Menjelang Perhimpunan Agung Umno tidak lama lagi, terdengar kembali seruan agar parti Melayu yang memerintah negara sejak Merdeka itu perlu berubah supaya tidak terus kehilangan sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.
Mampukah Umno berubah? Kita sudah mendengar begitu banyak retorik sebegini akan tetapi Umno masih tidak berubah dan berada semakin jauh daripada masyarakat terutamanya di bandar.
Terbaru gesaan ini datang daripada Pengerusi Perhubungan Umno Johor Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin baru-baru ini yang mengatakan parti itu perlu melakukan transformasi segera supaya terus kekal relevan.
“Benar kita punyai tiga juta ahli tetapi adalah juga benar yang kebanyakan ahli kita adalah hanya pada keahlian.
“Dan ramai yang menyertai Umno bukan lagi kerana perjuangan tetapi sebagai instrumen politik untuk pengaruh, kuasa, prestij dan kekayaan,” katanya seperti dilaporkan portal Suara TV.
Menurut menteri besar Johor itu, ahli-ahli Umno perlu bersama secara kolektif untuk merancang dan mengurus perubahan parti itu.
“Jika ini pilihan kita, maka jalannya ialah pengislahan dan memodenkan Umno.
“Kita mesti akur Umno termasuk Umno Johor memerlukan suatu transformasi dan bukannya perubahan kosmetik yang bersifat luaran semata-mata,” katanya dalam konvensyen yang bertemakan “Di Sini Lahirnya Umno” yang dihadiri 850 perwakilan dari seluruh Johor.
Apa yang dikatakan Khaled itu mungkin lahir daripada kesedarannya melihat bagaimana parti pembangkang mula mendapat tempat di seluruh negara dan negeri Johor itu sendiri.
Siapa sangka tempat lahirnya Umno di Batu Pahat kini dikuasai Pakatan Rakyat (PR)?
Siapa sangka musuh ketat Umno seperti Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang kini merupakan seorang ahli Parlimen Gelang Patah selepas mengalahkan bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Abdul Ghani Othman?
Siapa sangka sekutu rapat Umno seperti MCA hilang kerusi Parlimen Kluang, Kulai dan Bakri di tangan DAP?
Ketika suara menuntut Umno berubah daripada pimpinan dan bekas pemimpinnya seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, parti Melayu itu terus menerus bergerak ke belakang.
Selepas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berjanji kepada rakyat Malaysia atas kapasitinya sebagai perdana menteri untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 warisan penjajah British, ahli-ahli partinya sendiri yang menikamnya dari belakang mahu akta itu dikekalkan.
Ketika gesaan dibuat agar Umno perlu bersikap lebih inklusif agar dapat memenangi kembali hati rakyat Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi merangkap pengerusi Biro Agama Datuk Seri Jamil Khir Baharom bakal mengusulkan dalam Perhimpunan Agung akan datang agar parti itu hanya mengiktiraf Islam jenis Sunni.
Jadi perubahan bagaimana yang dapat dilakukan Umno untuk menjadi kembali relevan sedangkan masyarakat Malaysia kini sudah pelbagai termasuk Melayu dan Islam itu sendiri.
Masalah utama kebanyakan pemimpin dan ahli Umno adalah mereka merasakan parti itu akan terus memerintah Malaysia sehingga bumi ini hancur.
Sebab itu majoriti pemimpin dan ahli Umno tidak merasakan perubahan itu satu keperluan yang mendesak.
Walaupun pernah kehilangan beberapa negeri seperti Kedah, Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu, pemimpin dan ahli Umno tidak mempunyai pengalaman kehilangan Putrajaya.
Dan ini yang perlu berlaku sebelum perubahan benar-benar dapat dilakukan terhadap Umno.
Umno perlu kehilangan Putrajaya sekali untuk membersihkan parti itu sesuci-sucinya. Selepas kehilangan Putrajaya barulah Umno akan tahu siapa yang sebenar-benarnya setia dengan mereka.
Pada ketika itu sudah tiada lagi kontrak kerajaan, jawatan dan kemewahan dapat dijanjikan dan perubahan yang sebenar-benarnya dapat dilakukan.
Beranikah Umno? – 16 November, 2014.