Saturday, June 09, 2007

Pemuda: Sabki dan Zaki kekal jawatan, sembilan AJK dilantik

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Hrkh) - Mesyuarat Exco Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini bersetuju secara sebulat suara melantik semula Ahmad Sabki Yusof sebagai Setiausaha Pemuda dan YB Mohd Zaki Ibrahim selaku Bendahari manakala Suhaizan Kaiat sebagai Ketua Penerangan yang baru.

[Sila layari www.harakahdaily.net/muktamar/ untuk laporan semasa muktamar]

Bagi jawatan Penolong Setiausaha dua nama turut diumumkan iaitu Ustaz Musoddak Ahmad dan Ustaz Mohd Nazri Chik.

Ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub berkata selain 12 orang AJK Pemuda yang dipilih sewaktu Muktamar yang ke-53 lalu, mesyuarat pertama dewan pemuda sesi 2007-2009 ini turut melantik sembilan orang sebagai AJK dewan tersebut.

Mereka yang dilantik terdiri daripada Abdullah Abdul Karim dari negeri Pahang, Zuraidin Abdullah (Kelantan), Taufek Abd Ghani (Negeri Sembilan), Mohd Adram Musa (Selangor), Adli Zahari (Melaka), Firdaus Jaafar (Kedah), Kamruzaman Mohd (Kuala Lumpur), Khairul Faizi Ahmad Kamil (Johor) dan Dr Rosli Alani (Kelantan).

Dalam sidang itu, Salahudin turut menyerahkan 12 senarai nama AJK yang dipilih pada muktamar lalu antaranya Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, Ustaz Riduan Mohd Nor, Ustaz Kamal Ashaari, Ustaz Sallehin Mukhyi, Ustaz Nor Azli MUsa, Ustaz Ariffin Deraman, Ustaz Mohd Baihaqi Atiqullah dan Ustaz Zulkharnain Abidin Al-Hafiz.

Turut hadir dalam sidang itu ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Ustaz Nasruddin At-Tantawi dan Naib Ketua Ustaz Azman Syapawi Abdul Rani.

Dalam pada itu Salahudin berkata, Pemuda PAS mahu mengubah persepsi masyarakat yang sering kali mengganggap dan melabelkan sayap kanan parti ini sebagai pengkritik dan pihak oposisi semata-mata dengan menampilkan dan menonjolkan barisan pemuda kepada masyarakat sebagai duta penyelamat dan kasih sayang kepada rakyat.

Selain persiapan dan gerak kerja menghadapi pilihan raya umum akan datang katanya, agenda berterusan ialah memastikan keterlibatan dan 'engagement' Pemuda dengan rakyat dalam memastikan masalah-masalah dan himpitan-himpitan nasib mereka dapat diatasi dengan sebaiknya.

Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP)

"Kita akan sentiasa berjumpa dengan masyarakat dan segala tembok penghalang akan kita pecahkan termasuk dengan golongan bukan Islam," katanya sewaktu sidang media selepas mesyuarat Pemuda di pejabat PAS dekat sini.

"PAS tidak boleh duduk di dalam satu kelompok dan dilihat terpinggit tetapi harus sentiasa berada di persada politik tanah air, merasai denyut nadi rakyat dan berusaha menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Dalam masa sama, beliau mahu Pemuda memiliki ciri-ciri sebagai seorang negarawan dan bukan hanya dikenali sebagai oposisis dan hanya menjadi pengkritik sahaja, tetapi dapat memberi sumbangan besar kepada masyarakat dari segi idea dan pelaksanaannya.

Ditanya wartawan sama ada ini adalah salah satu usaha 'rebranding' Pemuda PAS, beliau menjelaskan bahawa sekadar menukar label sahaja tidak mencukupi tetapi pelaksanaan, usaha, pengisiannya juga perlu diubah supaya dilihat lebih komprehensif dan kolektif yang sewajarnya dipersembahakan kepada masyarakat.

"Ini tidak melibatkan soal prinsip atau dasar parti kerana perkara itu kekal dan 'remain untouch' tetapi yang hanya berubah adalah pendekatan dan gerak kerja sahaja," jawab beliau kepada soalan berhubung dengan kaedah Pemuda yang kemungkinan membelakangkan prinsip dan dasar PAS.

Selain itu, beliau menjelaskan kepada sidang media peranan Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) yang ditubuhkan dua tahun lalu dalam melahirkan generasi kepimpinan pelapis Pemuda supaya setiap anggota pemuda dibekalkan kemahiran-kemahiran terkini untuk ditampilkan sebagai pemimpin dalam konteks masyarakat Malaysia.

Tambahanya lagi, AKP akan mempunyai bangunannya sendiri dan bakal dirasmikan sebulan lagi yang bertempat di Ketereh Kota Baru, Kelantan. - mns

No comments: