Friday, January 05, 2007

UKM mahu kaji kemajuan sains, teknologi Melayu


Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin mahu UKM mengkaji kemajuan orang Melayu dari sudut sains dan teknologi bagi mengetahui kelebihan bangsa itu sehinggakan menarik minat Barat untuk menjajah.Beliau berkata sudah tiba masanya para penyelidik di negara ini mengalihkan fokus kajian mereka daripada aspek sastera kepada aspek teknologi zaman dahulu yang dikuasai orang Melayu."Bayangkan setiap tumbuhan, orang Melayu dahulu tahu kegunaannya dan setiapnya pula ada diberi nama Melayu. Ini menunjukkan orang Melayu itu sendiri bersifat saintifik."Kita tidak mahu orang Melayu hanya dikenali melalui kesenian halus, budaya atau sastera sedangkan mereka juga hebat dalam pelbagai bidang lain," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan sambutan 35 tahun Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) di sini, hari ini.Atma sebelum ini dikenali sebagai Institut Bahasa, Kesenian dan Kebudyaan Melayu, dan ditubuhkan pada 1972.Prof Dr Sharifah Hapsah berkata orang Melayu pada satu masa dahulu juga bersifat global dan mereka mengembara ke serata dunia sebagai kelasi.Pada sidang akhbar yang sama, Pengarah Atma Prof Dr Shamsul Amri Baharudin berkata institut itu mampu meneroka sejarah teknologi bangsa Melayu walaupun menerima banyak cabaran seperti kekurangan bahan.Sambil mengakui kehebatan bangsa Cina yang lebih dikenali kerana rekod yang mereka simpan sejak ribuan tahun dahulu, beliau berkata: "Orang Melayu pun buat tetapi di kawasan Asia Tenggara ini rekod dalam bentuk kertas kita hanya boleh tahan dalam dua bulan sebelum dimakan anaianai."Beliau berkata hanya sedikit bahan mengenai teknologi bangsa Melayu termasuk cara mereka membina bangunan dan rumah yang masih ada, iaitu yang direkodkan pengembara luar melalui manuskrip dan lukisan.Prof Dr Shamsul Amri berkata Atma akan cuba mencari manuskrip dan lukisan lama dari luar negara yang menceritakan mengenai ketinggian ilmu orang Melayu pada zaman dahulu.Beliau yakin banyak rahsia masih tersembunyi dalam sejarah kemajuan Melayu sehingga menyebabkan orang Barat tertarik untuk datang ke rantau ini."Orang Melayu mengembara, belayar. Terpaksa awet makanan untuk bekalan tetapi apa rahsianya, kaedah sains yang bagaimana digunakan? Sesuatu yang menyebabkan orang luar datang ke rantau ini," katanya. BERNAMA

No comments: