Tuesday, May 08, 2007

Wakil rakyat keliru dan bertelagah



Dilaporkan di Dewan Rakyat pada hari ini, dalam sesi perbahasaan berkenaan ddengan ...Rang Undang-undang Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2006 yang dibentang di Dewan Rakyat di sini hari ini mencetuskan kekeliruan di kalangan anggota Parlimen khususnya berkaitan definisi golongan belia.

Rang undang-undang itu yang antara lain memperuntukkan hanya pertubuhan belia yang mempunyai pemimpin berusia di bawah 40 tahun dan berdaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan yang layak menerima geran, menyebabkan beberapa anggota Parlimen berpandangan ia mewujudkan dua kategori pertubuhan belia iaitu yang berusia bawah 40 tahun dan satu lagi untuk yang melebihi 40 tahun.

"Mengapa harus ada opsyen iaitu bagi pertubuhan belia yang pemimpinnya berusia melebihi 40 tahun mereka tidak payah mendaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan dan tidak layak menerima geran serta bebas membuat aktiviti mereka.

"Apakah pertubuhan yang mempunyai pemimpin berusia lebih 40 tahun ini juga boleh dianggap sebagai pertubuhan belia? Tetapi kenapa mereka tidak tertakluk di bawah Kementerian Belia dan Sukan dan hanya perlu berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan?" kata Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika membahaskan rang undang-undang itu.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Liow Tiong Lai ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata peruntukan yang mensyaratkan hanya pertubuhan belia mempunyai pemimpin berusia di bawah 40 tahun yang mesti berdaftar dengan kementerian itu dan layak menerima geran adalah selaras dengan definisi belia menurut Dasar Pembangunan Belia Negara iaitu golongan yang berusia antara 15 dan 40 tahun.
Bung Moktar berkata tidak sepatutnya wujud peruntukan sedemikian memandangkan ia boleh menjejaskan matlamat rang undang-undang itu yang mahu membangun dan menentukan hala tuju belia di negara ini.
Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (BN-Ketereh) pula mempunyai pemahaman berbeza berkenaan peruntukan itu dan berpandangan bahawa persatuan belia hanyalah untuk mereka yang berusia 40 tahun ke bawah, manakala persatuan yang mempunyai pemimpin berusia lebih 40 tahun dianggap sebagai pertubuhan bukan kerajaan.

Oleh itu tidak timbul isu dua kategori pertubuhan belia memandangkan definisi belia telah ditetapkan sebagai mereka yang berusia antara 15 dan 40 tahun, katanya semasa meminta laluan daripada Bung Moktar.

Mendengar pendapat Mohd Alwi, Bung Moktar berkata faktor umur pemimpin belia tidak sepatutnya menjadi isu kerana yang penting adalah komitmen mereka dalam menggerakkan belia negara.

Kenyataan beliau disokong Datuk Raja Ahmad Zainudin Raja Omar (BN-Larut) yang berkata pemimpin yang berpengaruh memudahkan usaha mengutip dana bagi menjalankan aktiviti mereka.

"Mereka perlu kutip dana kerana peruntukan yang diberi kementerian tak cukup. Sekadar untuk buat AGM (mesyuarat agung tahunan) saja," kata Raja Ahmad yang meminta laluan daripada Bung Moktar.

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) juga mempunyai pandangan serupa iaitu usia pemimpin belia tidak penting asalkan mereka mempunyai fikiran seperti orang muda dan mampu mempengaruhi golongan muda.

"Pemimpin belia yang ada sekarang walaupun telah melebihi usia 40 tahun adalah berpengaruh seperti Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohamed Ali Rustam (Ketua Pergerakan Belia 4B) dan Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar (presiden Persatuan Kelab Belia Malaysia atau MAYC)," katanya.

Bagaimanapun, Datuk Badruddin Amiruldin (BN-Jerai) yang turut membahaskan rang undang-undang itu pula mempunyai pandangan berbeza."Pada saya, memang eloklah belia ini didefinisikan sebagai mereka yang berusia antara 15 dan 40 tahun kerana mereka ini mempunyai pemikiran yang berlainan. Pada usia mereka pukul 10 malam masih lagi 'happenings'. Pada orang yang usia macam kita ini 10 malam tu dah tak boleh dah.

"Tapi kita ini orang politik, lainlah. Saya bercakap mengenai mereka yang seusia kita tapi tak terlibat dengan politik," katanya.
Apa yang penting dalam kepala wakil2 rakyat macam mana nak konkong dan sekat dan kedua nak bagi 'geran' ke tidak. Inilah minda kelas-kelas dan golongan wakil rakyat kluster yang berjaya dijinakan bawah PPIP bawah Kementerian pelajaran.
Renung-renungkanlah .. apa yang tersirat daripada berita di atas.

No comments: