Sunday, July 29, 2007

Makin ramai bintang Islam sertai Barcelona


Langkah kelab dijangka tambah sokongan peminat dunia ArabBARCELONA: Rekod jumlah bintang beragama Islam akan membintangi barisan gergasi, Barcelona FC - kelab bola sepak kedua terkaya di dunia, apabila musim baru Liga Sepanyol membuat sepak mula 24 Ogos nanti.

Pemain tengah berbakat dari Perancis, Yaya Toure, menjadi pemain beragama Islam terbaru menyertai Barcelona - antara kelab dengan lakaran sejarah gemilang dalam kancah saingan di Sepanyol dan Eropah.Toure, dipilih oleh stesen televisyen kabel Eurosport pada 2005 sebagai antara pemain muda paling memikat di dunia, sah menyertai Barcelona bulan lalu dengan bayaran perpindahan 10 juta euro (RM48 juta) daripada kelab Perancis, Monaco.
Pemain itu yang mempunyai kemahiran hebat dalam menguasai dan melindungi penguasaan bola, dia menyerlah menerusi kombinasi umpanan jauh, dekat dan juga hantaran tepat kepada rakan di barisan penyerang.Dalam situasi sukar, Toure memikat tumpuan kerana kemampuannya untuk memulakan gerak serangan pantas, membolehkannya dianggap sebagai pakar ‘kotak ke kotak penalti’ lawan.Sejak awal lagi disahkan menyertai Barcelona, Toure tidak pernah cuba menyembunyikan agamanya, dengan bertegas betapa tiada konflik di antara menjadi pemain bola sepak yang berjaya ataupun umat Islam yang patuh.
Ditubuhkan pada 1899, Barcelona adalah kelab kedua terkaya di dunia. Ia sudah menyaksikan begitu ramai pemain handalan dunia yang menyarung jersi kelab itu - legenda seperti Johan Cruyff, Gary Lineker, Rivaldo, Ronaldo dan ramai lagi.Seorang lagi bintang bola sepak beragama Islam, Eric Abidal, juga akan menyarung jersi Barcelona dalam musim baru kali ini. Barcelona memikat khidmat pemain antarabangsa Perancis itu daripada kelab juara Liga Perancis, Lyon, dengan harga 15 juta euro (RM72 juta) dan mengikatnya dengan kontrak selama empat tahun.
Abidal, diakui sebagai antara tonggak pertahanan dalam Liga Perancis, berkata kekuatan pegangan agamanya menjadi penggalak untuk sentiasa memberikan yang terbaik buat setiap pasukan diwakilinya.Laporan yang tidak dapat disahkan pula menyebut bintang penggempur Perancis, Thierry Henry yang berhijrah ke Barcelona daripada kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dengan harga 16.1 juta pound (RM114.3 juta), juga beragama Islam.
Henry sentiasa menggalakkan rakan-rakannya untuk membaca buku mengenai Islam dan menghayati Al-Quran untuk lebih memahami agama berkenaan. Tetapi dia bagaimanapun menafikan sudah memeluk agama Islam.Henry, digelar sebagai ‘ahli silap mata’, sudah dua kali dicalonkan untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa). Dia adalah antara bintang dalam skuad Perancis yang muncul juara Piala Dunia 1998 dan Euro 2000.Seorang lagi tonggak Perancis, Lilian Thuram - yang mengakui menganut agama Islam - sudah beraksi untuk kelab Sepanyol itu sejak 2006.
Bersama-sama dua lagi bintang hebat, Zinedine Zidane dan Franck Ribery - yang juga beragama Islam - mereka mengepalai cabaran Perancis untuk mara hingga ke final Piala Dunia 2006 sebelum kecundang di tangan Itali.Akhbar harian Sepanyol, ABC meramalkan kehadiran jumlah rekod pemain beragama Islam dalam skuad Barcelona akan memikat sokongan lebih ramai peminat daripada dunia Arab dan Islam.
Musuh utama Barcelona untuk gelaran Liga Sepanyol, Real Madrid - yang muncul juara musim lalu - hanya mempunyai seorang pemain beragama Islam dalam skuad mereka - Mammadou Diarra.Pelbagai pihak menyifatkan pemain bintang adalah duta kepada agama Islam. Barisan pakar juga mengakui betapa bintang bola sepak beragama Islam yang mengetuai beberapa pencabar utama ketika Piala Dunia 2006 di Jerman lalu, mencetuskan anjakan paradigma dengan mempamerkan ‘wajah’ Islam yang mungkin tidak disedari ataupun tidak pernah diketahui kewujudannya oleh pelbagai pihak lain. -
FAKTA: YAYA TOURE

Pemain muda paling memikat di dunia.

Dia menyerlah menerusi kombinasi umpanan jauh, dekat dan juga hantaran tepat kepada rakan di barisan penyerang.

Dia tidak pernah cuba menyembunyikan agamanya, dengan bertegas betapa tiada konflik di antara menjadi pemain bola sepak yang berjaya ataupun umat Islam yang patuh.

Menyertai Barcelona bulan lalu dengan bayaran perpindahan 10 juta euro (RM48 juta) daripada kelab Perancis, Monaco.

1 comment:

awan said...

Subhaanalloh...
jaya terus Islam,Jaya terus Sepak bola .

Allaahuakbar...3x