Monday, July 30, 2007

Blog: Gunakan ISA, desak Pemuda


Pemuda Umno hari ini mendesak kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas, termasuk menggunakan peruntukan Akta Keselamatan Negara (ISA) terhadap pengendali laman web Malaysia Today yang mereka labelkan sebagai pengkhianat negara.

Pergerakan itu juga mahu laman web yang dikendalikan oleh Raja Petra Kamarudin serta laman-laman web lain di negara ini, dimasukkan di bawah bidang kuasa undang-undang sedia ada untuk mengawal selia media, termasuk Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Penyiaran, Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi.

Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat lebih tiga jam yang dihadiri oleh hampir semua ketua-ketua Pemuda Umno negeri.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Paduka Mohamad Norza Zakaria yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan itu berkata kerajaan mesti memastikan semua laman web berita di internet juga mesti mempunyai permit sah bagi membataskan maklumat yang boleh disebarkan kepada orang ramai.

"Kita berpendapat kebebasan bersuara mestilah diimbangi dengan batas kehidupan negara yang berbilang-bilang bangsa. Tanpa pengimbangan ini, maka usaha membentuk perpaduan di kalangan rakyat yang disemai sejak Malaysia merdeka 50 tahun lalu tidak akan bermakna dan keamanan yang dinikmati selama ini mungkin akan terjejas angkara segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak cintakan negara.

"Kita tidak akan berdiam diri sehingga pengendali laman web yang tidak bertanggungjawab ini dikenakan tindakan. Kita akan ambil tindakan susulan untuk memantau perkembangan isu ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Beliau menegaskan bahawa Pemuda Umno tidak berniat menghalang kebebasan bersuara di negara ini, tetapi pada masa sama tidak rela membiarkan apa yang mereka label sebagai "pengkhianat negara" berleluasa menjalankan kegiatan mereka tanpa tindakan tegas pihak berkuasa.

Menurutnya, Pemuda Umno akan membuat pemantauan sendiri terhadap laman-laman web bagi mengenal pasti golongan-golongan yang gemar mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab, yang bersifat fitnah dan yang boleh mengganggu gugat keselamatan negara dan institusi kerajaan dengan mengeksploitasi isu-isu sensitif seperti isu agama dan kejadian 13 Mei.

"Kita mahu pihak polis melakukan siasatan terperinci terhadap kes yang telah dilaporkan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia supaya hukuman setimpal boleh dijatuhkan terhadap yang bertanggungjawab.

"Kita mendesak agar kerajaan dan polis menubuhkan unit polis siber untuk memantau dunia siber. Kita sudah bosan kerana tiada tindakan dan penguatkuasaan terhadap pengendali laman web dan blog selama ini," tegasnya lagi.

Minggu lalu Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhammad Taib membuat laporan polis terhadap Raja Petra kerana membenarkan komen-komen yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan agama Islam disiarkan di laman webnya.

Semalam Muhammad dipetik sebagai berkata bahawa beberapa laman web di negara ini ditaja anasir luar dan pengendalinya dibayar sehingga RM100,000 sebulan untuk menyiarkan kenyataan-kenyataan sensitif.

No comments: