Tuesday, November 28, 2006

Entah berapa ratus kali jeritan rakyat agar PPSMI dikajisemula, Entah ke berapa kalinya juga penganjuran konvensyen demi konvensyen, kongres bahasa demi kongres , bahasa sama diterikkan agar PPSMI dihentikan. Entah banyak mana kertas kerja yang tidak namapak bekerjanya ia agar saranan berwawasan minta memartabatkan bahasa Melayu dipalukan oleh para cendiakawan seantareo nusantara bagaikan taufan desaknya. Bahasa Melayu entah bila mahu dinobatkan. Harapan demi harapan , nampak gaya semakin tertiarap.
Hari ini, Dewan Rakyat atau Parlimen kembali bernafas dengan digegarkan oleh para tok-tok wakil minta itu dan minta ini, perbicaraan lewat sehingga membicarakan soal masalah keciciran, indek keciciran negara bagai yang dilaporkan sudah capai 37 peratus. Ini bukan suatu benda yang main2. Demi masa depan negara minta para pembuat, pemutus dasar fikir secara masak dan bijaksana.
Lihat paparan melalui tulisan Roslan Abdul Hamid (Lanh) di bawah .......................

Parlimen: PPSMI, sistem pendidikan perlu dikaji semula


KUALA LUMPUR, 28 Nov (Hrkh) - Sejak kebelakangan ini, isu pendidikan hangat diperkatakan setelah rakyat dan pemimpin masyarakat terutamanya pejuang bangsa melihat sistem pendidikan kendalian kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin huru-hara.
Tidak dinafikan sistem yang sedia ada telah banyak melahirkan intelektual, tetapi mutakhir ini akibat campur tangan politik dan 'orang berkepentingan' dalam sistem dan dasar pendidikan negara, kelesuan terserlah malah satu persatu kelemahan pentadbiran Kementerian Pelajaran diperlihatkan dengan isu-isu yang timbul.

Bermula dengan masalah keciciran pelajar, kadar pengganguran, pencapaian yang tidak memuaskan, kaedah pengajaran yang tidak berkesan, prasarana yang tidak lengkap, kekurangan guru pakar hinggalah kepada soal tindakan kerajaan mengubah bahasa pengantar Matematik dan Sains kepada bahasa Inggeris.
Hakikat ini diperakui kebanyakan ahli Parlimen tidak kira pembangkang mahupun daripada BN yang berbahas mengenai Kementerian Pelajaran hari ini di Dewan Rakyat.
Keciciran membimbangkan
Memulakan bicara di Dewan Rakyat, Teng Boon Soon (BN-Tebrau) mendedahkan bahawa kadar keciciran pelajar dari setahun ke setahun kini meningkat kepada 37 peratus dan kini berada pada situasi amat membimbangkan.

Menurut Teng, ramai di kalangan pelajar yang tidak dapat menyempurnakan pelajaran mereka hingga kepada tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hanya mampu pada tahap Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Beliau berkata, pada tahun 2006 terdapat 120,000 murid yang tidak dapat menguasai kemahiran 3M dan malah ia menyumbang kepada keciciran yang amat serius.

"Saya setuju dengan pandangan cendekiawan bahawa sistem pendidikan di negara ini terlalu mementingkan aspek peperiksaan dan belajar secara menghafal sementara mengabaikan pemikiran kreatif di samping mengenepikan aspek kebudayaan," katanya kepada ahli Dewan.
Justeru satu kajian perlu dibuat segera bagi mengatasi masalah kelesuan pendidikan negara yang hanya berasaskan kepada pentaksiran peperiksaan sahaja, kata Teng.

Sistem pendidikan yang 'rigik'
Sementara itu Lim Bee Kau (BN-Padang Serai) pula berkata, sistem pelajaran di negara ini 'rigik' kerana ia tidak prihatin kepada golongan yang lebih lemah.

Malah beliau menyokong kenyataan Teng bahawa keciciran 37 peratus itu amatlah membimbangkang malah ia akan memberi kesan kepada soal masa depan pendidikan negara.
Beliau juga berpendapat sudah sampai masanya kerajaan mengkaji semula sistem ini supaya ia juga akan memberi tumpuan juga kepada pelajar yang lemah supaya mereka boleh mendapat pelajaran yang berkesan demi masa hadapan mereka dan negara.

Prasarana tidak lengkap
Sementara itu Ustaz Ismail Noh (PAS-Pasir Mas) yang bangun mengutarakan soalan kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Noh Omar pula mendedahkan bahawa kemajuan pendidikan di Sabah dan Sarawak tidak seiring dengan negeri di Semenanjung.

Ini kerana terlalu banyak kemelut yang melanda pelajar di kedua-dua negeri itu kerana kurangnya prasarana yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan tahap pendidikan masyarakat di sana, katanya.

"Saya mendengar rintihan daripada guru-guru dari Semenanjung yang bertugas di sana, katanya infrastruktir asas seperti elektrik dan jalan ke sekolah juga tidak baik yang akhirnya menjadikan palajar sukar untuk ke sekolah," katanya.

"Apabila pergi ke sekolah elektrik tak ada macam mana nak belajar dan mengajar. Yang kedua rumah guru jika di banding dengan di Persekutuan, di Sabah dan Sarawak sangat berbeza dan tidak baik, ini perlu diberi perhatian serius," katanya lagi.

Guru kurang di Sabah, Sarawak
Sementara itu Dato' Abdul Ghappur Salleh (BN-Kalabakan) pula berkata, beliau melihat bahawa masalah kekurangan guru di Sabah dan Sarawak terutamanya bagi mata pelajaran bahasa Inggeris amatlah membimbangkan.

Masalah kekurangan guru itu akhirnya menyumbang kepada kelesuan pencapaian pelajar-pelajar termasuk dalam keputusan UPSR yang baru-baru ini di mana kedua-dua negeri ini mengalami penurunan pencapaian, katanya.

Belenggu kemiskinan
Selain itu, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail (KeADILan- Permatang Pauh) pula menyatakan, akibat daripada pengurangan subsidi bantuan atau biasiswa kepada pelajar, ramai pelajar miskin tidak dapat meneruskan pelajaran mereka.
Sementara itu dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (2007) di peringkat Jawatankuasa Majlis, Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) menggesa kerajaan segera menghentikan program Pengajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Hapuskan PPSMI
Ini kerana, ramai di kalangan cendekiawan menentang keputusan kerajaan ini yang dibuat ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dikatakan dilaksanakan secara tegesa-gesa tanpa mengadakan perbincangan dengan pakar-pakar bahasa dan cendekiawan Melayu, katanya.
Dalam satu Kongres Bahasa yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ramai di kalangan cendekiawan setuju bahawa PPSMI tidak boleh diteruskan kerana program itu sendiri membelakangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Selain itu PPSMI yang dijalankan Kementerian Pelajaran kini sudah mula dipertikai oleh pemimpin Umno termasuk dalam Kongres Umno Johor baru-baru ini yang secara terang mahu kerajaan mengkaji semula PPSMI, katanya.
Kemelut ini katanya jika tidak diselesaikan segera ia hanya akan merugikan bangsa selain memangsakan anak bangsa sendiri. - lanh
Abah... sesekali tukar 'bahasa', mundur atau undur..undur ..!!!!

No comments: