Thursday, May 09, 2013

Sisi pandang daripada Zaki Shukor Soal DEMOKRASI

dddd


Nazaknya Sebuah Demokrasi Oleh Zaki Shukor
9 May 2013
“Demokrasi sudah mati!”

Satu frasa yang meningkat naik sejak keputusan penuh Pilihan Raya Umum ke-13 diumumkan lewat malam tadi. Ramai menganggap insiden yang berlaku sepanjang proses demokrasi ini dijalankan mencemarkan terma demokrasi dalam konteks Malaysia. Insiden pengundi hantu, dakwat kekal tidak berkualiti, peti undi disembunyikan, penambahan peti undi, ketiadaan elektrik di pusat pengiraan undi, dan macam-macam lagi dilihat sebagai satu titik hitam dalam sejarah politik Malaysia.
Iya, saya tidak nafikan perkara sedemikian berlaku. Insiden yang dikatakan berlaku itu bukan sahaja khabar angin yang disebarkan kosong melalui media sosial, malah beberapa laporan polis telah dibuat berkaitan insiden terbabit.


Bagaimanapun untuk mengatakan bahawa “Demokrasi sudah mati” saya kira agak keterlaluan. Waima tercemarnya proses demokrasi ini, tidak bermakna ianya sudah mati. Mengapa saya katakan demikian? Ayuh kita lihat dari sudut pandangan positif.


Tepat jam 5.00 petang semalam selepas semua pusat mengundi ditutup, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan bahawa seramai 12,885,434 pengundi (80 peratus) keluar mengundi. Hal ini merupakan jumlah paling besar dalam sejarah Malaysia, juga antara yang paling besar dalam sejarah dunia. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin lama semakin bersungguh-sungguh untuk berpartisipasi dalam proses demokrasi sebegini.


Juga melalui usaha berterusan badan bukan kerajaan untuk mendidik masyarakat berkaitan dengan proses demokrasi ini sedikit sebanyak memberikan impak yang positif terhadap peratusan keluar mengundi pada pilihan raya umum kali ini. Semoga usaha sebegini berterusan bagi memastikan partisipasi rakyat yang menyeluruh dalam politik Malaysia. Dalam hal ini, rakyat menang.

Walaupun pada pilihan raya kali ini kita tidak dapat melihat transisi kuasa pemerintahan, kita dapat melihat kekuatan pihak pembangkang yang semakin bertambah. Hal ini dibuktikan melalui pertambahan kerusi Parlimen, DUN, dan juga penembusan kubu kuat parti pemerintah oleh pihak pembangkang. Sehubungan itu, perkara ini akan menyebabkan pihak kerajaan akan lebih berhati-hati dan lebih bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kerja pentadbiran kerajaan .

Pihak kerajaan juga akan lebih mendengar suara rakyat dan cuba sedaya upaya untuk melunaskan setiap perkara yang dinyatakan dalam “AKUJANJI” agar tidak diserang oleh pihak pembangkang sama ada dalam Dewan Rakyat, mahu pun secara terbuka. Secara peribadi, saya berpendapat sekiranya tidak wujud pembangkang yang berkesan sebagaimana yang dijalankan oleh pihak Pakatan Rakyat sejak 2008, rakyat tidak dapat melihat proses semak dan imbang yang berkesan, sekaligus, transparensi dalam kerajaan tidak berlaku. Sekali lagi kemenangan oleh rakyat.

Bagi mengatakan bahawa demokrasi di Malaysia sudah berkubur itu sedikit keterlaluan. Namun, saya tidak menafikan bahawa proses demokrasi di Malaysia ini tercemar dek kerana peristiwa yang tidak diingini. Insiden yang berlaku memang jelek. Sebagai rakyat, saya mengecam semua insiden yang mencemarkan proses demokrasi di Malaysia, tidak kiralah dalangnya daripada pihak parti pemerintah, mahupun parti pembangkang. Insiden sebegini tidak seharusnya dibiarkan berlaku.


Saya bersetuju, 5 Mei 2013, merupakan satu lagi titik hitam dalam sejarah politik Malaysia. Insiden yang berlaku hampir membunuh demokrasi Malaysia, yang saya kira sudah nazak dan perlu alat bantuan untuk terus hidup, iaitu rakyat. Rakyat perlu sedar tentang perkara ini dan tidak memandang remeh terhadap apa yang berlaku. Tindakan perlu dijalankan. Pendidikan pilihan raya harus diperkasakan. Semoga kita dapat bergerak ke arah demokrasi yang lebih matang. – Roketkini.com




No comments: