Membaca tulisan rencana dalam BH hari ini, ada rasional dan tidak keterlaluan penulis dalam mengucapkan syabas dan terima kasih atas pandangan nya di bawah ini.
Menunding jari menyalahkan orang lain adalah satu kerja mudah. Dalam kes dan hal didiplin pelajar , wajarlah semua pihak bersikap berlapang dada. Sememang wajar ada masalah 'segelintir' pelajar bermasalah dengan 'segelintir' guru yang beremosi atau berangin. Lumrah ini adalah lumrah pada semua sifat. Begitulah lemahnya manusia, justeru 'usaha' itu adalah satu kerja yang utama bagi mengecilkan atau mengurangkan kejadian-kejadian seumpama guru mendera pelajar tidak berbangkit lagi.
Ikutilah pandangan rencana, maka penulis amat menyetujuinya sangat .....
SELEPAS mengikuti laporan beberapa kejadian membabitkan sekumpulan pelajar dikatakan didera guru, kita perlu tanya apa sudah jadi dengan guru kita. Bagaimanapun, kita perlu sedar ini adalah masalah global. Hampir semua negara dalam dilema, bagaimana mengatasi hubungan guru dan murid. Malah pelbagai kajian dibuat dan pelbagai tindakan serta peraturan diperkenalkan untuk menghadapi dan mengatasinya.
Soalnya mengapa penderaan murid berlaku. Selain penderaan seksual yang dikaitkan dengan nafsu, banyak kajian pernah dibuat mengenainya. Ada yang menyalahkan murid itu sendiri, ada juga yang meletakkan kesalahan terhadap ibu bapa, tidak kurang juga persekitaran pelajar, pengaruh televisyen, sistem sosial masyarakat itu sendiri. Kementerian Pelajaran pun tidak dilepaskan kerana dikatakan tidak serius dalam menangani masalah ini.Hakikatnya, ini adalah masalah psikologi, masalah antara pendera dan yang kena dera. Ada kajian mengkategorikan guru mendera tidak stabil fikirannya akibat daripada pelbagai tekanan emosi sama ada disebabkan kerja, guru besar, pengetua, hubungan suami isteri atau anak mereka sendiri.Dr Alan McEvoy dari Universiti Wittenberg, Amerika Syarikat, dalam kajiannya bertajuk ‘Guru Membuli Murid: Corak dan Kesan Dasar’, berkata masalah guru buli pelajar sama dengan pelajar buli pelajar.
Mangsa mereka ialah pelajar yang lemah, tidak mampu mempertahankan diri, mangsa diasingkan daripada rakan kelas lain dengan pelbagai label seperti lemah, bodoh (malah menjadi mangsa ejekan rakan kelas), guru mempertahankan diri dengan alasan tindakannya ada justifikasi atau provokasi. Ada juga guru membuli menggunakan alasan motivasi, selain mempengaruhi orang lain untuk mempercayai mangsanya paranoid dan tidak berguna.Dr McEvoy berkata, kajiannya mendapati pelajar yang dibuli sering mengalami kemurungan, keliru, takut, hilang keyakinan diri, sentiasa marah, tetapi tidak tahu bila melepaskan geram. Jika tidak diselamatkan segera, mangsa akan menyalahkan diri sendiri terhadap apa yang berlaku, rasa tidak bernilai, tidak dipedulikan. Malah, ada kes murid dan pelajar membunuh diri disebabkan tekanan.Dia juga akan rasa terperangkap dalam nasib malang menimpanya, tidak berani membuat aduan kerana bimbang tindakan lebih buruk akan dikenakan terhadapnya. Akibatnya pelajar hilang minat terhadap pelajaran, tidak suka ke sekolah, ponteng, tertekan dari segi emosi, lari dari rumah dan sentiasa hidup dalam kebingungan dan ketakutan.Walaupun kemarahan ditujukan terhadap guru berikutan beberapa kejadian di Sabah dan Sarawak, baru-baru ini, ibu bapa perlu menerima separuh daripada beban yang ditanggung guru. Jika ibu bapa yang ada dua atau tiga anak di rumah mengadu tidak dapat mengawal mereka, pening dengan pelbagai gelagat anak mereka, apatah lagi guru yang terpaksa menanggung kerenah beratus murid setiap hari.Mengapakah guru perlu mendisiplinkan muridnya, jika ibu bapa sudah melaksanakan tanggungjawab masing-masing menjaga dan membela dua tiga anak mereka dengan betul serta menjadi manusia yang baik, tidak kurang ajar, tidak memberontak. Mengapa guru perlu mempertaruhkan masa depannya, digantung kerja atau ditukar ke tempat lain jika ibu bapa sudah melakukan tugas mereka.
Walaupun ada Pekeliling 8/1983 Kementerian Pelajaran yang melarang guru mengetuk pelajar, menampar, memulas telinga, melakukan ketuk-ketampi, menjemur pelajar di tengah panas, mengarahkan pelajar berlari mengelilingi padang atau penderaan emosi seperti mencela, mengapa guru masih melampaui batas itu? Janganlah kita hanya menuding jari terhadap guru. Seluruh masyarakat yang perlu dipersalahkan.
Tidak cukup setakat duduk di pejabat berhawa dingin dan cepat melatah.Kita tidak mahu apa yang berlaku 10 tahun lalu, apabila Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) hampir mengarahkan semua ahlinya di seluruh negara supaya tidak mempedulikan masalah disiplin, akhlak dan salah laku di kalangan pelajar pada masa akan datang. Memang betul pun, guru bukan polis sekolah, mengapa mereka perlu dibebani dengan tanggungjawab tambahan menjaga disiplin anak orang. Bagaimanapun, mereka sedar merekalah ibu bapa di sekolah, tanpa sokongan dan dedikasi mereka, negara tidak mampu melahirkan generasi baru berwawasan.
Jika guru memboikot soal disiplin pelajar dan hanya mengajar seperti ditetapkan dalam perkhidmatan, sistem sosial kita akan hancur.Pada masa sama, kita harap mendisiplin pelajar biar ada hadnya. Janganlah sampai mendera. Guru mesti mendisiplinkan pelajar untuk mendidik, bukan membuli atau mendera.Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian
No comments:
Post a Comment