Saturday, June 09, 2007

Hina Hudud - Gimana



Maka terbuktilah bahawa Islam Hadhari adalah mazhab baru ciptaan UMNO sebenarnya? Jika tidak, masakan para pemimpin UMNO sewenang-wenang dibiarkan mempersendakan hukum Allah?. Inilah yang harus kita persoalkan tentang ajaran Islam Hadhari ini sebenarnya. Terbaru bekas penceramah bebas yang sudah tersohor di negara kita, bahkan di rantau ini iaitu Dr.Mashitah Ibrahim secara terang-terangan telah menghina Hukum Hudud di khalayak ramai. Belia bukan sahaja memperlekehkan dan mempersendakan hukum Allah itu, malahan beliau turut membandingkan dengan hukum hudud dengan hukum ciptaan manusia yang baginya adalah lebih "perfect".
Beginikah mentaliti yang terdidik dalam jiwa seorang bergelar "Ustazah" yang selama ini disanjung dan dipuja oleh sebahagian besar umat Islam di negara ini?. Beliau yang kini merupakan Ahli Parlimen Baling, dan telah diangkat menjadi Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri merupakan salah seorang tokoh agama terkenal yang telah "dibeli secara tunai" oleh UMNO untuk menentang pengaruh tokoh-tokoh agama terkenal yang kebanyakkannya telah menyertai parti pembangkang terutamanya PAS.
Seingat Cucu, antara tokoh agama terkenal yang terlebih dahulu mewarnai persada politik tanahair ialah Dato' Ismail Kamus, Dato' Dr. Hassan Ali, Dr.Badrul Amin, Dato' Ishak Baharom, Dr. Haron Din, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Taib Azamuddin, Ustaz Kamal Ashaari dan ramai lagi. Kesemua mereka mengambil peluang untun berdakwah dilandasan perjuangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) setelah heboh dan kecoh satu Malaysia kononnya golongan ini mengenakan bayaran tinggi untuk terlibat dalam program-program agama anjuran Kerajaan, RTM, TV3 dan sebagainya. Apa yang berlakunya, akhirnya mereka semua telah digam dari terus berdakwah menerusi media massa yang dikawal oleh kerajaan. Namun berkat kesabaran dan kekuatan Iman dalam jiwa mereka, akhirnya para tokoh agama terkenal ini telah berjuang menerusi landasan politik untuk menyampaikan dakwah kepada umat Islam di negara ini.
Akibat tidak berada dan menyokong Kerajaan, maka mereka dicop sebagai ulamak yang boleh dijual beli. Tambahan pula telah menyertai parti pembangkang. Maka dalam pilihanraya 1999, banyak kerusi BN telah jatuh ke tangan PAS dan nama-nama seperti Dato' Hassan Ali, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Ismail Kamus , Ustaz Taib Azamuddin dan lain-lain telah berjaya menjadi wakil rakyat di kawasan masing-masing. Di saat ini, kita masih tidak nampak kelibat tokoh agama terkenal menyertai UMNO dan kerajaan. Maka, tatkala Islam Hadhari telah diperkenalkan dan dalam usaha untuk bersaing dengan PAS yang dianggap lebih Islamik dari UMNO, kerajaan telah berusaha untuk mengetengahkan golongan agama untuk menjadi calon dalam pilihanraya umum 2004 yang lalu.
Hasilnya, muncullah nama-nama seperti Dr.Mashitah Ibrahim (Penceramah Bebas), Ustaz Firdaus (Bekas Imam Masjid Negara), Ustaz Fadzil Hanafi RTM (Kini ADUN Alor Mengkudu, Kedah) dan beberapa orang lagi. Dr.Mashitah telah berjaya memenangi kerusi parlimen Baling menewaskan Ustaz Taib Azimuddin (bekas Iman Besar Masjid Negara) dengan majoriti 4,100 undi. Namun UMNO begitu hampa, kerana harapan besar yang diletakkan kepada Ustaz Firdaus untuk menumbangkan Keadilan di Permatang Pauh gagal. Beliau tewas ditangan Presiden Parti Keadilan Nasional iaitu Datin Seri Dr.Wan Azizah Ismail isteri kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kekalahan Ustaz Firdaus telah memberikan sedikit tercalar imej tokoh ulamak tersebut di mata masyarakat serta umat Islam di Malaysia. Biarpun tewas beliau akhirnya diberi tempat juga dalam kabinet Pemuda UMNO Islam Hadhari. Tahniah, kita ucapkan kepada beliau !
Maka, dengan kemenangan di Baling nama Dr.Mashitah terus tersohor dan disebut-sebut oleh para penyokong UMNO. Kononnya Dr.Mashitah adalah orang yang paling layak di gelar "Serikandi Islam Hadhari". Maka, kabinet Pak Lah telah menobatkan beliau sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri sehinggalah ke hari ini. Jika dilihat kepada perjalanan politik Dr.Mashitah, beliau sememangnya cukup bertuah. Dalam usia politiknya yang terlalu mentah, beliau akhirnya diberi kepercayaan oleh pemimpin Islam Hadhari untuk memikul tanggung jawab bagi menyerang dakyah-dakyah yang dilemparkan oleh tokoh-tokoh ulamak yang berada dalam parti pembangkang terutamanya PAS.
Siapakah Dr. Mashitah Ibrahim ?
Sebelum kita mengetahui lebih lanjut, elok juga kita kenali dulu siapakah Datuk Dr. Mashitah binti Haji Ibrahim ini. Beliau telah dilahirkan di negeri jelapang padi Kedah Darul Aman. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultanah Asma, Alor Star dan Sekolah Taufiqiah Pondok Shaikh Yahaya Junaid, Padang Lumat, Kedah. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di Maktab Mahmud, Alor Star dan seterusnya memperolehi Ijazah dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 1987. Dalam tahun yang sama juga, beliau meneruskan pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Syariah Islamiyyah pengkhususan Tafsir dan Hadis di Darul Ulum, Universiti Kaherah, Mesir.
Seterusnya beliau melengkapkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang 'Revealed Knowledge and Heritage' pada tahun 1992. Datuk Dr. Mashitah merupakan pelajar wanita Malaysia pertama memperolehi Ijazah Kedoktoran Kelas Pertama (Syaraf Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dari salah sebuah universiti terkenal di Mesir, iaitu Universiti Kaherah pada tahun 1997.
Kerjayanya sebelum ini adalah Penceramah / Pendakwah bebas. Beliau juga merupakan panel program motivasi dan kekeluargaan Islam Media Cetak dan Elektronik. Pernah menjadi tenaga pengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai Penolong Profesor di Jabatan Quran dan Sunah Kuliyyah Wahyu dan Sains Kemanusiaan.
Penglibatan Datuk Dr. Mashitah dalam dakwah bukanlah baru, beliau telah dilatih ibu bapanya sejak berusia 13 tahun lagi. Pada peringkat awal, beliau giat berceramah sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sahaja. Kemudian memulakan program motivasi keluarga yang menggabungkan unsur kaunseling, motivasi dan kekeluargaan yang bersifat universal. Kemunculannya di radio Malaysia KL mendapat sambutan dan dari situlah beliau mengembangkan siri dakwahnya melalui program Adikku Sayang, Al Kuliyyah dan Forum Ehwal Islam. Sebagai menghargai sumbangan dan jasanya sebagai pendakwah, beliau telah dianugerahkan pingat daripada Sultan Pahang sehingga membawa gelaran Datuk. Kemenangan beliau di Baling dalam pilihanraya umum 2004 lalu telah membuka harapan baru kepada UMNO untuk beliau menjadi perisai dalam mempertahankan imej dan maruah Islam Hadhari sebenarnya.
Kenyataan Biadap Dr. Mashitah
Sebelum kes terbaru ini berlaku, sememangnya telah banyak kenyataan biadap Dr.Mashitah yang mengundang kemarahan umat Islam di negara ini. Antaranya ialah mengenai kenyataan beliau bahawa "Wanita dibenarkan melacur". Beliau antara lain mengatakan bahawa wanita boleh melacurkan diri jika kesempitan hidup atau darurat. Kenyataan tersebut yang telah disiarkan dalam ruangannya di akhbar Harian Metro pada 19 Jun 2005, jelas merupakan satu dakyah yang amat berbahaya dan boleh merosakkan umat Islam. Apa yang melucukan ialah kenyataan beliau itu muncul tatkala beliau sering mengatakan bahawa beliau akan memainkan peranan untuk memulihkan kembali akhlak golongan wanita di Baling khususnya yang didakwa telah jauh tersimpang dengan ajaran Islam.
Kes yang kedua ialah ketika serbuan JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) terhadap remaja Melayu yang mengadakan Pesta Seks di Disko Zouk, Jalan Ampang Kuala Lumpur pada 13 Januari 2005. Biarpun kejadian tersebut dianggap suatu penghinaan terhadap umat Islam di negara ini, namun Dr.Mashitah lebih suka menyalahkan pihak JAWI yang kononnya bertindak melampau terhadap remaja terbabit. Walhal, dalam kes tersebut remaja terbabit sememangnya berperlakuan sumbang, minum arak serta langsung tidak mencerminkan imej seorang remaja di sebuah negara Islam Hadhari seperti Malaysia ini.
Dan sesungguhnya kini, keimanan dan ilmu agama yang dimilik oleh Dr.Mashitah semakin boleh dipertikaikan sama sekali. Kenyataan beliau dikhalayak ramai tentang Hukum Hudud tidak sesuai sama sekali digunakan di zaman ini jelas mengingatkan kembali kepada kita tentang kenyataan biadab bekas memanda menteri Dr.Mahathir suatu ketika dulu. Bunyinya hampir sama, tetapi natijahnya tetap satu iaitu mereka cuba menghina dan memperlekehkan hukuman yang telah termaktub di dalam Al-Quran sejak sekian lama. Jika Mahathir mengeluarkan kenyataan ini, mungkin beliau terlalu cetek ilmu agama. Namun bila kenyataan celupar ini dikeluarkan oleh tokoh agama terkenal seperti Dr.Mashitah, ianya adalah sesuatu yang amat berbahaya sebenarnya. Ia bukan sahaja merosakkan minda, malahan juga akidah umat Islam terutamanya golongan muda yang dipercayai menjadi sebahagian besar pendengar beliau ketika itu.
Apakah yang terjadi kepada Dr.Mashitah sebenarnya? Apakah mungkin beliau perlu ditarbiyah semula. Mungkin juga jiwa, minda dan keimanan beliau sedikit terpesong akibat sering kali mendengar tazkirah yang disampaikan oleh para pemimpin Islam Hadhari? Jika beginilah Dr.Mashitah sekarang, sungguh malang sekali nasib beliau.
Cucu pernah bersama beliau dalam sebuah program motivasi keluarga yang bertajuk "Belaian Kasih" di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan suatu ketika dulu. Beliau menjadi penceramah dan Cucu menjadi Pengerusi Majlis dihadapan lebih 3000 peserta motivasi tersebut. Terkenang Cucu, tatkala waktu rehat Dr.Mashitah mengalami sedikit masalah kesihatan dan memintan Cucu untuk mengawal "Odean" di dalam dewan. Diberinya Cucu helaian kertas tentang tajuk "Belaian Kasih". Maka sempatlah Cucu menjadi penceramah motivasi ketika itu, biarpun hanya seketika. Apapun, cara dan gaya penyampaian beliau sesungguhnya antara yang terbaik pernah Cucu saksikan. Namun kini semuanya mungkin hanya tinggal kenangan semata-mata. Beliau kini hanya muncul memberikan ceramah dalam program-program yang dianjurkan oleh kerajaan Islam Hadhari semata-mata. Adalah lebih elok Dr.Mashitah kembali ke pangkal jalan dan menjadi seperti dulu, dari terus dipergunakan sebagai "Srikandi Islam Hadhari" oleh manusia yang bertopengkan hawa nafsu dan rakus untuk terus berkuasa di bumi tercinta ini.
Justeru itu, sebagai memprotes kenyataan biadap Dr.Mashitah ini marilah kita sama-sama menghantar memorendum secara peribadi supaya beliau menarik balik kenyataan tersebut dan bertaubat kepada Allah terhadap apa yang telah beliau ucapkan itu. Sesungguhnya sebagai umat Islam yang pernah menyanjung beliau selama ini, kita merasa amat terhina dengan kenyataan biadap beliau itu. Marilah kita sama-sama menghantar memo kepada beliau, semoga beliau insaf diatas apa yang berlaku ini. Sila hantarkan memo anda kepada beliau di alamat :-
YB Datuk Dr. Mashitah Bt Hj. Ibrahim Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Aras 3, Blok Barat, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62502 PUTRAJAYA.

No comments: