Friday, December 13, 2013

Mana Jenayah : Masuk Kristian dan Masuk Syiah

Mahu selesai isu ini pulak segera. Kita mahu rujuk siapa KDN dengan JAKIM atau mana mana agensi. Antara masuk Kristian dan masuk Syiah. Nampaknya masuk Syiah adalah jenayah dan masuk Kristian bukan jenayah. Macam tulah kot. Apa pula kata Ketua Agama Negeri dan para mufti Negeri dan Majlis Fatwa Kebangsaan ?






5 sebab lebih baik masuk Kristian daripada masuk Syiah di Malaysia – Taufik Naaim

DECEMBER 13, 2013
Isu Syiah, adalah isu yang makin hari makin merobek keharmonian Muslim dan juga rakyat Malaysia sendiri. Isu ini juga semakin menjadi batu loncatan parti-parti politik yang mengendong undi para penganut agama Islam.
Isu ini juga secara tidak langsung memperlihatkan betapa runcingnya masalah kepuakkan (sectarianism) yang amat fanatik, jumud dan penuh dengan pemikiran negatif. Sayangnya, ramai kalangan ilmuan agama tidak dapat dikecualikan daripada kekejian ini.
5 sebab lebih baik masuk Kristian daripada masuk Syiah di Malaysia:
1. Masuk Syiah adalah satu jenayah tetapi bebas untuk masuk Kristian.
Mungkin belum termaktub di dalam mana-mana akta, bahawa hanya fahaman Ahli Sunnah Wal Jammaah (ASWJ) yang diterima pakai dan menganuti fahaman Syiah adalah satu jenayah. Tetapi kita sudah pun sedia maklum bagaimana persepsi kerajaan atau parti pemerintah terhadap penganut fahaman Syiah ini.
Kerajaan turut membenarkan pembinaan rumah-rumah ibadat dan juga sekolah-sekolah aliran Kristian di atas tanah ini. Walhal umat ramai Melayu menzahirkan syirik kecil dan fobia mereka tentang Holy Water, yang dilihat lebih berkuasa daripada kuasa Allah? Tidakkah mereka perlu berasa terancam?
2. Penganut Syiah perlu amalkan ajaran dengan sulit.
Berbanding penganut Kristian, mereka bebas mengamalkan ajaran mereka. Mereka juga bebas mempamerkan identiti Kristian dan boleh menganjurkan apa jua acara keagamaan dengan terbuka.
Mungkin belum ada permit khusus untuk membolehkan penganut Syiah menganjurkan acara mereka secara terbuka. Ataupun harga permit itu dirasakan amat rendah dan perlu dikaji semula?
3. Masuk Syiah menjadi tohmahan para Muslim (ASWJ).
Selain mendapat tekanan daripada kerajaan sendiri, penganut Syiah juga berdepan dengan tohmahan masyarakat khususnya kalangan Muslim yang merasakan tanggungjawab mereka telahpun selesai di bumi Allah ini.
Mereka memandang keji seorang penganut Syiah, seolah-oleh ke-Syiah-an itu menjadi benteng untuk penganut ASWJ untuk bermuamalah dengan mereka. Namun, bermuamalah dengan seorang Kristian tidak langsung menjadi apa-apa masalah, malah kadangkala menjadi satu kebanggaan pula.
4. Penganut Syiah akan ditentang, penganut Kristian didakwah.
Berbagai usaha dilakukan baik oleh golongan agamawan dan ilmuan untuk melekatkan pelekat yang bertulis "Syiah sesat, kafir, bukan Islam, confirm neraka" ke dahi-dahi dan muka-muka penganut fahaman Syiah.
Atau memang itu tujuannya, untuk memudahkan para penganut Syiah ini masuk neraka? Dengan memutus dan menjauhkan jalan dakwah kepada mereka. Adakah mereka tidak punyai hak untuk ke syurga Allah?
Berbanding dengan usaha dialog kesefahaman, acara keharmonian bahkan usaha dakwah murni yang dilancarkan kepada penganut Kristian bagi membolehkan mereka kembali revert kepada Islam yang benar (ASWJ sahaja, yang lain tidak boleh).
5. Penganut Syiah menjadi mainan politik fanatik.
Penganut Syiah bagaikan bola. Disepak terajang ke sana ke mari. Mungkin jumlah mereka tidaklah seramai mana, membuatkan banyak pihak tidak mahu menerima mereka.
Begitu juga dengan ancaman yang mereka terima daripada parti parti politik. Malah mereka bagaikan tidak layak untuk menganggotai mana-mana parti sekalipun. Sehingga ada satu parti yang mahu meminda perlembagaan parti hanya untuk ASWJ yang confirm masuk syurga sahaja.
Terdapat juga parti yang kononnya mendokong prinsip Islam, yang telah disyaki berapa ramai Syiah berlindung di bawah gagasannya. Malang buat parti Islam itu jika tak mampu berhikmah dengan kehadiran penganut Syiah ke dalam jemaahnya. Menunjukkan betapa lemahnya penerapan nilai Islam itu sendiri di dalam parti yang disayangi mereka.
Ancaman daripada ASWJ
Islam tidak berkembang dengan ancaman. Bahkan ia berlawan dengan nilai Islam yang murni. Semua orang Islam tahu bahawa Islam berkembang dengan dakwah. Atau apakah ini cara dakwah yang suci daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah?
Islam itu amat indah dan tidak langsung mencelakakan. Walau kepada sesiapa jua sekalipun, hatta kepada penganut Syiah. Sudahlah kita ketinggalan dalam bidang dakwah (Kristian tempat pertama, Islam kedua), berpecah pula jadinya.
Tidak dinafikan masalah kepuakkan (sectarianism) yang membuak-buak daripada kedua-dua belah pihak. Untuk pengetahuan semua, perkataan berlawan untuk sectarianism adalah keharmonian, keamanan, persefahaman dan tolenransi. Bukankah ini nilai Islam juga?
Karektor umat Muhammad
Kalau kepada Kristian dan kafir kita mampu mengawal diri untuk berdakwah dan berhikmah dengan mereka. Kenapa tidak dengan Syiah? Apakah tidak cukup kuat fahaman yang kita pegang ini untuk berdakwah kepada mereka?
Ini bukan masalah fahaman dan pegangan kita. Ini adalah masalah Muslim itu sendiri. Kita tunding jari mengatakan Syiah sesat, fanatik dan memudharatkan. Apa bezanya tindakan kita?
Tahukah anda siapa yang sangat beria-ia menganjurkan perpisahan antara Syiah dan Sunni? Itulah dia musuh Islam. Inilah apa yang dilakukan oleh Israel (Israel holds conference to divide Shiite, Sunni).
Jangan biarkan jari jemari yang asyik memetik tasbih itu menunding duri meraikan kebencian. Jangan luapkan bibir yang basah dengan zikir itu dengan laungan syaitan.
Ini bukan karektor umat Muhammad, mereka tidak diajar untuk terus menerus mencambah kebencian. – taufiking.com, 13 Disember, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments: