Tuesday, November 14, 2006

Revolusi iklan mencuit hati


INGIN mencari kereta atau lori sewa? Tukang paip? Rumah untuk dijual atau disewa? Apa kata, ronda dan cari pokok besar di sekitar kawasan kediaman anda. Tak pun, cuba cari-cari di perhentian bas, lift atau dinding di sekitar kediaman pangsapuri. Tidak mustahil, anda akan dapat apa yang dicari. Di tempat-tempat begini - pokok besar, perhentian bas, lift dan dinding premis pangsapuri - sentiasa dipenuhi dengan iklan yang memaparkan nombor telefon penyedia pelbagai perkhidmatan.Sekalipun kebanjiran iklan begini mencemar pemandangan dan mungkin mengotorkan persekitaran, kita harus akui ia adalah satu cara pengiklanan dan pemasaran yang berkesan, lagi murah.
Hari ini, seiring pembangunan dan kemajuan masyarakat dan negara, bentuk iklan juga berkembang. Jika dulu, hanya kertas dan tulisan menjadi taruhan, hari ini, pelbagai medium digunakan untuk mendekati pelanggan, begitu juga konsep, lebih-lebih lagi iklan di media elektronik.Syarikat tidak hanya mengetengahkan produk dalam usaha bertapak di hati orang ramai. Bagi syarikat besar, khususnya, syarikat yang sudah ada nama dan dikenali, memperkenalkan produk bukan lagi keutamaan. Tanggungjawab sosial turut menjadi menu utama dalam iklan yang disediakan. Lihat saja syarikat minyak negara, Petronas. Saya pasti ramai yang bersetuju jika dikatakan iklan Petronas sentiasa mengungguli, terutama pada musim perayaan.Pasti ramai yang masih ingat iklan Aidilfitri Petronas tahun lalu. Kisah ibu tunggal beranak tujuh dan seekor lembu benar-benar melekat dalam hati penonton sehingga dialognya meniti dari bibir ke bibir buat beberapa ketika. Terkini, iklan `mangkuk plastik’. Dialog `Jangan lupa pakai lampin tau!’, menambat hati ramai. Sama ada kita sedar atau tidak, iklan yang memaparkan kisah anak memberi layanan buruk kepada bapa sebenar-benarnya hakikat yang berlaku dalam masyarakat.
Betapa ramai anak-anak yang tidak menghargai kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa malah menganggap mereka sebagai satu beban. Ini satu hakikat, jika tidak masakan rumah orang tua hari ini semakin ramai penghuninya. Inilah yang dikatakan keberkesanan iklan. Kisah yang dipaparkan menjadi bualan dan pemilik iklan, Petronas, turut segar dalam ingatan sekalipun tiada sedikit pun cerita atau paparan minyak dalam iklannya. Apa yang penting, apa juga bentuk dan konsep iklannya, penonton tetap ingat `tuannya’. Inilah yang dikatakan kuasa iklan. Apa juga pendekatannya, walaupun hasilnya tidak dapat dilihat secara terus, ia pasti meninggalkan kesan kepada pelanggan, sama ada sikit atau banyak.
Namun, bukan semua iklan mampu meninggalkan kesan yang besar. Ada kajian mengatakan amat jarang, sesebuah iklan dapat meninggalkan kesan kali pertama ia disiarkan. Pakar iklan bersetuju sesebuah iklan harus disiarkan sekurang-kurangnya lima kali atau sekali setiap minggu selama dua bulan berturut-turut untuk disedari penonton.Hakikatnya, menghasilkan iklan sama ada untuk media cetak atau elektronik bukan murah. Perkara paling penting, peruntukkan tiga atau lima peratus daripada pendapatan tahunan syarikat untuk iklan dan mulakan dengan satu media, seperti akhbar untuk mengenal pasti kejayaannya menawan hati pelanggan sebelum mencuba mengiklankan produk atau syarikat di majalah, radio atau televisyen.
Ikuti paparan Fairuz Zaidan mengenai penangan iklan ini. Apa kata Petronas, syarikat yang berjaya mewujudkan fenomena iklan cerita pendek di media elektronik sehingga orang ramai ternanti-nantikan idea baru mereka hampir setiap kali tibanya perayaan. Ikuti kisah di sebalik tabir penyediaan iklan `mangkuk plastik’ dan apa kata orang kuatnya?Bagi saya, iklan begini lebih besar kesannya kerana kita mendengar dan melihat, lantas merasai. Mungkin formulanya, sentuhlah naluri kemanusiaan kerana selagi kita bernama manusia, cerita, kisah atau paparan yang menyentuh aspek ini pasti memberi kesan. Seperti iklan, lagu yang menyentuh perasaan juga mampu menambat hati pendengar. Dalam hal ini, mungkin ramai yang berpendapat lagu dari negara seberang lebih berjaya walaupun melodi dan liriknya ringkas.Benarkah? Ikuti paparan pengaruh lagu Indonesia dalam sonata minggu ini.
Abah ... nampak minda Melayu Indonesia lebih kelas dari Minda Melayu Malaysia , dak gitu

No comments: