Pulau Pinang guna kelebihan hab logistik jana pembangunan melangkaui IMT-GT PENDUDUK empat negeri di dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) iaitu projek raksasa untuk dilaksanakan dalam tempoh 20 tahun yang dijangka dilancarkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Isnin ini, sudah tentu tidak sabar menunggu pengumuman bakal dibuat Perdana Menteri.
Lapisan penduduk Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis bukan saja ingin tahu perancangan kerajaan bagi memajukan wilayah yang masih ketinggalan di negara ini, malah apa bentuk manfaat bakal mereka terima. Begitu juga dengan sektor swasta, mereka juga ternanti-nanti melihat peranan boleh dimainkan dan direbut dalam wilayah ekonomi berkenaan, walaupun pada peringkat awal pelaksanaan kerajaan yang memainkan peranan utama.
NCER membabitkan jumlah pelaburan besar untuk 20 tahun pelaksanaannya. Jika sasaran pelaburan di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor adalah RM50 bilion bagi lima tahun pertama pelaksanaannya, NCER juga bakal menerima pelaburan yang besar. NCER meliputi empat Rancangan Malaysia, bermula dengan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), memfokuskan kepada tiga teras iaitu pertanian, pembuatan dan perkhidmatan bagi mewujudkan pembangunan seimbang dan saksama.
Berdasarkan pelan komprehensif disediakan Kumpulan Sime Darby Bhd, tema yang digunakan bagi Perlis ialah berkaitan teknologi benih, pengurusan estet (Kedah), hab lojistik (Pulau Pinang) dan pembangunan modal insan (Perak). Dengan menggunakan tema berasingan di setiap negeri berdasarkan kelebihan masing-masing, semua negeri akan saling bekerjasama dan menggabungkan kekuatan bagi menjayakan misi negara demi kepentingan rakyat. Menerusi projek yang sudah dikenal pasti membabitkan pembinaan dan menaik taraf infrastruktur, penggunaan teknologi dalam bidang pertanian dan amalan pengurusan yang baik serta pembangunan sumber manusia, penduduk di wilayah ekonomi itu akan dapat menikmati prasarana yang baik dan peningkatan kualiti hidup menerusi peningkatan pendapatan.Bagi Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, adalah wajar keempat-empat negeri menggabungkan sumber dan membentuk sebuah asas ekonomi yang lebih besar dan bekerjasama lebih erat untuk menggunakan kelebihan masing-masing secara sinergi untuk menangani cabaran dan memperoleh manfaat daripada globalisasi.
Dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan dan perdagangan kepada NCER, Pulau Pinang dapat memberi sumbangan terhadap pembangunan yang lebih rancak NCER, di samping menghasilkan pengagihan serta perkongsian faedah lebih seimbang, selaras dengan Misi Nasional.“Oleh itu, kami melihat konsep pembangunan wilayah ekonomi diperkenalkan itu adalah sebagai satu formula yang baik untuk sinergi menang-menang,” kata Dr Koh.Pulau Pinang, sebagai sebuah negeri yang pesat membangun berbanding tiga negeri lain dalam NCER, akan menggunakan sepenuhnya kelebihan dimiliki untuk menjadi hab logistik, bukan saja dalam konteks NCER, malah menjangkau Segitiga Pertumbuhan – Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).Dengan kemudahan sedia ada iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) dan Pelabuhan Pulau Pinang, ia menjadikan kedudukan negeri itu begitu strategik sebagai hab membawa keluar dan masuk produk dari atau ke tiga negeri dalam NCER.
Justeru, dalam pelan komprehensif itu, LTABL akan diperbesarkan bagi menampung pertambahan bilangan penumpang dan kargo yang sudah tentu bertambah apabila pelbagai projek dalam NCER dilaksanakan.Kerajaan negeri juga sudah menyediakan kawasan seluas 35 hektar bersebelahan LTABL untuk dijadikan terminal lapangan terbang kos rendah (LCCT). Buat masa ini, syarikat penerbangan komuniti negara, Firefly Sdn Bhd (Firefly) juga sudah menjadikan Pulau Pinang sebagai pangkalan operasi syarikat itu.Pelabuhan Pulau Pinang juga diperbesarkan lagi menerusi projek sedang giat dijalankan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) bagi menampung pertambahan kontena yang bakal dikendalikan. Projek ini akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pelabuhan pilihan di rantau ini.Pembesaran lapangan terbang dan pelabuhan menjadikan Pulau Pinang begitu penting dan strategik bagi menyokong pertumbuhan pesat kawasan di wilayah ekonomi ini dan IMT-GT.
Tanpa jaringan sistem pengangkutan yang baik, pelabuhan dan lapangan terbang tidak akan memberi kesan pertumbuhan wilayah ekonomi ini dan juga Wilayah Ekonomi Koridor Timur yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.Justeru, sistem pengangkutan bersepadu disediakan di Pulau Pinang dan dihubungkan dengan negeri lain, termasuk ke Pantai Timur. Oleh itu, kerajaan akan membangunkan Butterworth Sentral yang boleh dianggap sebagai hab pengangkutan darat.Dengan lokasi berhampiran terminal feri di Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth, terminal berkonsepkan KL Sentral, Kuala Lumpur akan dibangunkan. Ia menggantikan bangunan menempatkan terminal bas yang terbakar kira-kira enam tahun lalu.Terminal itu membabitkan kos pembinaan ratusan juta ringgit, akan dihubungkan dengan jaringan pengangkutan bas, kereta api, monorel dan komuter di Pulau Pinang dengan negeri lain. Perhubungan landasan kereta api dari Ipoh ke Pulau Pinang dan pembangunan landasan kereta api berkembar utara-selatan, juga akan mempertingkatkan lagi pengangkutan darat di wilayah ini.
Sistem pengangkutan bersepadu di Pulau Pinang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2011, juga merangkumi pembinaan monorel yang akan menjadi tulang belakang kepada pengangkutan awam di bandar di bahagian pulau dan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) yang diluluskan kerajaan dalam RMK-9, masing-masing membabitkan kos RM1.2 bilion dan RM1.02 bilion.Rapid Penang yang akan memulakan operasi sulungnya pada 31 Julai ini, iaitu sehari selepas Perdana Menteri mengumumkan pelan terperinci NCER, juga menjadi sebahagian daripada sistem pengangkutan bersepadu di Pulau Pinang.Perkhidmatan bas sememangnya ditunggu-tunggu warga Pulau Mutiara bolehlah dikatakan sebagai hasil pertama yang akan dinikmati rakyat daripada usaha kerajaan menerusi NCER. Pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua berharga RM3 bilion adalah satu komponen penting dalam NCER kerana ia akan melengkapkan jaringan perhubungan di wilayah ekonomi itu.Dengan jumlah kenderaan melalui Jambatan Pulau Pinang yang kini berusia kira-kira 22 tahun sudah mencecah 120,000 sehari, pembinaan laluan kedua itu amat penting bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di wilayah ini. Pembinaan laluan sepanjang 24 kilometer menghubungkan Batu Kawan di Seberang Prai dan Batu Maung di bahagian pulau, akan memberi kesan limpahan kepada kawasan di Perak.Kehebatan perancangan NCER bagi membentuk sistem pengangkutan bersepadu dan kemudahan di Pulau Pinang diakui Dr Koh.“Semua projek menaik taraf infrastruktur pengangkutan udara, laut dan darat meletakkan Pulau Pinang sebagai hab logistik yang memudahkan pergerakan rakyat dan barang di dalam NCER dan IMT-GT dan juga pengeksportan ke luar negara,” katanya.Meskipun Pulau Pinang akan menjadi hab logistik dalam perancangan ekonomi wilayah itu, projek pertanian dan perbandaran serta pusat kecemerlangan elektronik mikro, juga dilaksanakan di negeri itu.
Kawasan Seberang Prai Utara (SPU) yang sememangnya mempunyai ramai petani, akan dijadikan hab halal bagi produk berasaskan pertanian. Sebagai permulaan, kerajaan sudah membina Taman Industri Asas Tani di Kubang Menerong, Tasek Gelugor untuk dijadikan medan latihan kepada usahawan sebelum mengembangkan lagi perusahaan masing-masing.Berdasarkan perancangan pembangunan NCER, wilayah ekonomi itu berkembang dan penduduk khususnya di luar bandar akan mendapat pembelaan sewajarnya. NCER adalah satu hadiah yang amat bermakna daripada kerajaan kepada rakyat sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.
No comments:
Post a Comment