertindihan kuasa itu?
Dalam kes tuntutan dua anak ahli perniagaan Allahyarham Datuk Sharibun Wahab, ia membabitkan harta. Bagaimana dengan aspek lain?Saya hanya melihat laporan akhbar dan belum menerima penghakiman penuh kes itu. Jadi susah untuk membuat ulasan yang tepat dan adil. Tetapi sudah pasti ada lebih dari satu aspek yang perlu diberi perhatian. Apa pun kita perlu memastikan konflik itu adalah konflik yang memang benar konflik dan bukan sesuatu yang hanya bersifat tanggapan. Kes ini menarik kerana peruntukan berkenaan jelas boleh membabitkan kalangan orang Islam sendiri yang tidak membabitkan orang yang masuk dan keluar Islam.
Apa yang berlaku jika konflik antara kedua-dua sistem mahkamah tidak diselesaikan?
Kita perlu membuat kajian teliti dan tidak boleh terburu-buru. Saya tidak fikir mahkamah tidak boleh membuat sebarang inisiatif seperti yang tergambar dalam pemerhatian Datuk Abdul Hamid apabila beliau mengatakan bahawa tugas hakim ialah melaksanakan undang-undang dan tidak membuat atau meminda undang-undang.Dalam amalan yang sebenar, hakim turut membuat undang-undang dalam bentuk keputusan kes dan ini tidak boleh dielakkan kerana undang-undang tidak mungkin sempurna dan lengkap 100 peratus.
Kita perlu belajar pengalaman negara lain, termasuk Amerika Syarikat yang hanya meminda perlembagaan sebanyak 27 kali sejak 1787. Kita pula meminda perlembagaan sebanyak 53 kali dalam tempoh 50 tahun. Kita juga perlu sedar bahawa Parlimen sibuk dengan banyak perkara dan tidak mempunyai kepakaran khusus. Itu belum lagi dengan kontroversi yang menyelubungi Perkara 121(1A) sendiri.Hakim perlu menggunakan kebijaksanaan untuk menyelesaikan masalah dan jangan sentiasa menuding jari kepada Parlimen. Bagaimanapun, kita perlu melihat saranan beliau dengan serius.
Bagaimana pula dengan keputusan Mahkamah Rayuan memerintahkan seorang remaja yang membunuh anak guru tuisyen dibebaskan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mengenakan hukuman penjara terhadap pesalah kanak-kanak yang melakukan kesalahan membunuh?
Pihak berkuasa perlu melihat akta itu dan membuat perubahan yang diperlukan. Saya fikir ada aspek positif daripada penghakiman Mahkamah Rayuan kerana ia berkisar kepada soal pemisahan kuasa antara eksekutif dan mahkamah apabila Mahkamah Rayuan memutuskan kuasa menahan itu melampaui batasan mengikut teori pengasingan kuasa antara mahkamah dan eksekutif.
Bagaimanapun, kita harus ingat bahawa kuasa itu diberi oleh Parlimen, bukan pihak eksekutif yang memandai-mandai sendiri.Bagaimanakah doktrin pemisahan kuasa boleh timbul dalam konteks kes di Mahkamah Rayuan?
Apa yang berlaku ialah kuasa pihak eksekutif yang dilaksanakan atas nama Yang di-Pertuan Agong disifatkan sebagai mengambil kuasa mahkamah. Ini kerana kuasa untuk menahan dan seumpamanya adalah kuasa mahkamah. Saya fikir apa yang diputuskan ini baik, terutama dalam keadaan cukup banyak kritikan terhadap tahanan yang dilakukan mengikut Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri hingga menyebabkan timbalan menteri dan Ketua Polis Negara terpalit.
Adakah situasi di Mahkamah Rayuan juga menyebabkan perlu ada perubahan dilakukan terhadap akta sedia ada di Parlimen?
Ya! Saya fikir itu tidak dapat dielakkan dan saya rasa perkara ini lebih mendesak dan perlu diberi perhatian segera berbanding masalah yang dibangkitkan oleh Datuk Abdul Hamid di Mahkamah Persekutuan.
Apakah ada cara lain untuk memastikan bahawa undang-undang kita sempurna dan tidak banyak kelemahan?
Ini sukar untuk dicapai kerana masyarakat sentiasa berubah dan keperluan mereka juga berubah. Bagaimanapun, kita boleh menyediakan pilihan dalam bentuk kajian. Di United Kingdom dan New Zealand, ada suruhanjaya undang-undang yang dianggotai ahli akademik yang mengkaji akta Parlimen dan keputusan mahkamah.
Suruhanjaya ini akan mengemukakan cadangan kepada Parlimen yang meliputi analisis dan punca masalah serta cara menyelesaikannya. Parlimen pula akan mempertimbangkan. Cara ini lebih baik kerana lebih teliti, objektif dan terperinci, berbanding pemerhatian umum oleh hakim dalam kes yang mereka kendalikan. Selain itu, mereka tidak semesti mengkaji perkara berkenaan dengan mendalam.Saya fikir mekanisme ini akan menjadikan sistem undang-undang negara lebih lengkap dan mengambil perspektif dari pelbagai pihak.
Undang-undang dibuat oleh Parlimen dan kemudian membabitkan hakim dan peguam. Apabila membabitkan kajian, saya fikir itu adalah menjadi tugas ahli akademik untuk memainkan peranan.
Adakah ini boleh dilakukan di Malaysia?Mengapa tidak?
Cuma saya kurang pasti sama ada ia boleh berjalan dengan baik kerana ahli-ahli akademik di IPTA kita sibuk dan disibukkan dengan tugas pentadbiran

No comments: