Lahir graduan palsu
Ijazah Palsu
Ijazah palsu: Lahir graduan palsu
Kronologi kes
SUATU ketika dulu, negara kecoh dengan lambakan gelaran Datuk palsu. Tetapi kemudian senyap dan kini muncul kudis berbahaya yang melibatkan profesionalisme. Kes ijazah palsu bukan sesuatu baru didengar, apabila sebelum itu terdapat nama-nama individu hebat di negara ini yang didakwa menggunakan sijil palsu.


Terbaru, kita dikejutkan dengan sindiket pemalsuan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM) dan masyarakat benar-benar tidak menyangka mengenai kewujudan jenayah seumpama itu memandangkan ia berkaitan akademik.


Bayangkan dua wanita berusia 24 dan 25 tahun serta seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai menawarkan setiap ijazah USM dengan harga RM4,888 menerusi satu laman web khas dan dikatakan menipu lebih 20 orang sejak menjalankan kegiatan itu tiga bulan lalu.


Menurut polis, modus operandi sindiket ialah dengan mengiklankan tawaran sijil ijazah dari USM serta boleh dimasukkan ke dalam pangkalan data universiti berkenaan menerusi sebuah laman web.



Berdasarkan siasatan, anggota sindiket meminta pembeli untuk memasukkan wang ke dalam akaun yang dimiliki oleh individu tertentu dan mereka juga tidak melayan pelanggan menerusi talian telefon.



Mudahnya. Tetapi itu kegiatan yang dibongkar. Apakah logik jika kita memikirkan mungkinkah segelintir individu terdiri ahli politik, ahli perniagaan, pakar motivasi, ahli akademik, penulis, perunding pelaburan dan insurans yang nampak hebat itu sebenarnya menggunakan ijazah palsu. Termasuk rakan di sebelah kita.



Benarkah, sindiket membeli ijazah terutama PhD melalui internet sudah menjadi trend baru? Mudahnya memperoleh ijazah dengan hanya melalui talian. Bayar dan cetak. Masalahnya, apabila masuk ke alam pekerjaan, bagaimanakah kualiti perkhidmatan yang mampu diberikan. Apakah pula hak majikan?  Bagaimana hendak periksa sijil yang sudah ada cop 'disahkan oleh' ?

Ironinya, jika kegiatan ini tidak dibanteras atau dibiarkan merebak, maka bayangkan negara yang sedang membangun pesat ini mempunyai ilmuwan palsu dan plastik serta ‘ graduan’ yang bersepah setaraf sampah sarap. Jika kegiatan menjual pangkat palsu didorong oleh sindrom gelaran daripada mentaliti feudalisme, bagaimana sindiket ijazah palsu. Jenayah apakah ini?


Apa kata kementerian?
KEMENTERIAN Pengajian Tinggi melalui kenyataan Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengkaji ciri keselamatan pengeluaran ijazah yang diguna pakai di negara lain bagi menangani kegiatan penjualan ijazah palsu seperti yang didalangi sindiket menggunakan Universiti Sains Malaysia (USM).



Ini memandangkan pengeluaran sijil ijazah oleh setiap universiti di negara ini tidak sama.



Misalnya sijil yang dikeluarkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah berbeza dengan Universiti Sains Malaysia (USM).



Respons USM



UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) memandang serius kejadian yang menimpa universiti berkenaan. Naib Canselornya, Prof. Datuk Omar Osman mengatakan, USM telah mengambil tindakan mengetatkan ciri-ciri keselamatan skrol ijazah yang lama menerusi proses keselamatan ketat dan mengandungi ciri-ciri keselamatan serta nombor siri khas.



Tambahan itu, USM bersedia membantu sekiranya ada pihak yang ragu-ragu terhadap ijazah yang dikeluarkan.



Prof. Omar mengesahkan tiada kakitangan USM terlibat dalam kegiatan tersebut memandangkan segala maklumat mengenai lulusan universiti itu disimpan rapi termasuk di bilik kebal.



Salah seorang daripada tiga suspek yang disyaki terlibat ialah bekas pelajar USM `sementara dua lagi ialah orang luar.