Monday, May 14, 2007

Bahana menimpa bila gaji naik !!!!!!!

Bahang awal pada pertengahan tahun semasa, zaman semua orang bebas sebebasnya tanpa kawalan , buat apa2 sahaja yang dia suka, bermula daripada sikap kerajaan naikkan minyak, tol, krisis gula, sorok minyak masak, kini giliran peniaga 2 pula menaikkan harga barang... dikatakan naiknya naik menggila. Iaitu ditambah dengan imbuhan meng.....
ikutilah laporan BERNAMA pada hari ini...
Belumpun kenaikan gaji kakitangan awam diumumkan oleh kerajaan, beberapa harga barangan runcit keperluan makanan didapati sudah naik antara lima hingga sepuluh peratus.
Tinjauan Bernama di beberapa kedai runcit dan borong selain temuramah dengan pengguna di tiga bandar utama mendapati pelbagai alasan diberikan penjual bagi mewajarkan harga barangan dinaikkan.
Antara alasan yang diberikan ialah harga dinaikkan pengilang, maka pemborong tiada pilihan dan terpaksa menjual pada harga yang lebih tinggi kepada peruncit.
Pengguna pula merungut kerana harga barangan naik tanpa amaran dan pada kadar tidak munasabah.
Tinjauan Bernama di beberapa kedai borong sekitar Selayang di Kuala Lumpur mendapati barangan runcit yang popular seperti "Milo", "Nescafe" dan susu pekat manis "F&N" telah naik sejak lebih sebulan lalu.
Seorang pengusaha kedai borong yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 41 berkata kenaikan harga barangan tersebut berpunca daripada kenaikan kos kilang.
"Kita tidak menaikkan harga sesuka hati tetapi harga kita ikut harga baru kilang," katanya.
Menurutnya pengilang terbabit mengeluarkan notis kenaikan harga produk mereka kepada pemborong dan peruncit lebih sebulan lalu.
Katanya sebagai contoh harga baru runcit "Milo" tin bersaiz 1.5kg yang dicadangkan pengilang ialah RM22.75 berbanding RM21.50 sebelum 15 Mac lalu sementara bagi pek bersaiz 400gm naik dari RM6.06 kepada RM6.40.
Wong berkata susu tin jenama "F&N" jenis krimer manis 510gm naik 20 sen setin kepada RM2.40 sejak 1 April lalu sementara bagi "Nescafe" pek bersaiz 100gm naik 20 sen kepada RM6.70 baru-baru ini.
Beliau mendapat maklumat banyak lagi pengilang barangan runcit makanan akan menaikkan harga produk mereka tidak lama lagi dengan alasan kenaikan kos bahan mentah, tetapi ia tidak melibatkan harga barangan kawalan.
Seorang peniaga borong wanita yang dikenali sebagai Mei, 27, berkata sardin tin saiz besar jenama "King Cup" naik 40 sen kepada RM4.30 baru-baru ini dan mendakwa harga sardin jenama "Ayam Brand" akan dinaikkan pengilang tidak lama lagi.
Harga telur ayam saiz "C" juga naik tiga sen sebiji sejak dua minggu lalu kepada 21 sen sebiji sementara harga kacang tanah dan kacang hijau juga naik sepuluh sen sekilogram sejak sebulan lalu.
Pemborong bawang, Tan Choi Lon, 35, berkata buat masa ini hanya harga borong bawang besar India saja yang naik iaitu dari RM8 kepada RM9 seguni disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu di India.
Menurutnya harga bawang putih RM2.10, naik 20 sen kepada RM2.10 baru-baru ini sementara harga bawang lain dan kentang tidak berubah.

Di PULAU PINANG, tinjauan Bernama mendapati kenaikan harga beberapa barangan makanan di pasaran bukan berpunca daripada tindakan pemborong sebaliknya pengilang atau pengeluar bahan itu sendiri yang telah menaikkan harga berkenaan.
Rata-rata pemborong yang ditemui berkata, mereka terpaksa menjual barangan itu mengikut senarai harga baru yang diberi oleh pengilang secara berperingkat mulai 15 Mac lalu.
Seorang pemborong, Habib Rahman berkata, beliau menerima senarai baru harga produk keluaran Syarikat Nestle yang rata-rata menyaksikan kenaikan harga antara 20 sen dan 50 sen.
Antara barang yang naik harga ialah Milo, Nescafe, susu cair, susu pekat manis.
Bagaimanapun, barangan keluaran syarikat lain masih kekal pada harga yang sama setakat ini dan beliau tidak menolak kemungkinan syarikat itu akan menurut jejak langkah Nestle.
Seorang lagi pemborong, Lim Keong Bim berkata beliau tidak mempunyai pilihan melainkan menjual barangan mengikut harga baru walaupun pengguna bersungut mengenai perkara itu kerana tidak mahu menanggung kerugian.
Bagaimanapun, tidak semua barangan harian mengalami kenaikan harga kerana ada di antaranya yang turun sehingga 50 peratus seperti bawang putih dan bawang merah, katanya.
Katanya, bawang putih yang biasanya berharga RM40 bagi setiap 10 kilogram kini dijual dengan harga RM22 manakala bawang merah daripada RM12.50 bagi 10 kilogram kepada RM8.50.

Di KUANTAN, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN & HEP) cawangan Pahang mahu orang ramai bijak memilih premis perniagaan yang menjual barangan runcit dan makanan pada harga berpatutan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN&HEP Pahang, Wan Suhaimi Wan Ibrahim, berkata tindakan tidak boleh dikenakan kepada peniaga yang menjual barangan bukan kawalan pada harga yang tinggi kecuali jika mereka gagal meletakkan tanda harga.
"Cara mudah, orang ramai perlu bijak membandingkan harga sesuatu barangan sebelum membeli," katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu tinjauan mendapati orang ramai dan peniaga di Kuantan merungut berikutan harga barangan runcit bukan kawalan yang dilihat semakin naik.
Bagi Siti Rahimah Mohamad Nor, 47, yang lebih 10 tahun menjalankan perniagaan nasi berlauk di Kuantan, kenaikan harga barang runcit boleh dilihat dengan jelas apabila kos untuk membeli keperluan tersebut telah meningkat sekali ganda.
"Tahun lepas saya peruntukan sebanyak RM200 dalam seminggu untuk membeli barangan runcit seperti bawang, minyak masak, telur, dan sayur-sayuran, tapi kini kena peruntukan sebanyak RM400, untuk membeli kuantiti yang sama."
Sementara itu seorang peniaga runcit di Pasar Besar Kuantan, Rosli Mahmud, 40, berkata kenaikan harga beberapa barangan bukan disebabkan daripada tindakan peruncit tetapi harga itu telah ditetapkan oleh pengedar.
"Pelanggan memang komen harga mahal tetapi kita pun dapat dari pemborong dengan harga yang mahal, peniaga kecil seperti kami ini nak dapat untung 10 peratus pun susah. Kalau pasar raya besar memang boleh jual murah sedikit daripada kita sebab mereka ambil dalam kuantiti yang banyak," katanya. BERNAMA

No comments: