Kementerian Pelajaran mahu masyarakat tidak terlalu cepat menjatuhkan hukuman kepada warga pendidik yang didakwa keterlaluan ketika menangani masalah disiplin pelajar.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kes yang dipaparkan media sejak kebelakangan ini hanya membabitkan sebilangan kecil guru dan sebahagian besar mereka masih komited menjalankan tugas mendidik anak bangsa menjadi insan berguna.Katanya, guru diminta tidak mudah berputus asa dengan kritikan yang dilemparkan pelbagai pihak terhadap profesion itu kebelakangan ini.“Saya ingin mengingatkan guru, jangan kerana timbulnya isu seperti itu boleh melunturkan dan melemahkan semangat mereka,” katanya pada sidang media selepas pertandingan akhir Kuiz Perdana Khas Kemerdekaan di sini, semalam.
Kenyataan beliau turut disokong Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahu punca guru bertindak menjatuhkan hukuman kepada pelajar diselidik terlebih dulu sebelum sebarang tindakan dikenakan terhadap guru terbabit.Hishammuddin berkata, kementerian sentiasa bersama warga pendidik menghadapi semua perkara namun beliau mahu kejadian seumpama itu menjadi pengajaran kepada mereka untuk terus memperbaiki kelemahan yang ada.Beliau mengulas mengenai laporan media sejak kebelakangan ini yang memaparkan tindakan keterlaluan guru ketika menghukum pelajar yang tidak mematuhi peraturan disiplin.
Hishammuddin mengingatkan guru bersama-sama memikul amanah yang diberikan untuk mendidik anak bangsa tanpa mengabaikan budi bicara dan peraturan ditetapkan.“Kita sudah menggariskan peraturan dan guru diminta supaya tidak berlebih-lebih sehingga ada guru lain sama berasa bersalah dengan tindakan rakannya,” katanya.Sementara itu, Rais berkata, punca masalah pelajar adalah pendekatan yang digunakan sama ada melalui cara lembut, tegas atau jalan terakhir iaitu, tindakan disiplin.Katanya, tindakan disiplin itu bagaimana perlu dinilai supaya tetap mempunyai pengajaran untuk dijadikan iktibar.“Dulu, guru terdedah dengan sistem disiplin yang lebih keras untuk didik pelajar,” katanya.
No comments:
Post a Comment