Sunday, July 29, 2007

Kata Saya: Kekurangan guru lelaki amat dirasai



KEBANYAKAN daripada kita ada seorang guru dalam keluarga, sama ada di sekolah rendah atau menengah. Jika bukan adik beradik tentu ipar duai atau sahabat handai. Jadi, sedikit sebanyak kita tahu tugas dan tanggungjawab berat dipikul guru pada hari ini.

Sejak dulu profesion ini sentiasa mendapat perhatian dan ramai mahu menyertainya. Jika tidak, tentu tak ada orang yang sanggup menggunakan pelbagai saluran bagi membantu mereka mendapatkan tempat di maktab perguruan atau mana-mana pusat pengajian tinggi asalkan cita-cita menjadi guru tercapai.Ramai kecewa apabila permohonan menjadi guru ditolak. Kita tak pasti sama ada menjadi guru adalah pilihan pertama atau selepas tidak mendapat sebarang pekerjaan, akhirnya terpaksa memohon jawatan guru.
Walaupun bagi sesetengah yang menjadikan profesion ini pilihan terakhir, mereka tetap menjadi guru cemerlang dan dapat mendidik pelajar cemerlang juga.Bagaimanapun, masalah disiplin pelajar yang dikatakan semakin mencabar guru sejak akhir-akhir ini dikatakan memerlukan perhatian dan kajian teliti. Sesetengah tindakan disiplin yang diambil guru dikatakan keterlaluan sedangkan guru beranggapan ia perlu dilakukan demi kebaikan pelajar. Berikutan itu, Kementerian Pelajaran akan meminda Peraturan-Peraturan Disiplin (Pelajar) 1957 bagi mengemas kini peraturan dan tindakan yang boleh diambil guru terhadap pelajar bermasalah.
Akta yang seusia dengan kemerdekaan negara itu dikatakan terlalu umum sehingga mengeliru dan menyukarkan pentadbiran sekolah melaksanakan hukuman terhadap pelajar. Kita bersyukur kerana beberapa kes membabitkan tindakan keras guru terhadap pelajar berjaya diselesaikan dengan aman oleh ibu bapa, pelajar dan guru. Seperti kes merendam pelajar di Sarawak, ibu bapa meletakkan kepentingan anak melebihi segalanya kerana mereka tahu bukan mudah mendapatkan guru yang mempunyai kepakaran bahasa Inggeris seperti Cikgu Wee Yim Pieng, 27. Ibu bapa memaafkan guru itu juga kerana yakin walaupun tindakannya agak keterlaluan, beliau tiada niat lain selain mendidik anak mereka.
Satu perkara turut perlu diberi perhatian serius ialah saranan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Murad Mohd Nor mengenai ketidakseimbangan jumlah guru lelaki dan wanita di sekolah, terutama sekolah menengah. Namun, ia bukan isu baru kerana pernah dibangkitkan sebelum, ini yang dikatakan antara punca masalah disiplin pelajar meningkat.Kita pun tidak pasti mengapa lelaki kurang menyertai profesion ini.
Apakah mereka tidak mempunyai kelulusan diperlukan atau enggan menghadapi cabaran profesion ini atau kerana kerjaya ini tidak membolehkan mereka menjadi kaya. Jika melihat kepada jumlah kemasukan pelajar di universiti yang lebih 50 peratus adalah wanita, pasti kita dapat mengagak mengapa jumlah ini kecil. Ditambah pula dengan pilihan kursus diambil, semakin kecil jumlah lelaki menjadi guru.
Sememangnya sehingga hari ini kekurangan guru lelaki ini amat dirasakan. Mungkin ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah setiap awal tahun pun dapat melihat sendiri keadaan ini, hingga ada sesetengah sekolah 90 peratus gurunya adalah wanita. Seperti kata Murad, kalau di sekolah rendah, jumlah guru wanita 100 peratus pun tidak mengapa tetapi sekolah menengah, ketidakseimbangan ini perlu diatasi segera.Ibu bapa juga pasti pernah mendengar anak mengeluh mengenai aktiviti sukan atau kokurikulum yang tidak dapat mereka lakukan kerana tidak ada guru lelaki untuk membimbing umpamanya bola sepak.
Perkara ini sudah berlaku dan kesannya pun sudah dapat dirasai.Pada peringkat sekolah menengah, ada sesetengah tanggungjawab guru lelaki tidak boleh dipikul guru wanita kerana hanya guru lelaki boleh menangani masalah pelajar lelaki. Malah, kadangkala pelajar wanita juga perlukan perhatian daripada guru lelaki untuk mendisiplinkan mereka. Memang ada pelajar wanita lebih selesa berbincang dengan guru lelaki berbanding guru wanita dalam sesetengah hal tetapi mereka tidak ada tempat untuk berbuat demikian di sekolah.
Masalah disiplin ketika ini bukan boleh dibandingkan dengan zaman dulu. Masalah yang menghambat anak zaman sekarang terlalu berat, bermula daripada ponteng, menghisap rokok, samseng, pergaulan bebas lelaki wanita dan pelbagai masalah yang tak terfikir akal boleh dilakukan anak zaman ini. Itu semua adalah cabaran hebat yang perlu ditanggung guru. –
Jangan ambil masa terlalu lama untuk mengkaji dan mengambil tindakan kerana kesannya akan berterusan dan dibimbangi masalah disiplin pelajar akan bertambah parah. – yatisaid@bharian.com.my

No comments: